"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Friday, December 21, 2007

Contohi Kelantan Untuk Perpaduan

Contohi Kelantan untuk perpaduan
Oleh Alex
Soal perpaduan rakyat, dan isu interaksi kaum timbul apabila Dasar Pelajaran Negara (DPN) mewujudkan program Sekolah Berasrama Penuh yang mengasingkan pelajar Melayu daripada pelajar Cina dan India.
Contohnya, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil pelajar desa untuk diinstitusikan dalam proses regimentasi dan pengasingan masyarakat majmuk. Dalam masyarakat Cina pula terdapat sekolah Cina swasta yang hanya mengambil pelajar bahasa pengantar Mandarin sahaja.
Gejala ini telah mempengaruhi pembawaan generasi muda Malaysia sejak tahun 1974. Acuan dasar kejuruteraan sosial negara telah memisahkan pergaulan anak-anak kita sejak dari bangku sekolah sampai ke masyarakat umum. Manakala masyarakat tradisi Kelantan yang lebih konservatif, telah berjaya melawan arus kejuruteraan sosial negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan budaya Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam di mana pergaulan antara kaum di Kelantan masih menghidupkan ciri-ciri kemasyarakatan kampung.
Budaya masyarakat Kelantan telah menjalinkan hubungan kaum. Orang Cina yang tinggal di kampung Melayu tolong-menolong demi kepentingan bersama. Mereka juga menghayati budaya Melayu dalam kehidupan harian mereka. Ini jelas menunjukkan masyarakat Cina dan Melayu, misalnya, pandai menyesuaikan diri dengan persekitarannya tanpa paksaan.
Masyarakat Kelantan masih berdiri di atas asas pertolongan dan kerjasama individu dalam kumpulannya. Asas sosial itu dimanfaatkan menjadi, antaranya, asas ekonomi, politik dan pendidikan. Perasaan muhibah yang terjalin antara orang Kelantan dalam masyarakat Melayu, Cina dan India di bandar telah juga melahirkan semacam ‘nasionalisme Kelante’.
Yang paling menarik daripada persekitaran sosial, budaya dan pendidikan Kelantan ialah orang Melayu sangat suka menuntut ilmu tetapi berpegang kuat kapada ajaran Islam. Bahasa hanya dianggap alat pengantaraan ilmu dan bukan alat politik. Ramai orang Kelantan boleh berbahasa loghat Cina, Arab dan Thai.
Di Kelantan juga terdapat ramai orang Melayu yang menjual makanan bukan Melayu seperti bubur ayam, ca kueh, ca kueh teos, tomyan, roti canai dan capati. Di Kelantan juga, restoran makanan halal Cina yang dikendalikan oleh orang Cina, turut menyiapkan tempat solat atas semangat menghormati pelanggan Muslim. Semangat berniaga dan kerjasama antara kaum juga wujud dengan perkongsian perniagaan.
Contohnya kedai makan padang berkerjasama dengan kedai kopi Cina untuk menghidangkan makanan padang enak dan kopi Hainan terkenal! Ia juga terbentuk dari kerjasama antara kaum dan bukan atas dasar paksaan. Budaya kerjasama ini jarang kelihatan di kota-kota lain Malaysia.
Dengan pengaruh nilai Islam, anak Kelantan bukan Islam juga diberkati budaya anti-kegiatan haram seperti judi dan penindasan manusia. Di Kelantan terdapat empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang menerima lebih ramai pelajar bukan Cina - lebih daripada pelajar keturunan Cina! Anak Melayu, Cina dan India bukan sahaja berkawan di sekolah, malahan datang bermain di rumah masing-masing.
Manakala ibu bapa mereka kunjung-mengunjungi ketika perayaan, lebih-lebih lagi pada masa kematian. Perkahwinan campur antara kaum juga popular di Kelantan. Orang Cina, India dan Siam memeluk Islam, lantas mengamalkan ‘ritual’ agama baru itu. Masyarakat Cina sangat menghormati kaum Melayu yang bependidikan sekolah agama.
Ustaz Sekolah Agama Rakyat (SAR) lebih dipercayai dan mempunyai status sosial yang lebih tinggi daripada guru sekolah kerajaan. Budaya perpaduan menyemai nilai pentingnya hidup harmoni antara kaum dan murid diharapkan menggunakan akal sendiri dalam melihat dan mengurus diri dan juga orang lain tanpa mengira asal usul keturunan kaum dan juga agamanya. Budaya Kelantan yang memanfaatkan nilai-nilai Islam telah membina satu masyarakat majmuk yang harmoni dan bertoleransi tinggi.
Nilai Islam yang di hayati masyarakat Kelantan telah membawa kepada perpaduan yang erat antara kaum tanpa dasar paksaan. Program perancangan ekonomi Malaysia mewujudkan skim perumahan di bandar-bandar yang melibatkan jutaan orang Cina, Melayu dan India. Ia banyak mengubah sikap dan pandangan negatif antara kaum dan sedikit sebanyak mencairkan tradisi budaya satu-satu kaum itu yang menjadi lebih dominan dari yang lain.
Sebagai ‘pendatang’ baru, mereka menganggap jiran sebelah sebagai saudara dan sekaligus menjadi tempat pergantungan di masa susah. Pemeliharaan dan pengembangan jalinan persaudaraan antara kaum itu telah membuat jiran tetangga membuang prasangka dan juga generalisasi negatif sesama sendiri.
Sejak Merdeka, program perancangan sosial ekonomi Malaysia mengamalkan pendekatan paksaan. Program kejuruteraan sosial Malaysia telah menghidari jiwa, perasaan, maruah, tradisi kebudayaan pelbagai golong rakyat majmuk. Ia juga menghabiskan banyak sumber kewangan dan sumber daya manusia negara.
Masyarakat Melayu tidak dibenarkan belajar di SAR yang lebih fokus kepada pembangunan dan persemibangan akhlak daripada ilmiah. Hasil Dasar Pelajaran Negara, yang menganjurkan program pemisahan, telah menafikan hak dan peluang pergaulan antara kaum. Seorang mahasiswa UiTM yang datangnya dari MRSM, dinafikan hak pergaulan bersama pelajar Cina dan India kerana sistem pendidikan perkauman dipraktikkan di institusi tersebut.
Masyarakat konservatif Cina yang terlalu takut kehilangan asas budaya dan hak bahasa ibunda mereka, juga mengambil jalan garis keras dengan menghantar anak mereka ke sekolah swasta Cina dan memisahkan anak-anak ini daripada pergaulan antara kaum di bangku sekolah. Dasar pelajaran yang berunsur perkauman juga mengakibatkan tafsiran negatif terhadap kualiti pendidikan di UiTM dan program matrikulasi dari inistitusi yang hanya menerima pelajar bumiputera.
Akibatnya, majikan syarikat Cina kurang mengambil pekerja kelulusan UiTM kerana dasar kerajaan yang memberi persepsi negatif ini. Pasti ada yang tidak benar dalam pembentukan dan perlaksanaan Dasar Pelajaran Negara dan DEB kerana selama 48 tahun, ahli politik kita masih lagi hidup dengan manupulasi isu perkauman kerana kuasa dan kekayaan. Dan mereka sudah lupa apa itu Islam dan siapakah mereka.

http://www.malaysiakini.com/letters/32993

No comments: