"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Wednesday, February 13, 2008

Catatan Perjalanan : Rombongan masyarakat India ke Kelantan

Ustaz Haidar Taslin Tue Feb 12, 08 6:59:14 pm MYT

Pada 7 - 9 Feb 2008, DPP Kawasan Kapar telah menganjurkan sebuah lawatan yang disertai oleh kaum India ke negeri Kelantan.

Rombongan yang diketuai sendiri oleh saya telah mendapat kerjasama Persatuan Seni Mempertahankan Diri Silambam Klang.Rombongan ini telah disertai oleh 30 orang wakil masyarakat India yang diketuai oleh Sdr Jagan dan penasihatnya Sdr Mohan. Antaranya juga ialah 6 orang wanita.

Antara acara rombongan ialah lawatan ke kuil 'Sleeping Buddha' di Tumpat. Rombongan telah disambut oleh YB Zaki Ibrahim (Ketua Pemuda PAS Kelantan – Adun Kelaboran). YB memberi sedikit ucapan ringkas menerangkan program-program kebajikan kerajaan PAS Kelantan yang tidak membataskan kaum dan agama.

Katanya, beliau sendiri kerap ke kuil ini terutamanya apabila berlaku kematian. Kerajaan negeri telah memberi peruntukan khas bantuan kepada keluarga si mati dengan jumlah RM2500.00 yang disampaikan untuk meringankan beban mereka.

Lawatan diteruskan ke kuil 'Sri Maha Mariamman' yang juga terletak di Tumpat. Menurut penduduk tempatan yang selalu berkunjung ke kuil ini, kerajaan negeri pimpinan YAB Tn Guru Nik Aziz sangat mengambil berat hal mereka. Kaum India tidak pernah disisihkan bahkan sering dijemput ke majlis-majlis perayaan yang dianjurkan.

Walaupun kaum India merupakan kaum minoriti di Kelantan, tetapi mereka hidup dalam suasana muhibbah jauh berbeza dengan apa yang digambarkan oleh media perdana.

Pada sebelah malamnya pula, acara makan malam bersama YB Dato' Hj Wan Abdul Rahim Abdullah telah diadakan di sebuah restoran masakan ala Siam di Kota Bharu. YB Dato' yang merupakan Speaker Kerajaan Negeri Kelantan merupakan undangan spontan setelah rombongan tidak dapat bertemu dengan YB Salahuddin Ayub kerana kami kelewatan akibat kesesakan lalu lintas di Wakaf Bharu yang memakan masa hampir dua jam dan beliau terpaksa bergegas untuk acara lain.

Walaupun begitu, YB Dato' Hj Wan Abdul Rahim melahirkan rasa gembira dengan kehadiran rombongan ini dan sanggup meluangkan masa walaupun beliau sepatutnya berada di Stadium Darul Naim sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan malam itu.

Setelah puas menjamu selera, lawatan diteruskan ke kuil 'Kuil Sri Sivan' Kota Bharu. Kuil ini telah dibina di sebuah tapak milik kerajaan negeri yang telah dianugerahkan kepada kaum India .

Kuil yang mampu memuatkan sehingga 1000 orang dalam satu masa ini merupakan binaan canggih tiga tingkat lengkap dengan hawa dingin. Menurut Saudari Geetha seorang ahli rombongan wanita, beliau sangat terkejut dengan kuil tersebut yang jarang-jarang ditemui apatah lagi ia berada di negeri Kelantan.

Menurut En Musa Abdullah, seorang Ahli Majlis di situ, tanah itu telah dipohon ketika kerajaan PAS memerintah dan mendapat kelulusan yang sangat mudah dari YAB Menteri Besar kerana keperihatinan beliau. Apa yang menarik bersebelahan kuil tersebut ialah tanah kosong yang didirikan bangsal usang yang dikatakan milik MIC.

Pada keesokan harinya iaitu Sabtu jam 11.00 pagi, satu majlis dialog bersama YAB Menteri Besar dan Dato' Anuar Tan diadakan di JKR 10 iaitu kediaman rasmi Menteri Besar.

YAB Menteri Besar, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sudi meluangkan masa telah memberi ucapan yang antara lain menyentuh tentang hakikat kejadian manusia yang dijadikan dari Adam dan Hawa. Oleh itu semua kaum di dunia ini, sama ada Melayu, India dan Cina adalah adik-beradik dan perlu saling bantu-membantu.

Beliau juga menegaskan bahawa sebagai seorang Menteri Besar yang diberikan amanah, beliau merasa sangat bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan seluruh rakyatnya termasuk kaum India .

Beliau juga sangat mengambil berat tentang perlaksanaan dasar-dasar negeri yang selari dengan Islam dan tidak mengancam kaum lain yang bukan beragama Islam.

Contohnya, sebelum beliau mengarahkan premis judi ditutup, ketua-ketua agama dan masyarakat semua kaum telah dipanggil untuk membincangkan perkara tersebut dan semua telah sebulat suara menyokong keputusan kerajaan negeri.

Ahli-ahli rombongan sangat berpuashati dengan semua acara yang telah disusun dan sangat berterima kasih kepada YAB Menteri Besar, YB Zaki Ibrahim dan YB Wan Abdul Rahim kerana sudi meluangkan masa bersama, tidak seperti YB-YB Barisan Nasional kata mereka.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Sdr Zul Nabli, Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh yang mengiringi rombongan dan menyusun acara yang penuh dengan kejutan-kejutan!

Lawatan ini bukan sahaja telah memberikan kenangan manis kepada peserta, bahkan juga pengalaman baru kepada penganjur dalam usaha mendekatkan PAS kepada kaum bukan Islam. - mks.

* Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar.

No comments: