"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Wednesday, November 5, 2008

Mengucap Tahniah Perayaan Non Muslim

dipetik dari blog http://one-g.blogspot.com

Islam telah memberi kepada umatnya dua hari raya, iaitu hari raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.

Didalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkata Ia;

قدم رسول الله المدينة ولهم يومان يلعبون فيهما فقال ما هذان اليومان قالوا يومان كنا نلعب فيهما في الجاهلية فقال رسول الله إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم الأضحى ويوم الفطر

Maksudnya;
“sampai Rasulullah SAW akan Madinah, bagi mereka dua hari yang mereka bergembira padanya. Lalu bertanya (Rasulullah SAW), apakah dua hari ini?. Mereka menjawab, dua hari yang kami bergembira padanya semenjak Jahiliyyah. Lalu bersabda (Rasulullah SAW), Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dengan kedua-dua hari ni dengan yang lebih baik, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri”[1]

Dari hadis ini, dengan jelas Rasulullah SAW mengatakan bahawa perayaan Islam sahaja yang lebih baik dari perayaan agama-agama yang lain.

Ekoran dari itu, apakah pula hukum berkenaan dengan mengucapkan tahniah kepada perayaan mereka?

Sebelum dibahas lebih lanjut, ingin difahami, perayaan itu terbahagi kepada dua, iaitu perayaan yang berbentuk ibadat dan adat.

Sekiranya berkompromi dengan perayaan yang berbentuk adat, maka itu dibenarkan, ini kerana, adat bukanlah sesuatu yang berbentuk penyembahan, Seperti hari kemerdekaan, hari pekerja dan sebagainya[2].

Kebenaran yang Islam berikan adalah kerana berasaskan hubungan kemanusiaan. Maka dengan demikian, tidak menjadi satu kesalahan, bersama-sama dengan mereka dalam merayakan perayaan tersebut.

Antara dalil yang boleh diketengahkan adalah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Asma’ binti Abi Bakar telah berjumpa Nabi SAW dan bertanya, Ya Rasulallah SAW, Sesungguhnya Ibuku berjumpaku untuk memberi hadiah kepadaku, sedangkan dia masih musyrik. Apakah boleh menerima hadiah tersebut? Lalu jawab Rasulullah SAW, terimalah hadiah tersebut.[3]

Ini antara dalil untuk membenarkan menyambut perayaan bersama-sama dengan non muslim, selama perayaan itu berbentuk adat, bukan ibadat.

Adapun mengucapkan tahniah atas kehadiran perayaan yang berbentuk penyembahan atau ibadat, perkara ini telah dikhilafkan oleh ulama.

PANDANGAN IMAM IBNU TAIMIYYAH

Imam Ibnu Taimiyyah didalam kitabnya “iqtida’ as-Sirat al-mustaqim mukhalafah Ahl al-Jahim”, melarang keras atas berkongsi perayaan dengan kuffar, juga menghadiri majlis perayaan tersebut.

Antara alasan yang dikemukakan adalah firman Allah;

والذين لا يشهدون الزور

Maksudnya;
“dan mereka yang tidak menghadiri majlis kejahatan/kebatilan”

(surah al-Furqan : 72)

Imam Ibnu Abbas mentafsirkan maksud dengan majlis kejahatan adalah majlis kebatilan[4].

Adapun Mujahid, Rabi’ bin Anas dan Al-Qadhi Abu Ya’la, mereka berpendapat, maksud dengan menghadiri majlis kejahatan dalam surah furqan adalah menghadiri majlis perayaan musyrikin[5].

Imam Ibnu Taimiyyah juga beranggapan, menghadiri perayaan musyrikin dikira sebagai menyalahi maksud firman Allah[6];

اهدنا الصراط المستقيم , صراط الذين أنعمت عليهم , غير المغضوب عليهم و لا الضالين

Maksudnya;
“tunjuklah kami jalan yang lurus, jalan yang telah engkau beri nikmat, bukan orang yang dibenci dan bukan orang yang sesat”

(surah al-Fatihah : 6-7)

Didalam kitab itu juga ada menyebut, kebanyakan ulama bermazhab Hanafi berpendapat, menjadi kufur kepada mereka yang menyerupai kuffar pada perayaan dan pakaian mereka.[7]

Mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan musyrik bermakna mengiktiraf agama mereka, maka dengan itu ianya menjadi haram, ini kerana, Islam adalah satu-satunya agama yang terbaik berbanding dengan agama-agama yang lain.

Firman Allah;

إن الدين عند الله الإسلام

Maksudnya;
“Sesungguhnya Agama disisi Allah adalah Islam”

(surah al-imran : 19)

Kesimpulan dari ulasan di atas, sudah memadai difahami, pandangan Imam Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa meraikan, menghadiri majlis, mengucapkan tahniah dengan perayaan bukan Islam merupakan satu perbuatan haram yang boleh mengugatkan aqidah.

PANDANGAN DR YUSUF AL-QARADHAWI

Dr yusuf Al-Qaradhawi merupakan seorang ulama moden yang agak lembut pandangannya.

Didalam kitabnya, “al-fatawa al-maasarah”, beliau membenarkan mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan agama-agama yang lain dari Islam.

kebenaran itupun sebenarnya tertakluk kepada niat kita yang meletakan atas alasan hubungan kemanusiaan[8], bukan mengiktiraf agama mereka.

Antara dalil yang diketengahkan;

Firman Allah;

وإذا حييتم بتحية فحيوا بأحسن منها أو ردوها

Maksudnya;
“Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa)”

(Surah Al-Nisa’ : 86)

Dan juga, hadis yang pernah menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menerima hadiah dari golongan non muslim, seperti Muqauqis iaitu raja Mesir, tetapi penerimaan hadiah tersebut didasarkan kepada syarat, iaitu tidaklah hadiah tersebut dari benda yang haram dimiliki oleh orang Islam, seperti arak, daging babi dan sebagainya[9].

SIKAP KITA TERHADAP KHILAF

Melihat kepada ulasan di atas, tidak dinafikan bahawa perbincangan tentang mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan agama yang lain dari Islam merupakan perkara yang di khilafkan di kalangan ulama.

Khilaf yang berlaku selayaknya dihadapi dengan toleransi dan tidak perlu berlaku perbalahan dan berkeras mempertahankan pendapat masing-masing.

Walaubagaimanapun, dalam keadaan sebegini, sebolehnya, kita perlu mengelak diri dari melakukan perkara yang boleh jatuh kepada haram, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan aqidah, walaupun ianya sesuatu yang khilaf.

Kaedah fiqh ada menyebut;

الخروج من الخلاف مستحب

Maksudnya;
“Keluar daripada khilaf adalah digalakan[10]”

Maksudnya, sekiranya pendapat A mengatakan haram dan pendapat B mengatakan harus, maka sebaik-baiknya kita memakai pendapat B. walaubagaimanapun, kemungkinan disebalik menggunakan pendapat B itu boleh merugikan dari beberapa sudut, maka gunakan kepandaian dan kecerdikan kita untuk meraikan keadaan tersebut.

Misalnya, dalam isu mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan Hindu. Mengucapkannya adalah khilaf dikalangan ulama, maka lebih baik tidak mengucapkannya dari mengucapkannya, kerana dibimbangi jatuh kepada pendapat yang mengatakan haram.

Tetapi, didalam masa yang sama, dibimbangi berlaku jurang antara non muslim dan muslim dalam melaksanakan tugasan dakwah, maka berusahalah sedaya upaya atau kecerdikan kita dalam keadaan tersebut, seperti kita menjawab “terima kasih” atau “ok” atau sebagainya, ketika kawan kita dari non muslim itu mengucapkan kepada kita “happy depavalli”.

Disamping itu juga, jika kemaslahatan dakwah lebih mendapat keuntungan dengan menyebut “Happy Depavalli”, maka tidak ada salahnya kita mengambil pendapat ulama yang membenarkan ucapan tahniah dengan kehadiran perayaan mereka.

PENUTUP

Islam adalah agama yang unik. Keunikan itu terdapat kerana Islam adalah agama langit yang diturunkan oleh Allah SWT. Dengan demikian, mana mungkin Islam menafikan hak kemanusiaan antara muslim dan non Muslim. Bahkan, jika dilihat dari nas Islam, didapati Islam memberikan hak kepada Non Muslim.

Firman Allah:


لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين

Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”

(Surah Al-Mumtahinah : 8)

Non Muslim pada asalnya adalah adik beradik kita yang berbapakan Adam AS dan Hawa. Pun begitu, disebabkan penyelewengan terhadap Islam itu berlaku, menyebabkan timbulnya manusia yang tidak menyembah Allah.

Jurang antara muslim dan non Muslim berlaku, apabila muslim sendiri tidak ”bijak” dalam berdakwah. Dalam keadaan inilah, selayaknya perlu difikirkan cara yang terbaik untuk merapatkan jurang antara Muslim dan Non Muslim bagi menyampaikan mesej Islam ini.

Sekian

Al-Bakistani

No comments: