Cina Muslim boleh pimpin gerakan Islam
Maslan Yusoh Sat May 13, 06 02:33:05 PM
Kehangatan muktamar PAS kali ke-52 di Alor Setar semakin terasa sekarang. Ribuan ahli, penyokong dan pemerhati sudah berada di negeri 'Baluh Negara' itu bagi mengikuti ucapan dasar Presiden esok. Bagi Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat isu keahlian bersekutu wajar diungkit kembali. Alasannya Islam bukan milik orang Melayu sahaja. Ikuti pandangannya sebelum bertolak ke Kota Setar semalam.
Sebelum Tuan Guru pernah membangkitkan isu keahlian bukan Islam. Adakah wajar pada muktamar kali ini diungkit kembali isu lama?
Kita orang Melayu kebanyakan menjaga Islam untuk diri sendiri. Tidak ada semangat untuk menyebarkan Islam ke seluruh masyarakat. Ini sebenarnya salah kerana Islam bukan untuk dikurung dalam sesuatu kelompok manusia sahaja. Islam dijadikan untuk disebarkan. Orang panggil dakwah. Kita di Kelantan, kita dakwah dalam bentuk kerajaan Islam. Ini sebenarnya cabaran dakwah bagi membolehkan orang bukan Islam melihat sendiri apa yang telah kita lakukan. Betulkah Islam dianggap ganas.
Di Kelantan kita pamerkan Islam tidak guna kaedah keganasan. Betulkah Islam tidak suka kepada pembangunan. Sedangkan kita juga buat pembangunan di Kelantan. Biar orang tengok sendiri gerakan Islam di Kelantan secara nyata dan terang. Kalau hendak disebut sekadar pembangunan, semuanya ada di Kelantan. Malah bagi pendidikan agama kita peruntukan kira-kira RM50 juta setahun. Kita memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mewujudkan institusi pendidikan di Kelantan.
Malah sekarang kita juga ada sekolah latihan penerbangan. Dan sekolah kejuteraan penerbangan sedang dalam perancangan untuk dibina di sini. Kita bukan antipembangunan dan tamadun. Sejak kita pegang Kelantan, kita melaksanakan mengikut al Quran dan Hadis. Dan sesiapa fikir apa yang kita buat sekarang tidak kena dengan al Quran dan Hadis maka mereka kena tegur, kita akan terima secara terbuka. Asas Islam ialah al Quran, Hadis, ijmak dan qias.
Kenyataan yang saya buat sebelum ini, turut mendapat respon positif daripada Timbalan Presiden PAS yang menjelaskan mahu mengkaji perkara-perkara yang boleh menghalang kepada ahli bersekutu dibuka kepada orang bukan Islam. Dan bagi saya permulaan yang berlaku sekarang cukup baik bagi membolehkan Islam berkembang kepada kaum bukan Islam terutamanya orang Cina. Saya juga berharap orang Cina yang beragama Islam boleh memimpin gerakan Islam pada suatu masa nanti.
Kalau orang Melayu nampak sejuk, slow adalah lebih baik bagi kepada orang Cina Muslim untuk mengetuai gerakan Islam. Mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas, tambahan pula ramai yang mempunyai harta dan berpendidikan tinggi. Biar orang Cina merasai bahawa menjadi tanggungjawab mereka sebagai manusia dan cuba membetulkan pemikiran lama orang Melayu. Jangan mereka merasakan Islam adalah hak orang Melayu semata-mata. Apabila orang Cina boleh memimpin maka jelaslah sekarang, Islam bukan agama milik orang Melayu sahaja. Kita hidup di dunia ini telah ditetap akan dihidupkan semula di akhirat kelak dan bakal menerima pembalasan.
Maksudnya Cina Muslim ketuai gerakan Islam?
Boleh bagi peluang kepada Cina Muslim. Pada peringkat permulaan biar kita dakwah kepada masyarakat Cina dahulu kerana mereka adalah etnik yang terbesar di negara ini selepas orang Melayu. Mereka juga mempunyai sejarah kedatangan Islam ke Tanah Besar China lebih awal berbanding kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Maka mereka lebih berpengalaman untuk memimpin masyarakat Islam.
Tidak timbul masalah kepada masyarakat Melayu?
Tidak menjadi masalah. Contohnya di negara Arab bukan bangsa Arab yang memimpin Islam, orang Arab sekejap sahaja, selepas itu datang orang Mesir, Iran, Turki dan Sepanyol. Itu sejarah yang berlaku di tanah Arab. Begitu juga pengarang kitab Hadis dan Tafsir, mana ada orang Arab yang tulis. Imam Tarmizi, Abu Daud, Bukhari, Muslim dan ramai lagi bukan orang yang lahir di Semenanjung Arab.
Mungkinkah ia boleh memberi tafsiran baru kepada suasana demokrasi di Malaysia?
Golongan yang menolak Islam sama ada demokrasi atau berfahaman kebangsaan mereka menganggap bumi yang mereka kuasai sekarang adalah milik mereka. Maka mereka tidak peduli langsung kepada perintah Allah Taala. Mereka membuat sesuka hati kerana merasakan semuanya hak dia. Tetapi orang Islam sama ada Melayu atau Cina merasakan bumi ini adalah 100 peratus milik Allah Taala.
Kita hanya bertaraf khalifah, sama seperti pengurus yang tidak boleh buat pandai-pandai terhadap harta syarikat. Dia mesti patut kepada segala peraturan syarikat. Begitu juga dengan kehidupan kita tidak boleh buat pandai-pandai kerana semua perkara adalah milik mutlak Allah Taala. Kita mesti turut peraturan ditetapkan Allah.
Bagaimana pula Tuan Guru melihat bebanan kehidupan rakyat sekarang?
Ada menteri menyebut tidak membebankan rakyat biar pun harga minyak naik, kerana mereka mempunyai pendapatan besar. Tak apa lah bagi mereka. Menteri mendapat banyak kemudahan secara percuma. Bagaimana pula dengan rakyat yang berpendapatan kecil. Kalau dulu motokar dapat diisi minyak setangki penuh sebanyak RM60 dan sekarang telah meningkat kepada RM90.
Ini bermakna duit mereka kurang sebanyak RM30. Mereka hendak mencari duit kat mana bagi menampung kekurangan itu, sedangkan gaji pula tidak meningkat. Ini belum lagi dikira dengan kenaikan tarif elektrik yang bermula 1 Jun lalu. Ini akan menyebabkan duit semakin kurang dan kuasa beli akan menjadi semakin lemah sehingga boleh mengundang kepada inflasi. Tidak dapat ditolak kemungkinan timbul kejadian mencuri dan merompak kerana manusia terdesak bagi menyempurnakan kehidupan masing-masing.
No comments:
Post a Comment