"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Wednesday, February 6, 2008

'Ren Min Shi Shi' jadi rebutan di Pulau Pinang


Mohd Sabri Said Wed Feb 06, 08 11:48:27 am MYT

PULAU PINANG, 6 Feb (Hrkh) - Jentera PAS Penaja Parlimen Tanjung bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa diserbu masyarakat Tionghua ketika menyebarkan akhbar 'Ren Min Shi Shi' dan sumbangan hamper sempena Tahun Baru Cina di Pasar Besar Chowrasta, Pulau Pinang semalam.


Rombongan yang diketuai oleh Yang DiPertuanya, Yaacob Omar sempat berbual dengan masyarakat Cina sama ada peniaga mahupun pengunjung yang membeli keperluan terakhir menjelang Gong Xi Fa Chai yang bakal disambut pada 7 dan 8 Februari ini.

Ramai berasak-asak untuk mendapatkan akhbar berkenaan bagi mengetahui isu semasa dan perkembangan mutakhir politik negara.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah, Dr Mujahid terkejut melihat situasi tersebut kerana sambutan yang diberikan oleh masyarakat bukan Islam terhadap PAS sejak kebelakangan ini begitu membanggakan.

"Kunjungan untuk menyampaikan ucapan di samping menyebarkan 'Ren Min Shi Shi' bertukar menjadi kelam kabut bila mana masyarakat Cina yang ada di situ berpusu-pusu mendapatkan akhbar berkenaan. Rupa-rupanya media itu sudah ada dalam pemikiran mereka dan bila terlihat sahaja kita mengedarnya lantas mereka datang meminta," terangnya.

Menurut Dr Mujahid seterusnya, beliau berharap edaran seumpama itu dipanjangkan oleh jentera PAS di mana sahaja di samping mengucapkan Tahun Baru pada mereka.

Perkembangan itu, menyaksikan peningkatan sokongan setelah PAS berjaya mendekatkan jurang kaum dengan memberi penumpuan pada lajnah itu.

"Kini kita bukan sahaja ada Kelab Penyokong PAS daripada kalangan orang Cina bahkan India dan terbaru etnik Iban di Sarawak," ujar beliau.

Beliau berharap Konvensyen Kelab Penyokong PAS Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Hotel RedRock, Jalan Macalister pada 16 Februari ini memberi satu suntikan untuk kaum bukan Islam membantu PAS memperjuangkan hak semua kaum tanpa mengira warna kulit dan etnik.

Pada hari tersebut dijangkakan Presiden PAS, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Ustaz Nasarudin Mat Isa; Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar akan bertemu rakyat dan bermesra dengan masyarakat bukan Islam dalam usaha memperkenalkan 'Negara Kebajikan' kepada keseluruhan rakyat negara ini.

Sementara itu, pada sebelah petang semalam pula Dr Mujahid bersama YDP Penaja Parlimen Tanjung mengadakan lawatan muhibbah ke pejabat akhbar berbahasa Cina sekitar Georgetown.
Antara pejabat akhbar Cina yang dilawati ialah Nang Yang Siang Pau, China Press, Sin Chew Daily, Guang Ming Daily dan Orental Daily.

Di samping menyampaikan ucapan Tahun Baru kepada semua kakitangan akhbar berkenaan mereka juga dipelawa membuat liputan 'Jelajah Presiden' ke negeri ini. - mks.

No comments: