Salmah Mat Husain Tue Feb 12, 08 5:27:14 pm MYT
KOTA BHARU, 12 Feb (Hrkh) - Apakah keseriusan kerajaan negeri membantu masyarakat dari golongan minoriti termasuk kaum Cina masih dianggap tidak ikhlas.
Sebaliknya usaha Umno dikatakan mahu merampas Dun Kota Lama yang sudah menjadi tradisi ditandingi wakil daripada MCA dianggap lebih ikhlas.
Inilah persoalan yang berlegar di Kelantan sekarang apabila Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa masih menganggap kerajaan PAS tidak ikhlas membantu masyarakat Cina.
Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Fang Chaw berkata, masyarakat Cina serta golongan minoriti lain di negeri ini sudah benar-benar merasai hidup selesa sejak PAS mentadbir Kelantan lebih 17 tahun lalu.
"Masyarakat Cina tidak dipinggirkan kerajaan negeri biar pun pemimpin Umno cuba menafikannya. Buktinya surat hak milik rumah yang tidak diselesaikan zaman pemerintahan Umno berjaya diselesaikan kerajaan sekarang.
"Malah wakil rakyat dari kaum Tionghua dilantik sebagai anggota Exco bagi menjaga kebajikan masyarakat Cina,"katanya pada majlis perjumpaan pimpinan bersama masyarakat di Kampung Aur Duri, di Dun Salor petang semalam.
Annuar dalam laporan media sebelum ini mencabar PAS meletak calon bukan Islam sebagai membuktikan parti itu ikhlas membantu masyarakat Cina.
Sedangkan sejak 1999 Dato' Annuar Tan Abdullah mewakili Dun Kota Lama, di mana sebahagian besar didiami masyarakat Cina.
Fang Chaw berkata, sebelum parti itu memberi janji manis kepada masyarakat Cina di Kelantan mereka seharusnya menjaga kebajikan kaum Cina yang banyak terabai di negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.
"Sekiranya parti itu benar-benar menjaga kebajikan masyarakat Cina, kenapa hak mereka dinafikan seperti berlaku di Kedah di mana sekolah rendah Cina terpaksa dibangun dengan kewangan sendiri di atas tanah bukan diberi kerajaan,"ujarnya.
Kata beliau hasil kesungguhan pihak pentadbir sekolah itu dan bantuan usahawan sebanyak RM4.8 juta berjaya dikumpul bagi membangunkan sekolah tersebut.
"Jadi tak payahlah pemimpin Umno nak gula-gulakan masyarakat Cina dengan janji manis sedangkan kerajaan PAS Kelantan sudah lama berbuat demikian kepada kami," katanya.
Turut hadir pada program tersebut Anuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Perpaduan Masyarakat, anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dan Penghulu Tanpa Mukim Dun Salor, Chua Ah Cheng.
Ah Cheng pula berkata, kerajaan PAS Kelantan sentiasa menjaga kebajikan rakyat pelbagai kaum.
Menurutnya, apa yang diperolehi masyarakat Melayu seperti skim Takaful Kifaalah, armalah, anak yatim dan bantuan orang kurang upaya turut juga diberi kepada kaum Cina.
Sempena sambutan Tahun Baru Cina seramai 100 penduduk Cina dari kampung tersebut menerima angpau pada majlis tersebut yang disampaikan YB Salahuddin. - mj/mks.
No comments:
Post a Comment