March 17th, 2008 by Abu Saif 3,790 Views
Perubahan pendekatan yang ditunjukkan oleh PAS sepanjang tempoh kempen, merupakan suatu proses yang mencabar. Biar pun taklimat telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi PAS kepada jenteranya semasa melancarkan manifesto tempoh hari, ada beberapa persoalan yang lebih mendasar, memerlukan kepada perincian.
Ada serba sedikit kesulitan yang timbul semasa tempoh kempen. Pendekatan-pendekatan baru diperlukan oleh penceramah PAS untuk menghuraikan konsep kebajikan, hasrat memimpin masyarakat majmuk Malaysia, apatah lagi dengan kehadiran pendengar ke ceramah PAS yang amat berwarna warni.
Bagi saya, isu Negara Berkebajikan adalah isu yang sangat Islamik. Banyak ayat al-Quran dan Hadith Nabi SAW yang memperkatakannya, malah sokongan sejarah juga amat banyak. Saya tidak perlu mengurangkan petikan al-Quran atau Hadith semata-mata mahu meMalaysiakan bahasa kempen saya. Untuk saya, persoalan kebajikan rakyat dan ketelusan pemerintahan, adalah isu Negara Islam, urusan Islam dan saya memperkatakannya dengan merujuk kepada prinsip dan akhlak Islam.
STRATEGI, UBAH PRINSIP, ATAU SEMAKAN SEMULA?
Perubahan yang berlaku kepada PAS merupakan persoalan yang membabitkan dua dimensi pemerhatian. Dari satu sudut, apakah sebenarnya yang berlaku kepada PAS dari kacamata PAS sendiri? Apakah ini sekadar strategi pilihanraya, atau PAS sudah letih dan hilang keyakinan kepada Negara Islam yang diperjuangkannya, atau pun PAS telah memberikan definisi baru kepada Negara Islam dan idea politik Islamnya?
Apabila hal-hal seperti ini timbul, tidak hairan jika DAP terus menerus sangsi dengan perubahan PAS. Apakah ia perubahan yang benar-benar suatu perubahan, atau pengalaman 1999 bakal berulang?
Di dalam temubual yang disiarkan di Detikdaily (Ahad 16 Mac 2008) , Lim Kit Siang menyebut:
“Jika diimbas sejarah hubungan DAP dan Pas, ia bermula selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kedua-dua parti bekerjasama atas objektif yang sama dengan melancarkan manifesto untuk menjadikan Malaysia negara yang adil, demokratik dan bersih. Dalam tempoh itu, isu negara Islam tidak menjadi hal kerana ia bukan objektif jalinan kerjasama antara semua parti pembangkang.
Politik Islam mestilah dilihat secara dinamik, dikaitkan dengan konteks yang berbeza-beza dari sebuah negara ke sebuah negara, dan dari satu masa ke satu masa. Politik Islam tidak boleh dipandangan secara monolitik seolah-olah setiap satu perkara hanya ada satu definisi dan tafsiran secara statik.
Hanya ada satu makna Negara Islam.
Hanya ada satu makna Sekularisma.
Hanya ada satu makna Demokrasi.
Hanya ada satu definisi PAS dan satu wajah DAP!
Katanya:
“… theoretical or ideological statements are often not accompanied by specific models for change. Islamic movements tend to be more specific about what they are against than what they are for. While all may speak of an Islamic order or state, of implementation of the Sharia, of a society grounded more firmly on Islamic values, the details are often vague. This has been true for older movements such as Egypt’s Muslim Brotherhood as well as for more recent groups. After the electoral victory of Algeria’s FIS (Islamic Salvation Front), when Abbas Madani was questioned about his program, he described it as broad. When pressed for its practical steps, he replied,”Our practical program is also broad”…” [muka surat 208]
Dalam erti kata yang lain, terdapat vakum pada agenda politik Islam yang menyulitkan masyarakat untuk membaca dan menafsir dengan betul terhadap apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik perubahan yang dijana.
Di ruangan Surat Pembaca e-akhbar Malaysiakini bertarikh 14 Januari 2008, Norman Fernandez telah menimbulkan soalan yang sama.
Beliau mempertikaikan pandangan DSAI yang mengatakan bahawa PAS sudah tidak lagi memperjuangkan Negara Islam. Pandangan ini dikemukakan oleh DSAI sebagai reaksi kepada kenyataan Karpal Singh bahawa DAP akan hanya bekerjasama dengan PKR jika PKR menjauhkan dirinya dari PAS.
Tentu sahaja 3 bulan pertama 2008 telah menyaksikan banyak perubahan yang berlaku. Lim Kit Siang di dalam temuramah bersamanya yang disiarkan di Detikdaily (Ahad 16 Mac 2008) , beliau menyebut:
Segala-galanya berubah selepas 8 Mac setelah rakyat dari semua bangsa mahu perubahan. Apabila tidak ada satu parti yang betul-betul kuat untuk menubuhkan kerajaan, tiga parti pembangkang membentuk pakatan dan memaksa DAP menilai semula hubungan dengan Pas demi merubah keadaan di Perak dan Selangor.
Inilah yang perlu digarap oleh PAS. Peluang untuk mengemaskinikan agendanya, mengolah kembali ideanya tentang politik Islam, Negara Islam dan pendiriannya tentang cabaran sekularisma, demokrasi, hubungan antara kaum, dan hal-hal yang lebih pluralistik sifatnya.
Sudah tentu hal ini bukan merupakan sesuatu yang mudah. PAS terbentuk dari pada ideologue yang datang daripada latar belakang yang amat pelbagai.
Di sinilah perlunya peranan besar golongan profesional khususnya saintis sosial yang berada di dalam PAS untuk memainkan peranan kerana saintis sosial di dalam sains politik, sejarah dan sosiologi bertugas untuk memperbaiki dan membetulkan teori.
Apakah kefahaman yang mendominasi kaderisasi PAS bahawa sekularisma itu hanya ada satu warna dan sentiasa bertentangan dengan agama, khususnya agama Islam? Hal ini perlu diperbaiki untuk proses bridging dan menyesuaikan perjuangan PAS dengan realiti semasa di Malaysia.
Misalnya Asghar Ali Engineer, seorang ilmuan dari India, pernah menulis sebuah kertas kerja bertajuk ISLAM AND SECULARISM. Beliau mencadangkan penafsiran yang lebih terbuka terhadap Islam dan Sekularisma untuk membuktikan bahawa banyaknya titik temu di antara Islam dan Sekularisma, dan bukannya sentiasa berlaga kepala sebagaimana yang disangkakan oleh kebanyakan pendokong PAS, juga DAP.
Katanya:
“Now, the important question is can Islam and secularism go together? We have already said above that religion and secularism can go together or not, depending on the interpretation of both religion as well as secularism. If religion is intepreted in keeping with very conservative traditions, it may be difficult for it to go along with secularism which demands more liberal disposition and not only tolerance but also promotion of pluralism. On the other hand, if secularism is interpreted too rigidly (i.e., if it is equated with atheism), as many rationalists do, then also the two (i.e., religion and secularism) will find it difficult to go together…” [petikan dari ISLAM IN TRANSITION: MUSLIM PERSPECTIVE oleh John. J. Donohue dan John L. Esposito]
Demi sebuah Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya, demi membuktikan secara praktikal bahawa Islam itu adalah rahmat kepada rakyat Malaysia, demi untuk membuktikan bahawa Malaysian Malaysia adalah formula yang adil untuk semua kaum di Malaysia, maka kedua belah pihak iaitu PAS dan DAP perlu sama-sama mengembangkan ideologi masing-masing dan hari ini adalah peluang terbaik apabila kita semua telah dibebaskan daripada kefahaman sempit UMNO yang membelenggu pemikiran seluruh warga Malaysia selama ini.
Sebelum rakyat boleh dididik agar lebih faham justeru matang dan bijaksana, PAS dan DAP perlu saling mendidik jentera dan penyokong mereka agar memulakan setiap kerja dengan al-Fahmu.
Saya optimis.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur
http://saifulislam.com/?p=1595
No comments:
Post a Comment