"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Saturday, November 17, 2007

Ingatan Tuan Guru Dato' Presiden!


Jangan lagakan rakyat dengan raja - Presiden PAS
Nyza Ayob
Sat Nov 17, 07 10:31:23 am MYT


KUALA LUMPUR, 17 Nov (Hrkh) - PAS menyeru agar jangan ada mana-mana pihak cuba melaga-lagakan di antara rakyat jelata dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Mizan Zainal Abidin, Raja-raja Melayu atau pihak istana.

Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan yang disampaikan kepada Harakahdaily menegaskan, parti itu tidak pernah sekali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa pihak istana khasnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terlibat dalam apa bentuk sekalipun, dalam menjayakan perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu.

Tegasnya, PAS tidak pernah dan tidak akan sekali-kali memperjudi atau menggadaikan kesetiaannya kepada Raja dan Negara.

Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut adalah perhimpunan aman masyarakat sivil, iaitu rakyat Malaysia yang bangun menuntut hak mereka bagi memulihkan sistem pilihan raya, iaitu tonggak amalan demokrasi negara yang terbukti semakin tercemar dan tempang.

Jelas Abdul Hadi, melalui gabungan Bersih, PAS bersama-sama 60 NGO dan parti-parti politik yang lain telah turun ke Kuala Lumpur untuk berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum tuntutan atas nama Bersih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas keyakinan bahawa baginda adalah payung dan pelindung rakyat dalam keadaan rakyat mula mencurigai sistem pilihan raya yang dikendalikan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR).

Sehubungan itu katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS,Dato' Kamarudin Jaffar Isnin lepas, bermaksud bahawa Bersih telah terlebih dahulu menerima perkenan daripada baginda untuk menyerahkan memorandum rakyat jelata itu ke Istana Negara pada hari Sabtu berkenaan.

Beliau menegaskan, PAS tidak pernah mendakwa yang baginda terbabit dalam Perhimpunan Aman Bersih itu atau baginda bersetuju di atas kandungan memorandum Bersih.

Bagaimanapun katanya, Bersih berlapang dada atas apa sahaja tindakan yang bakal baginda ambil terhadap memorandum tersebut.

Sementara itu, akhbar hari ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara tidak pernah memperkenankan atau menyokong mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram di ibu negara, 10 November lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, menyatakan Seri Paduka kesal kerana beberapa pihak tertentu mendakwa perhimpunan itu mendapat perkenan dan sokongan baginda serta Istana Negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan perhimpunan Bersih itu bertujuan memerangkap institusi raja-raja ke kancah politik parti pembangkang.

Beliau menyatakan bahawa raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong tidak akan terpengaruh dengan tindak-tanduk golongan tersebut yang cuba mengambil kesempatan meraih sokongan politik.

No comments: