Aslan Yusoh Sun Feb 10, 08 4:58:56 pm MYT
KOTA BHARU, 10 Feb (Hrkh) – Biar pun masyarakat Cina di Kelantan merupakan golongan minoriti, namun setiap kali sambutan Tahun Baru Cina pemimpin kerajaan negeri tidak lupa meraikan mereka.
Penghargaan terhadap masyarakat Cina dapat dilihat pada kain-kain sepanduk yang terdapat di merata tempat yang mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina atau Gong Xi Fat Chai.
Turut merakamkan ucapan itu, anggota-anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Malah pada 7 Febuari lalu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya dan anggota-anggota Exco berkunjung ke rumah pemimpin-pemimpin masyarakat Cina tempatan di sini.
Manakala pada 15 Febuari ini, hari terbuka sempena Tahun Baru Cina akan dianjurkan Anuar Tan yang juga Adun Kota Lama. Program itu yang dijangka dihadiri Menteri Besar akan diadakan di Pusat Khidmat Dun Kota Lama, Jalan Kebun Sultan.
Pada sebelah malam pula sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri akan diadakan di Lembah Sireh berhampiran Pasar Raya Tesco.
Menjelang sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini wakil-wakil rakyat PAS dan Penyelia Dun menyampaikan sumbangan berupa angpau kepada penduduk Cina yang miskin.
Program itu diadakan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai penduduk Cina termasuk Kota Lama, Kijang, Chetok, Pengkalan Pasir dan Cuchil.
Penyelia Dun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad berkata, beberapa program bagi menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina diadakan di kawasan tersebut baru-baru ini.
“Saya juga mengunjung dari rumah ke rumah masyarakat Cina yang tinggal di bandar Pasir Mas,” ujarnya. - mj
No comments:
Post a Comment