Buang Mentaliti 'silo', Titah Raja Nazrin
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyeru rakyat supaya tidak mengamalkan mentaliti "silo" iaitu hanya melihat apa yang berlaku dan tidak mempedulikan apa yang dialami orang lain, kecuali apa yang berlaku terhadap diri sendiri.
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyeru rakyat supaya tidak mengamalkan mentaliti "silo" iaitu hanya melihat apa yang berlaku dan tidak mempedulikan apa yang dialami orang lain, kecuali apa yang berlaku terhadap diri sendiri.
Dalam keadaan sekarang, menurut baginda, mereka tidak lagi boleh menggubal dasar, undang-undang dan peraturan yang bersifat menindas serta tidak beretika."Dalam hal ini, beta yakin, prinsip yang bersifat inklusif perlu dijunjung tinggi. Tidak sepatutnya ada mana-mana kelompok masyarakat yang tidak dihormati, dipandang sangsi dan dinafikan hak mereka sebagai rakyat.
Tidak sepatutnya ada mana-mana kumpulan berasa usaha dan sumbangan mereka dipandang remeh dan tidak diperlukan," titah baginda semasa menyampaikan ucapan khas pada Persidangan LawAsia Ke-21 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Raja Nazrin bertitah bahawa langkah melaksanakan prinsip itu merupakan antara cabaran paling besar yang mendepani pemerintah hari ini, dan pada pendapat baginda, tiada cara yang lebih berkesan bagi menzahirkan prinsip bersifat inklusif selain melalui amalan pemerkasaan.
"Hanya melalui pembangunan inklusif sajalah kita akan dapat menikmati hasil yang berkekalan," titah baginda.Baginda bertitah bahawa pada asalnya, perkataan "pemerkasaan" digunakan dalam konteks persamaan gender tetapi kini ia mempunyai makna lebih meluas.
Ia bukan saja melibatkan mereka yang tergolong dalam kelas bawahan tetapi juga mereka yang tidak berada di serambi kuasa dan mereka yang tidak ada banyak suara dalam mempengaruhi perkara yang menjejaskan kehidupan mereka.
"Ia mengenai pemberian peluang kepada mereka yang tidak mempunyainya, bagi membolehkan mereka menikmati kebahagian dalam kehidupan," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah bahawa kesan daripada kegagalan memperkasakan rakyat atau lebih buruk lagi, melemahkan mereka, ialah wujudnya rasa terpinggir dan permusuhan yang amat mendalam, yang selalunya menjurus kepada wujudnya tindakan ganas, yang merosakkan masyarakat.
Mereka yang berperasaan demikian akan memecah belahkan masyarakat sebagai cara untuk mengatasi rasa tidak puas hati mereka."Ini adalah jenis politik yang buruk dan tidak sensitif.
Pada waktu yang sama, daripada segi moral, kita tidak boleh memejamkan mata terhadap tanggungjawab asas dalam menentukan bahawa semua pemegang kepentingan dalam masyarakat kita, tidak kira sekecil mana atau sama ada penting atau tidak mereka ini, tetap mempunyai tempat di negara ini," titah bagidna.
Raja Nazrin bertitah semua pihak boleh mengabaikan anasir-anasir yang gemar membuat kacau dalam masyarakat tetapi tindakan menutup kedua-dua mata terhadap perkara itu, tidak akan membantu memupuk perpaduan dan integrasi yang diperlukan dalam menghadapi gelodak ekonomi dan sosial yang mungkin terhasil daripadanya.
"Di mana sepatutnya ada kesepakatan, wujud perpecahan. Di mana sepatutnya diwujudkan kelas menengah, sebaliknya wujud sektarianisme yang teruk. Ini bukan spekulasi berdasarkan teori. Kita melihat bukti kewujudannya di seluruh dunia, tidak ketinggalan di Asia sendiri," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah bahawa pemerkasaan merupakan prasyarat bagi membina sebuah Asia yang bersatu-padu serta progresif dan baginda menyebut lima bidang yang boleh membantu mewujudkan hubungan serta pemerkasaan bagi rantau ini.
Titah baginda, prasyarat pertama bagi menghasilkan pemerkasaan ialah memperkukuhkan keluhuran undang-undang, kedua, penyertaan lebih meluas dalam bidang politik, ketiga, pelaksanaan perubahan terhadap "perisian" masyarakat seperti nilai dan kepercayaan, keempat, menjadikan teknologi sebagai sumber pemerkasaan, terutama teknologi maklumat dan komunikasi, dan akhir sekali pendidikan, yang mampu menghapuskan rantaian tradisi yang bersifat menindas dan sikap melampau.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment