"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Sunday, December 2, 2007

Perpaduan : Bagaimana?

PERPADUAN: Bagaimana ?

“Perpaduan Ummah Membawa Kejayaan” slogan sambutan maal hijrah yang telah disambut secara besar-besaran di Stadium Putra, Kompleks Sukan Negara. “Perpaduan sangat penting, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mencapai taraf negara maju”, ucapan pembesar negara semasa mengulas peristiwa besar hijrah yang berlaku 1420 tahun yang lampau.”Keamanan dan keharmonian yang dialami sekarang belum tentu dapat dinikmati sekiranya tidak ada perpaduan di kalangam rakyat.”, satu kenyataan yang perlu diteliti dari sudut idea dan aplikasinya dalam masyarakat. Dalam usaha untuk menyingkap isu ini kita perlu melihat bentuk perpaduan ummah yang bagaimana yang akan membawa kepada kejayaan atau kemajuan dan apakah iktibar dari hijrah rasul dan kesannya kepada perpaduan ummah.

Asas Persatuan Ummah

Realiti yang berlaku ke atas umat Islam ketika ini adalah sangat mendukacitakan. Kita telah berpecah kepada lebih 50 buah negara Islam dilihat dari keanggotaan OIC dengan konsep negara bangsa. Ini adalah natijah dari kejatuhan daulah Islam yang terakhir berpusat di Turki pada tahun 1924 oleh Mustafa Kamal laknatullah alaih.

Racun nasionalisme dan patriotisme yang telah meresap ke dalam jiwa umat Islam adalah penghalang yang paling utama yang perlu dipecahkan dan disucikan dari sanubari umat. Umat telah dipisahkan mengikut bangsa dan terpecah pula oleh sempadan-sempadan ciptaan barat. Ikatan yang tinggal hanya, persahabatan dan kerjasama ekonomi. Ikatan yang lemah ini telah menggantikan ikatan aqidah Islam.

Membina Persatuan Ummah

Kesadaran umat telah mulai bergelora untuk bersatu, tetapi matlamat yang baik ini tidak akan dapat dicapai jika kaedah yang ditempuh adalah salah atau keliru. Di satu sisi kita menyerukan persatuan, di sisi lain kita masih mengekalkan sempadan dan membanggakan sempadan, sehingga saudara seIslam yang datang dari negara jiran untuk perlindungan atau mencari nafkah, kita halau mereka balik. Adakah ini perpaduan.

Jadi apakah yang dapat membawa kepada matlamat ini? Allah SWT telah memberikan jawapan dalam firmannya:

“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.. Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS Al-Anfal: 60-63)

Jadi yang akan mempersatukan umat Islam adalah Allah. Adakah Allah memaksa kita? Tidak, tetapi dengan memeluk aqidah Islam.

Persatuan Aqidah

Sesungguhnya prinsip utama persatuan dan persaudaraan Islam adalah aqidah Islam. Segala benteng-benteng sempadan geografi, tembok-tembok nasionalisme dan patriotisme, jurang kaya dan miskin, perbezaan warna kulit dan bahasa akan runtuh apabila telah memiliki aqidah Islam yang sama, maka mereka bersaudara dan diperintahkan untuk bersaudara dalam firman Allah:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al-Hujuraat:10)


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”(QS Al-Imran 103)

Rasulullah SAW. bersabda:

“Hai manusia, sesungguhnya Rabb kalian satu dan bapak kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang Ajam(bukan arab) dan tidak ada keutamaan Orang Ajam atau orang Arab, tidak ada keutamaan orang hitam atas orang merah, dan tidak ada keutamaan kulit merah atas kulit hitam, kecuali taqwanya.” (HR. Ahmad)

Dalil-dalil di atas menegaskan kepada kita bahawa satu-satunya ikatan yang menghubungkan antara sesama muslim adalah ikatan Aqidah Islam. Persatuan berdasarkan aqidah ini tidak boleh kalah oleh persatuan lainnya yang tidak diakui oleh hukum syara’ seperti ikatan kesukuan, nasionalisme, patriotisme, kemanusiaan atau ikatan asabiyah yang lainnya. Ikatan nasionalisme (asabiyyah) merupakan ikatan yang sempit, yang lahir dari gharizatul baqa’ (naluri mempertahankan diri/survival instinct) yang selanjutnya melahirkan keinginan untuk memimpin(hubbus siadah). Ikatan ini tidak layak untuk menjadi pengikat di antara sesama manusia dan juga tidak layak untuk menyatukan mereka dalam satu pemikiran. Sebab nasionalisme memang kosong dari pemikiran (tidak membuahkan pemikiran) dan bahkan tidak ada hubungan dengan pemikiran dan peraturan.

Dengan demikian nasionalisme tidaklah layak untuk membangkitkan umat Islam, sebab kebangkitan adalah meningkatnya taraf berfikir umat. Apabila ikatan ini tidak mempunyai atau tidak menerbitkan sebarang peraturan maka pejuang-pejuang nasionalisme adalah pengemis-pengemis peraturan-peraturan yang mereka pinjam dari ideologi kapitalis dan sosialis, kerana persatuan mereka adalah persatuan emosi yang kosong dari penyelesaian kepada masalah kehidupan. Ikatan ini hanya dipenuhi dengan pertarungan merebut kekuasaan dan mengekalkan kekuasaan sahaja seperti yang berlaku di semua negeri kaum muslimin dewasa ini iaitu menyeru kepada Arab, Turki, Parsi, Negro, Melayu, Pakistan dan lain-lain.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa saja yang menyeru kepada ‘asabiyah(fanatisme golongan, seperti nasionalisme) maka dia tidak termasuk golongan kita (kaum muslimin)” (HR. Abu Daud)

“Dan sesiapa yang berperang di bawah panji kejahiliahan , ia marah kerana ‘asabiyah, atau menyeru kepada ‘asabiyah, atau ikut menolong (membantu) demi ‘asabiyah, kemudian ia terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyah” (HR Muslim)

“Sesiapa yang berbangga-bangga dengan kebanggaan jahiliyah, maka hendaklah kalian menyuruh mereka menggigit kemaluan bapaknya dan jangan kalian mengatakan hal(menyuruh) itu secara samar-samar(mengubah matan hadith)”
(HR Ahmad, Nasa’I, Ibnu Hibban dan Ath Thabrani)

Hadith yang pertama perkataan “…tidak termasuk golongan kita (kaum muslimin)” di atas bukan bererti kafir tetapi qarinah menunjukkan larangan yang membawa hukum haram jika dilanggar. Hadith kedua dan ketiga adalah pencelaan kepada perjuangan atas dasar ‘asabiyah yang juga membawa hukum haram.

Islam memandang bahawa semua manusia sama tanpa mengira bangsa, warna kulit dan keturunan kecuali taqwa, firman Allah:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat: 13)

Perpaduan Ummah

Islam sebagai sebuah agama sekaligus ideologi sangat mementingkan perpaduan, ini dapat dilihat melalui perintah-perintah atau hukum-hukum dalam Islam. Contohnya konsep kenegaraan dalam Islam.

Kaum muslimin di seluruh dunia diwajibkan hanya memiliki satu daulah khilafah. Mereka juga dibenarkan hanya membai’at seorang khalifah sahaja. Bahkan Allah telah mengharamkan kaum muslimin mempunyai lebih dari satu negara. Dalil yang menerangkan perintah ini adalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Abdullah bin Amru bin Ash yang berkata, bahawa dia mendengarkan Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa saja yang telah membai’at seorang imam, lalu memberikan uluran buah hatinya(untuk mentaati perintahnya, maka hendaklah ia mentaati imam tersebut selagi masih mampu, dan jika ada orang lain yang hendak mengambil alih kekuasaan darinya, maka penggallah leher orang itu”.

Juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Arfajah yang berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa saja yang datang kepada kamu sekelian sedangkan urusan kalian berada di tangan seorang (Khalifah) kemudian dia hendak memecahbelahkan kesatuan jamaah kalian, maka bunuhlah dia’.”.

Hadith yang pertama menjelaskan, bahwa ketika memberikan kepimpinan, atau Khalifah kepada seseorang maka menta’atinya adalah wajib. Jika ada orang lain yang datang merebut jawatan tersebut, memeranginya adalah wajib selagimana dia masih meneruskan cita-citanya.

Hadith kedua menjelaskan, bahawa ketika jama’ah kaum muslimin telah bersatu di bawah pemerintahan seorang Khalifah, jika ada orang lain yang datang ingin memecahkan kesatuan jamaah kaum muslimin, maka membunuh orang itu adalah wajib.

Kedua hadith di atas menjelaskan makna kinayah (kiasan) terhadap larangan memecah atau membahagi-bahagi negara, serta memerintahkan agar tidak membenarkan sesiapa jua untuk memecahkan kesatuan jama’ah, daulah dan kepimpinan kaum muslimin. Kesimpulan dari pembahasan di atas memberikan kita pengertian yang tegas bahawa wujudnya lebih dari 50 buah negara Islam pada waktu ini adalah haram dan sesiapa yang menerima keadaan ini adalah berdosa.

Hijrah dan perpaduan

Kebelakangan ini gerakan penyelewengan terhadap pengertian hijrahnya Rasulullah SAW telah sangat berleluasa. Pengertian hijrah dihadkan sebagai perubahan dari keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik sahaja, atau hijrah bermakna memperbaiki akhlak atau dari melakukan dosa kepada tidak melakukan dosa atau seperti slogan maal hijrah iaitu iktibar hijrah untuk perpaduan atas asas dan matlamat yang kabur. Makna di atas adalah makna bahasa.

Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. juga bukan perlarian dari rancangan bunuh. Tetapi atas bimbingan wahyu dari Allah SWT. Bahkan perancangan hijrah ini telah dilakukan terlebih awal dari yang didakwakan, maknanya bukan gerakan tergesa-gesa takut dibunuh.

Kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah sebenarnya adalah sebagai ketua negara yang telah diangkat semasa Bai’atul Aqabah yang kedua. Beliau datang untuk memulakan sebuah masyarakat baru di Madinah dalam konteks masyarakat sebagai kelompok individu yang hidup dalam satu wilayah yang berlaku interaksi yang intensif antara anggota masyarakat yang mempunyai pemikiran yang sama (wahdatul afkar), perasaan yang sama (wahdatul masyaair) dan diatur oleh satu set peraturan yang mengatur urusan kehidupan (wahdatul andzimah).

Tindak-tanduk Rasulullah SAW sebagai ketua negara dapat dilihat dari peristiwa Bai’atul Aqabah II iaitu perlantikan sebagai ketua negara. Pembentukan Piagam Madinah adalah perlembagaan sebuah negara yang baru ditubuhkan. Dilihat dari timbunan hadith-hadith yang menceritakan tentang aktiviti Rasulullah SAW di Madinah yang berbeza dengan di Mekah adalah dari sifat aktiviti sebagai ketua negara yang menjalankan fungsi ri’ayatu suunil ummah dakhilian wa kharijian (menjaga hal ehwal ummah dalam dan luar negara).

Antara urusan dalam negara yang ditangani oleh beliau adalah mengurus urusan pemerintahan negara, mengurus aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, pengadilan dan ketenteraan. Hubungan luar negara berupa dakwah kepada negara sekitar dapat dilihat dari surat-surat Rasulullah SAW kepada lebih 30 buah negara di sekitar Madinah hingga ke Afrika, Eropah dan Asia tengah.

Perkembangan dakwah yang berlaku selepas hijrah adalah sangat pesat dimana dalam masa 10 tahun seluruh Jazirah Arab telah berada di bawah naungan Islam. Manakala dalam masa 100 tahun Islam telah menjalar meliputi 2/3 dunia. Kesan atau makna hijrah ini adalah sangat besar ertinya kepada kaum muslimin sehinggakan Saidina Umar tidak memulakan pengiraan tahun Islam dari lahirnya Rasulullah seperti yang dilakukan oleh penganut agama Masehi tetapi penghijrahan Rasul yang menandakan bermulanya episod kehidupan yang baru bagi kaum muslimin di mana seluruh kehidupan mereka diatur oleh Islam.

Jadi peringatan kepada peristiwa hijrah kepada selain yang dihuraikan di atas merupakan penyelewengan yang besar perhatian umat dari yang sepatutnya. Ini akan melalaikan umat dari Sunnah yang berbentuk af’al Rasul yang hukumnya wajib dikala kehidupan kaum muslimin tidak diatur oleh Islam sejak 75 tahun yang lampau.

Kesimpulan

Perpaduan ummmah mestilah diasaskan kepada Aqidah Islam. Perpaduan adalah natijah dan bukan asas. Ikatan selain dari asas ini seperti nasionalisme, patriotisme dan lainnya adalah diharamkan. Syariat Islam secara fitrinya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat dari konsep kesatuan Daulah dan Kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit. Makna hijrah yang sebenarnya yang perlu diambil tindakan oleh kaum muslimin adalah lonjakan kepada keadaan dimana Islam diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.

1 comment:

ABU IBRAHIM said...

yes, destroy nasionalism ! And re-establish Khilafah !


Allahu akbar

Abu Ibrahim di Australi
“Sesiapa yang berbangga-bangga dengan kebanggaan jahiliyah, maka hendaklah kalian menyuruh mereka menggigit kemaluan bapaknya dan jangan kalian mengatakan hal(menyuruh) itu secara samar-samar(mengubah matan hadith)”
(HR Ahmad, Nasa’I, Ibnu Hibban dan Ath Thabrani)