Hubungan Teori dan Realiti Sejarah
Dalam persembahan sejarah, kadangkala kesimpulan oleh sejarawan dibuat dalam rupa teori-teori sesuatu peristiwa. Kepelbagaian teori ini lahir berpunca oleh beberapa faktor. Pertama, demi mengetengahkan beberapa persoalan sejarah yang tiada asas catatan akademia (seperti dokumen, batu bersurat dll).
Kedua, sikap sejarawan sendiri secara semulajadi mempunyai dzan (sangkaan) terutama apabila menemukan satu-satu bahan artifak yang signifikan dengan satu-satu persoalan sejarah. Implisitnya, lahir pelbagai teori bagi satu-satu peristiwa tersebut.
Ketiga, disiplin sejarah sendiri terdiri oleh dua sumber iaitu sumber pertama (primary sources) dan sumber kedua (secondary source). Kedua-dua sumber ini tersusun dalam rupa hierarki dan saling melengkapi sehingga satu-satu persoalan sejarah dijawab oleh sejarawan. Kedudukan dan keabsahan sumber sejarah ini juga ada kalanya senantiasa relatif selagimana ada inisiatif sejarawan dalam melengkapi satu-satu peristiwa sejarah.
Teori Kedatangan Islam Di Alam Melayu: Suatu Sorotan
Sekurang-kurangnya terdapat tiga (3) teori kedatangan Islam di AM. Pertama, Islam itu datang daripada India. Kedua, Islam itu datang daripada China. Dan ketiga, Islam itu datang daripada Arab/Parsi.
Teori-teori ini diketengahkan oleh banyak sejarawan seperti Pijnappel, Snouck Hugronje, B. Harisson, Thomas Arnold, Morquette, R.O Winstedt, S.Q. Fatimi, Syed Muhammad Nuqaib al-Attas, HAMKA dan sebagainya.
Teori-teori mereka ini sama ada berasaskan pada jumpaan sumber sejarah atau rasionalisme sejarawan itu sendiri dalam menyusun kepelbagaian dzon (sangkaan) sehingga lahir teori-teori kedatangan Islam di AM.
Islam Datang Dari India
Terdapat 2 wilayah (di India) dipercayai sebagai tempat asal yang membawa Islam ke AM. Pertama, Gujerat dan Malabar. Kedua, Bengal Coromandel.
Menurut Pijnappel, kedatangan Islam di AM dilakukan oleh para pedagang Islam berbangsa Arab yang bermukim di Gujerat dan Malabar. Sangkaan ini bertitik-tolak oleh banyaknya nama kedua-dua wilayah ini dalam sejarah awal AM.
Pandangan ini telah disokong oleh Snouck Hugrunje dan Harry Hazzard memandangkan aktiviti perdagangan oleh para pedagang Islam di AM sama ada sebagai “orang tengah” atau pedagang premier yang membawa barang dagangan dari wilayah tersebut merentasi Nusantara untuk pergi ke China dan sebagainya.
Teori kedatangan Islam dari Gujerat dan Malabar ini diperkuatkan lagi dengan temuan batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428M dan di Gerisik yang bertarikh 1419M oleh Morquette. Bentuk fizikal kedua-dua batu nisan ini mempunyai ciri persamaan dengan batu nisan di Gujerat. Realiti ini membawa pada kesimpulan sejarah oleh sejarawan; iaitu Islam sampai ke AM pada awal kurun ke-15M.
Teori dan hipotesis ini menerima sanggahan oleh Syed Muhammad Nuqaib al-Attas. Sanggahan teori sejarah adalah sesuatu yang biasa dan semulajadi kerana teori itu sendiri datangnya daripada akal manusia yang nisbi; sudah tentu terus relatif dengan keputusan akal manusia sendiri yang juga bersifat relatif.
Kata Syed Muhammad Naquib al-Attas, asas jumpaan dan persamaan fizikal batu nisan sebagai di atas tidak munasabah. Sepatutnya, jumpaan dan persamaan tersebut hanya dilihat sebagai hujah tempat asal batu nisan tersebut adalah dari Gujerat, India.
Penolakan atu-satu teori akan membawa kepada lahirnya satu teori sejarah yang lain. Teori sejarah terkemudian ini juga sebenarnya masih dan tetap disokong oleh sumber-sumber sejarah di samping rasionalisme sejarawan itu sendiri.
Menurut S.Q Fatimi, kedatangan Islam di AM datangnya dari Bengal, Coromandel, India. Kedatangan Islam ini dilakukan oleh para pedagang dari sana. Bengal lebih awal menerima Islam berbanding Gujerat dan Malabar. Maka, sudah tentu proses islamisasi AM itu dilakukan oleh wilayah yang lebih awal menerima Islam ini.
Pandangan ini telah didokong oleh Arnold dalam buku akademianya, The Muslim World. Menurut beliau, para pedagang Bengal ini bermazhab Shafie; sama dengan mazhab umum di AM.
Secara emperikal, mustahil pedagang Gujerat dan Malabar bertanggungjawab membawa Islam ke AM; kerana mazhab umum mereka adalah mazhab Hanafi; manakala AM bermazhab Shafie.Rasionalisme sejarawan membawa pada relatifnya teori satu-satu peristiwa.
Teori Islam datang daripada India diperkuatkan oleh catatan sejarah oleh Ibn Batutah. Menurut Ibn. Batutah, dalam persinggahan beliau di Pasai, pandangan empire belia mendapati wujud persamaan budaya khususnya pakaian diraja dengan kebudayaan yang terdapat di Bengal, India. Malah, Ibn Batutah juga mencatatkan bahawa Merah Silu sebenarnya beragama Hindu, kemudiannya memeluk Islam dan baginda mempunyai hubungan bernegara dengan masyarakat Islam Bengal, India.
Walaupun demikian, hujah-hujah di atas ini dianggap masih tidak matang dan tepat. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah, Pasai menerima Islam lebih awal iaitu pada 1042M dan Malik al-Salih bukanlah pemerintah pemerintah pertama memeluk Islam. Sebelum Malik al-Salih, Meurah Giri atau Mahmud Shah lebih awal memeluk Islam yang akhirnya Pasai sendiri menerima Islam secara bernegara (Abdul Rahman Hj. Abdullah (1990), Pemikiran Umat Islam Di Nusantara, h.44)
Jumpaan batu nisan Malik as-Salih sendiri bertarikh 1297M. Secara rasional, Islam sudah tentu sampai lebih awal daripada periodisasi tersebut. Hujah ini diperkuatkan lagi dengan realiti sejarah Gujerat sendiri sebenarnya menerima Islam secara bernegara pada 1301M apabila berlakunya futuwwah (pembukaan) wilayah tersebut oleh Kerajaan Islam Delhi. (Mohd Radzi Haji Othman, Et.al. (1989), Beberapa Aspek Tamadun Islam, …)
Kesimpulannya, paling awal kedatangan Islam dari India ini pada awal kurun ke 11M.Paling lewat Islam sampai ke AM dari India pada awal kurun ke-15. Para Pedagang dari India bertanggungjawab membawa Islam di AM berdasarkan sumber-sumber sejarah sebagaimana di atas. Realiti ini memberi jawapan bahawa betapa tingginya Islam sehingga wujud suatu interaksi sihat antara dua bangsa yang lain darah, budaya dan lain-lain; namun masih boleh bersatu dan membangunkan tamadun Nusantara atas asas yang sama iaitu Islam.
Islam Datang Dari China dan Champa
Penulis tidak mahu membincangkan kesahihah (validity) Suma Oriental oleh Marco Polo ini kerana kritikan terhadap karya beliau ini sudah Penulis singgungkan dalam artikel lalu – “Idealis-Mahasiswa, Sejarawan Dan Keabsahan -Zainul”.
Pendirian oleh Sejarawan Marco Polo ini turut disokong oleh Sejarawan lain, P.E. De Josselin De Jong. Hujah Josselin De Jong bertitik-tolak pada jumpaan batu nisan di wilayah jiran Perlak iaitu Pasai. Pada fizikal sumber artifak tersebut terukir nama sultan Malik al-Salih, iaitu nama Sultan Pasai. Pada batu nisan tersebut juga terdapat tarikh meninggal Malik al Salih iaitu pada 1297M. Secara logiknya, kedatangan Islam ke AM pasti lebih awal dari tarikh tersebut.
Asas jumpaan batu nisan ini dilengkapkan dengan catatan sejarah di China sendiri berhubung hubungan diplomatik China-Pasai. Menurut Josselin De Jong, pada kurun ke-13M telah berlaku hubungan diplomatik tersebut dapat dilihat apabila pengutusan 2 diplomat Pasai iaitu Hasan dan Sulaiman ke negara China tersebut. Peristiwa bersejarah tersebut berlaku pada 1282M. (Dr. Mohd Radzi Haji Othman, et.al., h.164)
Asas sejarawan ini sangat berbeza dengan asas sejarawan Morquette. Morqoette pernah disanggah Syed Muhammad Naquib al-Attas kerana temuan batu nisan diGerisik pada 1419M mempunyai ciri persamaan dengan batu nisan di Gujerat; sebagai asas teori kedatangan Islam di AM asalnya datang dari Gujerat, India. Pada pandangan penulis, sanggahan ini bertitik tolak pada sikap melampau Sejarawan sendiri dalam memberi penjelasan sejarah sesuatu sumber sejarah; walaupun sumber tersebut adalah sumber artifak yang secara simplenya sudah boleh diakui kebenaran sumber sejarah tersebut.
Pada pandangan Penulis, penjelasan sejarah oleh Josselin De Jong agak tidak melampau. Beliau lebih berpaut pada sumber tulisan (written sources) sendiri. Lazimnya, sumber tulisan lebih membawa pada satu makna atau satu intepritasi sejarah. Berbeza dengan sumber arkiologi atau artifak (pictorial / fegured sources) membawa kesimpulan intepritasi sejarah tidak pada satu premis; tetapi lebih literal dan berisiko “melampau” oleh sejarawan.
Sebab itu, tanggungjawab menulis sejarah kegiatan manusia oleh individu-individu yang terlibat dalam satu-satu peristiwa itu sangat penting; agar persembahan atau kesimpulan satu-satu peristiwa itu berlaku sejarah sahih dan realiti serta jauh dari unsur “melampau” dalam intepritasi sejarah.
Dengan ertikata yang lebih mudah, aktivis Pro Mahasiswa yang terlibat dalam peristiwa bakaran banner calon haram MPPUM dalam PRK 4 Disember baru-baru ini seharusnya menulis sejarah peristiwa tersebut secara akademia; agar generasi terkemudian tidak “melampau” atau terlalu bergantung pada pictorial sources seperti “gambar” tertentu dan sebagainya semata-mata.
Masih dalam perwacanaan teori Islam sampai ke AM dari China, sejarawan Gardener dan Emmanuael menyinggung pandangan yang berbeza. Menurut 2 sejarawan tersebut, Islam sampai ke China dari jalan darat oleh para pedagang Arab lembah Arabia sendiri sejak zaman Khalifah Uthman al-Affan lagi. Realiti ini mengalami tahap pertapakan dan perkembangan sejak zaman Bani Umayyah dan Abasiyyah apabila bilangan pedagang-pedagang Arab yang berhijrah ke China dalam angka yang besar. Dalam catatan sejarah China, seawal kurun ke-8M, sudah wujud penempatan masyarakat peranakan Arab di Canton. Kewujudan masyarakat Arab tersebut bukan sahaja dapat dilihat pada wujudnya penempatan-penempatan tetap, malah pada kewujudan Jabatan Kira-Kira yang diselenggarakan oleh para pedagang Arab itu sendiri. (Dr. Mohd Radzi Hj. Othman, et.al., h.164)
Apa kaitannya kewujudan Pedagang Arab di Canton dengan persoalan pokok yang dibincangkan. Realiti di atas ini menjadi hujah bahawa Islam yang sampai ke alam Melayu dilakukan oleh para Pedagang Arab yang tinggal di Canton (China) paling lewat pada kurun ke-8M dengan AM. Dakwah Islamiyyah tersebut dilakukan sendiri oleh pedagang-pedagang Arab, bukan para pedagang berketurunan Cina. Maka, secara teorikalnya Islam itu bukan datang daripada rantau Arabia, tetapi datang daripada China. Perwacanaan pada perenggan ini adalah pandangan peribadi Penulis sendiri.
Teori kedatangan Islam di AM dari China turut diketengahkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut al-Attas, pada sekitar tahun 878-879M, iaitu pada zaman Hsi Tzung peristiwa krisis etnik di Pelabuhan Canton. Kediaman dan nyawa para pedagang asing di sana banyak musnah disebabkan pemberontakan bangsa setempat. Lebih 100 000 nyawa termasuk daripada para pedagang Arab telah menjadi korban dalam peristiwa berdarah tersebut. Implikasi tersebut membawa pada penghijrahan para pedagang yang terselamat ke Kedah dan Parlembang demi mendapatkan perlindungan. Kedatangan mereka ke Kedah dan Parlembang ini dijadikan asas teori Islam datang dari China.
Dalam catatan China juga, pemberontakan seumpama di atas juga turut berlaku pada 618-906M iaitu pada zaman Dinasti T’ang di mana tidak kurang 5000 para pedagang asing termasuk komuniti Arab telah dibunuh. Para pedagang yang terselamat telah berhijrah ke Champa, Nusantara demi mendapat perlidungan. Kedatangan mereka ke sana juga diukur sebagai batu masa pada teori kedatangan Islam AM tersebut dari China.
Berhubung teori ini juga, terdapat beberapa jumpaan sumber artifak atau arkiologi. Antaranya termasuk jumpaan batu Nisan seorang wali Allah berketurunan Arab di Pekan, Pahang yang bertarikh 1028M di mana atas batu nisan ini terukur ayat-ayat al-Quran. Temuan batu nisan turut berlaku di Leran, Surabaya bertarikh 1082M atau 1102M yang sangat ketara ciri-ciri keIslaman batu nisan tersebut.
Beberapa batu nisan yang hampir sama dengan batu nisan di Pekan dan Leran turut dijumpai di Phangrang, Kemboja (juga dikenali sebagai Champa). Di atas beberapa batu nisan tersebut terdapat beberapa tatacara berkaitan cukai serta modus operandi pembayaran cukai menurut Islam.
Lebih daripada itu, di Kuala Berang, Terengganu terdapat Batu Bersurat bertarikh 1303M di mana di atas batu bersurat tersebut peraturan dan kewajipan menunaikan hukum-hakam Allah seperti hukuman bagi penzina dan sebagainya. Di Langgar, Kedah turut dijumpai batu nisan milik Syeikh Abd. Al Qadir ibn Husain Syah Alam bertarikh 903M. (Abdul Rahman Haji Abdullah (Cet.2), 1992: 40-41)
Bagi Penulis, jumpaan sumber-sumber artifak ini sekiranya tidak kuat untuk dijadikan penjelas (clarifier) pada teori kedatangan Islam dari China atau Champa berdasarkan ciri-ciri fizikal antara beberapa sumber artifak tersebut, sekurang-kurangnya menjadi bukti betapa Islam sangat dominan dalam perkembangan Tamadun Melayu Tradisonal sebelum umat Manusia mengenali negara bangsa (nation state) Malaysia yang plural dari segi etnik, kepercayaan, bahasa pertuturan, fikrah kehidupan dan sebagainya.
Islam Datang Dari Arab / Parsi
Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah, perwacanaan berhubung teori ini boleh dibahagikan pada beberapa tahap agar persembahan sejarah lebih teratur dan mudah difahami. Tahap-tahap tersebut terdiri oleh tahap (1)Tahap Persinggahan; (2)Tahap Pertapakan; dan (3)Tahap Penyeberan Islam secara meluas.
Tahap pertama ini berlaku sejak zaman Pra-Islam lagi kerana AM sudah berinteraksi dengan tamadun Arab. AM terkenal sebagai rautau pengeluar kapur (juga dikenali sebagai kapur barus) dan rempah ratus seperti lada, bunga cengkeh, buah pala, kemenyan dan sebagainya; yang menjadi keperluan pada masyarakat Asia Tengah dan sekitar laut Mediteranean. Keperluan-keperluan ini selain memberi jawapan rasional wujudnya hubungan langsung AM dengan rantau Arabia, kapur sendiri menjadi sebahagian dari budaya dan bahasa arab sendiri – kāfūrā (كافورا )
Asimilasi suku kata Nusantara dalam perbenderahaan Arab dapat dilihat sendiri dalam al-Quran al-Karim. Firman Allah di dalam al-Quran al-Karim :-
إِنَّ اْلأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسً كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا ﴿ سورة الإنسان : 5
“Sesungguhnya orang-orang yang berbuat baik meminum dari gelas (minuman tersebut) bercampur dengan kapur (nama tumbuh-tumbuhan yang harum baunya)”
Menurut al-Sabuni di dalam karyanya Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, maksud kāfūrā (كافورا ) sebagaimana ayat di atas ini adalah “…kekuatan yang boleh mendinginkan (menahan dari rosak) dan mempunyai bau yang harum…”. Menurut Prof. Dr. HAMKA, kāfūrā (كافورا ) dalam ayat di atas ini merujuk pada kapur barus. Kapur barus ini hanya tumbuh di Nusantara khususnya di Beruas.
Pada pandangan Penulis, suku kata kāfūrā (كافورا ) sendiri adalah kalimah ‘ajam (asing) dan tergolong dalam mamnu’ mina as-sorfi (dihalang daripada perubahan baris dan bunyi).
Mustahil kapur barus ini dalam pengetahuan dan perbendaharaan kata Arab Quraisy kecuali terlebih dahulu wujud hubungan langsung antara kedua-dua peradaban ini hatta membawa asimilasi kāfūrā (كافورا ) dalam dunia Arab. Dengan erti kata lain, hubungan perdagangan AM dan tanah Arabia sudah wujud sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w lagi.
Teori ini diperkuatkan oleh hadith Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan Jama’ah daripada Ummu ‘Athiyyah yang bermaksud, “…Rasulullah S.A.W masuk menemui kami ketika meninggalnya puterinya, maka sabdanya: Mandikanlah ia tiga atau limau atau beberapa kalian yang dianggap perlu, lebih banyak lagi, dengan air dan bidara dan terakhir campurlah dengan kapur (kapur barus) atau sedikit dari kapur (kapur barus). Jika sudah selesai, beritahukanlah saya. Setelah selesai, kami memberitahu Nabi, maka diserahkannya kepada kami kain sarungnya, serta sabdanya: lilitkanlah pada badannya…”
Bagi penulis, sebutan kāfūrā (كافورا ) oleh Rasulullah s.a.w membuktikan bahawa keperluan kāfūrā (كافورا ) tersebut wujud dalam masyarakat Arab sendiri; sekurang-kurangnya dalam tatacara menguruskan jenazah seorang Muslim. Lebih daripada itu, mustahil keperluan kāfūrā (كافورا ) tersebut wujud pada zaman Nabi, jika sekiranya hubungan perdagangan antara Tamadun Arab dan Peradaban Melayu tidak terlebih dahulu wujud secara rasional dan tabi’e (semulajadi).
Kesempatan perdagangan kāfūrā (كافورا ) dan barang-barang lain yang hanya terdapat di AM; dan realiti keperluan masyarakat rantau Arabia dan Mediteranean sebagaimana di atas ini turut dimanfaatkan oleh para pedagang Muslim-Arab (dan yang datang daripada rantau Arabia) untuk menyebarkan agama Islam sama ada kepada para pedagang Melayu yang pergi ke sana atau dakwah Islamiyyah tersebut berlaku di rantau Nusantara sendiri. Dengan erti kata lain, teori kedatangan Islam adalah dari Arab. (Abdul Rahman Haji Abdullah: 31).
Selain itu, pada tahun ke-8 Hijriah, telah berlaku ‘Amul Wufud (Tahun Perutusan). Pada tahun tersebut, Rasulullah s.a.w telah mengutuskan para Sahabat ke seluruh rantau Arabia demi menyebarkan Islam secara bernegara atau berdelegasi. Sejarah Islam juga membuktikan Saidina Mu’adz bin Jabal pernah diutuskan ke Yaman untuk menjalankan dakwah Islamiyyah.
Sesuatu yang menarik, di Yaman tersebut terdapat perlabuhan interport dan antarabangsa yang terletak di Hadramaut. Perlabuhan tersebut menjadi tempat persinggahan pelbagai pedagang seantero dunia termasuk pedagang-pedagang Melayu yang datang untuk berdagang rempah ratus dan kāfūrā (كافورا ) sendiri.
Asas lain bagi teori kedatangan Islam pada tahap ini adalah Rasulullah s.a.w pernah mengutuskan seorang Sahabat yang bernama Wahab Abi Kabsyah ke China dan beliau sendiri telah meninggal dunia di Canton. Walaupun asas ini sepatutnya menjadi teori kedatangan Islam ke China, namun masih boleh dijadikan sandara dakwah Islamiyyah ini telah pergi sejauh China sejak zaman Nabi; dan China sendiri sudah mempunyai hubungan perdagangan secara langsung dengan Champa di Nusantara seawal kurun paling lewat pada kurun ke-7M.
Pada zaman Khalifah Uthman bin al-Affan (644-656M), Saidina Saad bin Abi Waqas pernah diutuskan ke China. Bukti pengutusan ini diperkuatkan melalui pengasasan Masjid Wan Shin-zi (maksud: Masjid Kenangan Nabi) di Canton. Dalam perjalanan ke China, deligasi ini pernah singgah di Pulau Jawa dan beberapa pulau di AM. Secara implisitnya, penyebaran Islam turut berlaku di AM pada tahap pesinggahan tersebut.
Tahap Kedua dikenali sebagai tahap pertapakan. Tahap ini amnya berlaku sekitar tahun 674M berdasarkan tanda aras wujudnya penempatan masyarakat arab Islam di kepulauan Melayu khususnya di Pantai Barat Sumatera. Selain itu, di Jawa juga wujud penempatan masyarakat Arab juga. Masyarakat tersebut dikenali sebagai “Ta-Shih”.
Dalam catatan Arab, Khalifah Muawiyyah bin Abi Sufian (661-680M) pernah cuba menyeberangi Nusantara demi membuka (futuwwah) Pulau Jawa. Pada ketika itu, Pulau Jawa di bawah pemerintahan Ratu Sima. Selepas mendapati Ratu Sima seorang raja yang adil, maka khalifah menangguhkan hasratnya sebagai menghormati “keadilan hak” di pulau tersebut.
Selain itu, Khalifah Muawiyyah bin Abi Sufian turut melakukan dakwah Islamiyyah ke atas kerajaan Srivijaya. Pemerintah kerajaan Srivijaya pada ketika itu dikenali sebagai Raja Lokitavarman. Ada pandangan mengatakan Raja tersebut memeluk Islam; dan pandangan lain adalah sebaliknya.
Namun, sejarawan amnya bersependapat bahawa hubungan Umayyah (di Damsyik) dan Srivijaya (di Nusantara) sekurang-kurangnya tetap berlaku dalam rupa hubungan diplomatik dan perdagangan. Hubungan diplomatik-perdagangan ini berlanjutan sehingga zaman Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (715-717M).
Pada zaman Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (717-720M), pemerinta Srivijaya yang dikenali sebagai Raja Srindavarman telah memeluk agama Islam. Lebih dari itu, Srivijaya telah dinamakan sebagai “Sribuza Islam”. Peristiwa tersebut berlaku sekitar tahun 718M.
Pada zaman Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (717-720M), pemerinta Srivijaya yang dikenali sebagai Raja Srindavarman telah memeluk agama Islam. Lebih dari itu, Srivijaya telah dinamakan sebagai “Sribuza Islam”. Peristiwa tersebut berlaku sekitar tahun 718M.
Masih dalam tahap pertapakan, Raja Jay Sima, iaitu anak kepada Ratu Sima juga telah memeluk Islam pada sekitar tahun 726M. Pemelukan Islam oleh kedua-dua pemerintah tersebut (Raja Srindavarman dan Raja Jay Sima) telah membuka peluang perdagangan oleh para pedagang Arab; hatta mereka menetap di Nusantara secara implisit.
Selain itu, jawapan sejarah bagi peristiwa ini dilihat pada peristiwa pelarian golongan Syiah ke Nusantara demi menyelamatkan diri daripada pemerintah Khilafah Islam Bani Umayyah. Pelarian mereka ini melalui jalan Champa dan membina penempatan di Kepulauan Sulu, Sulawesi dan Kalimantan.
Pada zaman Khalifah al-Makmum (Kerajaan Bani Abasiyyah), sekali lagi pemberontakan telah dilakukan oleh Syi’ah Alawiyyah. Pemberontakan tersebut berjaya dipatahkan oleh Khalifah. Sesuatu yang menarik, Khalifah tidak menghukum bunuh mereka kerana sah dikenali “bughah” (penderhaka), tetapi Khalifah menyarankan mereka keluar dari rantau Arabia dan menjalankan dakwah Islamiyyah di tempat lain yang masih belum menerima seruan Islam.
Pada tahun 800M, armada dakwah Islamiyyah tersebut yang diketuai oleh Nahkoda Khalifah dan lebih 100 orang muslim telah sampai di Perlak, Sumatera (Nusantara). (Abdul Rahman Haji Abdullah; 1990:37 & Abdullah Ishak; 1990:96) Kedatangan mereka ini secara tidak langsung menjadi jawapan bagi teori kedatangan Islam di Nusantara adalah dari Arab; dan peristiwa ini berlaku pada tahap pertapakan.
Tahap ketiga pula dikenali sebagai Tahap Penyebaran Islam secara meluas. Bagi Penulis, tahap ini lebih sesuai kekenali sebagai Tahap Penyebaran Islam Secara Ber-Negara (Daulah Islamiyyah). Berdasarkan bacaan Penulis, tahap ini mula ditempuhi oleh AM paling lewat adalah pada kurun ke-13M.
Bermula kurun ke-13M ini, boleh dikatakan banyak gugusan kepulauan telah menerima Islam. Pemelukan Islam secara ber-Negara di Perlak, Pulau Jawa, Sulawesi, Kepulauan Sulu (Maluku), Kedah Tua, Champa dan sebagainya sehingga wujud asimilasi nilai dan jatidiri antara para du’at (pendakwah-pendakwah) di kalangan para pedagang dan penduduk asal di Nusantara (Penulis: komuniti etnik Melayu).
Kurun Ke-14M (1414M), Institusi Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Paramiswara. Namun, berdasarkan bacaan peribadi Penulis; Paramiswara bukan pemerintah pertama memeluk agama Islam. Menurut Wang Gunwu (1968), penama Sultan Megat Iskandar Shah yang kononnya nama Islam bagi Raja Parameswara; adalah tidak sahih dan dua individu yang berbeza. Menurut Ma Huan, Parameswara mangkat pada tahun 1414M, manakala Megat Iskandar Syah memeluk Islam pada usia 72 tahun apabila mengawini Puteri Raja Pasai (dari Sumatera) (Kassim Thukiman, 2002:29)
Walau bagaimanapun, Institusi Kesultanan Melayu Melaka pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1446-1459M) dan penggantinya, Sultan Mansur Shah merupakan “golden ages”. Kegemilangan zaman tersebut salah satunya adalah berpunca oleh faktor praktisnya Islam secara menyeluruh. Penulis akan mewacanakan secara khusus berhubung pengaruh-pengaruh Islam di AM (khususnya di Melaka) dalam siri blog yang lain.
Bermula kurun ke-11M, AM turut berdepan oleh pelbagai globalisasi dan cabaran massa. Pertama, gerakan kristianisasi dan oriantalis. Gerakan tersebut merupakan suatu lanjutan pada Perang Salibiyyah; dan suatu inisiatif penganut Kristian sedunia yang berhasrat membebaskan Bait al-Muqaddis daripada Khilafah Islamiyyah.
Gerakan ini juga berlaku melalui jalan perdagangan, dakyah (missionary) dan sebagainya oleh beberapa imperialis Barat. Kemuncak pada gerakan tersebut apabila jatuhnya Institusi Kesultanan Melayu Islam Melaka pada 1511M di bawah imperialis Kristian yang dikenali sebagai Portugis.
Kejatuhan Kerajaan Islam Abasiyyah di Baghdad di bawah tentera Tartar yang diketuai oleh Hulagu Khan turut mempengaruhi lanskap dunia Islam di AM. Kejatuhan tersebut adalah hasil kesanggupan puak Syiah membuka pintu Baghdad kerana konflik dalaman mereka dengan puak Sunni (termasuk Khilafah Islam Abasiyyah).
Implikasinya, lahir beberapa kerajaan alternatif (yang sebelum ini di bawah suatu Khilafah Islam). Antaranya termasuk kerajaan Ayubiyah (1171M), kerajaan Mameluk (1206-1257M), kerajaan Turki Uthmaniyyah (di Asia Minor), Kerajaan Mughal dan Kerajaan Delhi (di India), dan sebagainya.
Di Nusantara, turut berlaku pertembungan Syiah dan Sunni. Pengaruh Syiah di Nusantara turut dominan sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah pasca kejatuhan Kerajaan Abasiyyah (1258M). Dominasi Syiah tersebut ketara dalam tradisi tasawuf, tariqat dan world view para cendekiawan Muslim di Nusantara. Implikasinya, cendekiawan Muslim di Nusantara selain dihimpit oleh pertembungan mazhab sunni-syi’i, apa yang lebih parah adalah masyarakat Muslim sendiri dibelenggu oleh budaya taklid (mengikut sesuatu perkara secara tanpa nas) dan jumud (ortodoks).
Fenomena tersebut ditegaskan oleh HAMKA (1990), bahawa Islam di AM berkembang di bawah pengaruh tariqat dan tasawuf oleh masyarakat AM sama ada dari golongan pemerintah (Penulis: golongan istana) atau rakyat; sedangkan ia lebih banyak membawa keburukan dari kebaikan.
Berdasarkan asas-asas di atas sama ada pada tahap (1)Tahap Persinggahan; (2)Tahap Pertapakan; dan (3)Tahap Penyeberan Islam secara meluas; para Sejarawan tempatan cenderung pada Teori Kedatangan Islam datangnya dari Arab. Antara asas sampingan lain termasuk:-
Pertama, kewujudan tulisan Jawi dipercayaan hasil sintesis tulisan Arab (Aramic) dan tulisan non-Aramic. Tulisan non-Aramic yang dimaksudkan adalah “Ga”, “Cha”, “Nya: dan sebagainya. Segelintir Sarjana berpendapat asal tulisan non-Aramic ini dari Parsi (di Asia Tengah; kini dikenali sebagai Republik Islam Iran). Namun, menurut, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan HAMKA, penambahan beberapa huruf non-Aramic ini dilakukan sendiri oleh cendekiawan Melayu-Muslim sendiri sesuai dengan sebutan bahasa Melayu-Kuno di Nusantara. Penulis secara peribadi bersependapat dengan al-Attas dan HAMKA.
Kedua, sebutan dan tatacara bacaan al-Quran di Nusantara lebih hampir dengan sebutan dan tatacara bacaan al-Quran di Timur Tengah (khususnya rantau Arabia); tidak mirip pada bacaan ala penganut Islam di India mahupun China.
Ketiga, boleh dikatakan hampir semua catatan sejarah (written sources) menonjolkan pengIslaman para pemerintah di Nusantara (dari Institusi Kesultanan Melayu Melaka hingga Institusi Kesultanan Melayu Sulu) telah dilakukan oleh para Pedagang Arab atau du’at berbangsa Arab. Menurut C.A. Manjul, perkembangan Islam di Nusantara pada peringkat awal walaupun datangnya dari India, namun masih dilakukan oleh para pedagang Arab. Lebih dari itu, tiada catatan sejarah menyebut bahawa kedatangan Islam di AM ini dilakukan oleh pendakwah berketurunan India mahupun Cina.
Ketiga, bahasa Melayu turut menerima pengaruh perbendaharaan kata dan tatabahasa arab. Sebagai contoh, fakir. Syukur, sahabat, kertas, dakwat, sultan, soleh dan sebagainya adalah berasal dari perbendaharaan kata bahasa Arab. Ketiga-tiga asas ini lebih cenderung pada unsur rasionalisme; tidak nas sejarah.
Pertama, sekurang-kurangnya Sejarawan Malaysia seharusnya menerima hakikat bahawa kedudukan Islam di AM terlalu dominan sebelum pembentukan Malaysia. Jika Pembentukan Malaysia tidak mengambilkira jatidiri AM sendiri seperti kedudukan Institusi Kesultanan Melayu-Islam, parktis Islam secara bernegara, unsur Islam dalam budaya, kewujudan tulisan jawi dan sebagainya sebagai teras utama; apa lagi kayu ukur dan neraca lain yang seharusnya dijunjung bersama di Malaysia?
Kedua, secara implisitnya jika jujur Sejarawan mengiktiraf dominasi Islam di AM, seharusnya juga kita menolak beberapa kenyataan liar oleh para pemimpin negara bahawa Malaysia adalah negara Sekular? Sila cermati pandangan politik oleh YB Lim Kit Siang -DAP, Tan Seri Dr. Koh Tsu Koon (Ketua Menteri Pulau Pinang –Gerakan), YB Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz (Menteri di JPM – UMNO), dan sebagainya.
Ketiga, orang Melayu berdiri atas nilai Islam asalnya. Dan Islam sangat jelas dalam kebudayaan dan world view masyarakat Melayu. Dengan erti kata lain, Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu jika diukur pada realiti Sejarah dan fikrah umat Melayu Nusantara. PAS dan UMNO juga seharusnya melihat realiti ini melalui tempuhan pengalaman umat Melayu Islam lampau di Nusantara. Jawapan pada hubungan Melayu dan Islam ini sebenarnya ada dalam fikrah manusiawi yang akademia dan integriti?.
Jangan salahkan rakyat jika PRU12 bakal menyaksikan PAS akan terus menerima mandat kepemimpinan di peringkat negeri-negeri majoriti umat Islam, jika kerajaan Malaysia di bawah UMNO/BN tidak peka terhadap jatidiri Islam secara berkerajaan. Pada pandangan Penulis, PAS sendiri sangat sinonim dengan Islam dan jatidiri Islam ini menjadi sumbu kekuatan PAS. UMNO pula masih dengan nasionalis-ektream (bumiputeranisme) dengan menjadi parti Melayu tunggal di Malaysia.
Jatidiri Melayu dalam UMNO kian rapuh apabila parti tunggal Melayu tersebut berbudaya rahsuah, nepotiesma, kronisme, ultralitarian dan pelbagai budaya negatif yang bukan sahaja mengancam servival parti tersebut, malah kepentingan umat Melayu di Malaysia. PAS pula senantiasa dalam dilemma sama ada terus jujur menonjolkan wawasan Islam mereka, atau memulihara semula kepentingan Melayu yang kian dikhianati UMNO dewasa ini.
Keempat, secara rasionalnya tidak ada negara bangsa (nation state) yang dibentuk dan direputasi, tanpa mengambil kira tempuhan pengalaman sejarah lampau negara bangsa tersebut. Kebanyakkan negara bangsa yang kuat salah satu faktornya disebabkan oleh dokongan kekuatan sejarah negara bangsa tersebut. Sebagai contoh, Republik Islam Iran yang gah hari ini selain menonjolkan nilai Islam, mereka juga sangat gah dengan sejarah Sasanid mereka. Begitu juga Jepun, dengan sejarah Maharaja Tokugawa (1603-1867M) dan Meiji (1868-1912); dan sebagainya.
Di mana jatidiri pembinaan bangsa kita, jika kita tidak terlebih dahulu kembali menghayati sejarah negara bangsa (nation state) kita?
Pada pandangan Penulis, salah satu jatidiri bangsa Malaysia adalah Islam. Jatidiri Islam tersebut telah meletakkan kita sangat kuat dan gah di pentas Nusantara suatu ketika dahulu. Jatidiri ini dalam konteks Malaysia moden seharusnya direputasi semula. Sekurang-kurangnya dalam sistem pendidikan, sistem moral, sistem perundangan dan sistem kepemimpinan sendiri.
Kelima, rakyat kebanyakan tidak sepatutnya dipaksa menganut Islam (jika mereka non-Muslim sahaja) biarpun salah satu jatidiri Malaysia adalah Islam. Tetapi, kepemimpinan No.1 Malaysia adalah wajib mempraktikkan Islam secara bernegara demi memastikan Islam kembali menjadi jatidiri “bangsa dan negara” Malaysia. Tidak dapat tidak, diri sendiri terlebih dahulu perlu faham Islam.
Menurut Hassan al-Banna, “…kefahaman adalah pendahulu pada perintah suruhan dan larangan (Penulis: syariat Islamiyyah)… al-fahmu muqaddamu ‘ala al-amri wa an-nahi.”
No comments:
Post a Comment