"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Wednesday, November 5, 2008

Respon terhadap kemenangan Barack Obama

Pihak moderator Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat menyifatkan perubahan pucuk pimpinan Amerika Syarikat merupakan satu tanda bahawa perjuangan warna kulit atau bangsa sudah tidak di terima sekarang ini.

PAS For All & Pakatan Rakyat sentiasa menawarkan yang terbaik untuk semua golongan rakyat di Malaysia.Ayuh realisasikannya...jangan tunggu kehancuran menimpa kita.Perubahan ke arah kebaikan perlu dilakukan sekarang..jika tidak bila?

Sila lihat komentar awal pimpinan PAS berhubung perubahan yang berlaku di AS.


Obama diharap bawa suasana baru politik dunia - Mursyidul Am PAS
Salmah Mat Husain
Wed Nov 05, 08 5:32:58 pm MYT


KOTA BHARU, 5 Nov (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat merupakan satu perkembangan baru politik dunia.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Amerika menolak cara agresif George W Bush yang sebelum ini menindas dengan rakus negara-negara umat Islam.


"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujarnya sebagai reaksi pertama ekoran kemenangan Obama yang kini menghampiri White House.


Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini, hari ini.


Di Washington hari ini Senator Barack Obama berjanji kepada rakyat Amerika Syarikat akan membawa negara itu ke era baru yang diharapkan semua pihak.


Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House setelah ditunggu dalam tempoh begitu lama


"Pilihan raya itu merupakan satu detik yang bermakna ke arah perubahan Amerika," kata Obama ketika berucap di hadapan kira-kira 240,000 penyokongnya di Chicago hari ini.
Manakala lawannya Mc Cain mengaku kalah dalam pemilihan tersebut.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini Amerika telah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dunia ekoran tindakan agresif yang akan diteruskan McCain dari Parti Republikan.


"Bush sebelum ini 'minum' darah dengan melancar peperangan di Afghanistan, Iraq, Palestin dengan menggunakan kuasa tenteranya," ujar beliau.


Beliau juga mencadangkan Obama menolak fahaman membezakan warna kulit seseorang, sebaliknya dilayan dengan sama rata.


Beliau berkata, semua bangsa di dunia ini sama ada mereka berkulit putih atau hitam sama di sisi Allah, dan apa yang membezakan antara mereka ialah ketaqwaan terhadapNya.


"Sekarang rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin kulit hitam dan diharap selepas itu serangan terhadap umat Islam juga berakhir tidak sebagaimana dilakukan Bush," ujarnya.


Beliau juga berharap perubahan ke arah itu benar-benar berlaku dan tidak menjadikan Islam sebagai musuh .


Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa turut mengucapkan tahniah kepada Obama yang kini mendahului kemenangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.


Menurutnya, kemenangan Obama membuktikan rakyat Amerika sendiri menolak pemimpin yang angkuh serta tidak menerima pandangan rakyat sendirinya.


Katanya, sebelum ini Bush begitu angkuh dan mengenepikan pandangan orang lain terutamanya pemimpin di kalangan negara umat Islam.


"Jadi kita berharap Obama tidak meneruskan gaya berkenaan, sebaliknya lebih bersikap tolak ansur dan berperikemanusiaan," ujarnya. - mj _

No comments: