"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Tuesday, June 17, 2008

Berita-Berita Tertangguh

1.PAS Bukit Bintang cadang 'ahli bersekutu PAS'
Harakahdaily Tue May 20, 08 4:14:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - PAS Kawasan Bukit Bintang akan mengadakan Mesyuarat Agungnya pada Ahad, 25 Mei akan datang, jam 4.30 petang.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Azemi Azman Johari menjemput ahli-ahli PAS kawasan tersebut agar dapat menghadirkan diri di Markaz Tarbiyah PAS Pusat bagi mengikuti perjalanan mesyuarat agung itu.

Menurut beliau, antara usul yang akan dibincangkan adalah mewujudkan status 'ahli bersekutu PAS' bagi rakyat bukan Islam.

"Kita akan membincangkan cadangan usul ini untuk dibawa ke Muktamar PAS Pusat," katanya.
Mesyuarat agung itu bakal dirasmikan Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ishak Surin. - tajdid


2.Lebih 200 bukan Islam dijangka masuk Kelab Penyokong PAS Kepala Batas
Mohd Sabri Said Tue May 20, 08 12:30:41 pm MYT

PULAU PINANG, 20 Mei (Hrkh) - 200 orang masyarakat bukan Islam sekitar Parlimen Kepala Batas dijangka mengisytiharkan diri menyertai Kelab Penyokong PAS pada penghujung bulan ini.

Fenomena itu terjadi setelah nasib mereka diabaikan oleh Barisan Nasional (BN) serta berlaku penyalahgunaan peruntukan oleh parti dalam komponen yang mewakili bangsa mereka.

Program meraikan mereka akan diadakan di sebuah dewan orang ramai di Pekan Kepala Batas oleh Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Kemelut mereka terus memuncak ketika pilihan raya umum dulu dan hasilnya sokongan pada Ahli Parlimen Kepala Batas merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merosot teruk walaupun berbagai program di atur membabitkan artis dalam kempen sebelum 8 Mac lepas.

Peristiwa ini bakal mengejutkan sekali lagi Parlimen Kepala Batas setelah beberapa siri kejutan berlaku menjelang hari pengumuman calon dulunya.

Seramai 200 masyarakat bukan Islam itu dikatakan memberi sokongan padu pada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Bukan 200 orang sahaja akan keluar parti yang menjadi tunggak perjuangan mereka selama ini bahkan lebih daripada itu. - mns

3.Tidak hairan jika kaum lain hadir ke program PAS - Mujahid
Basiron Abdul Wahab Tue May 20, 08 6:35:30 am MYT

TEMERLOH, 20 Mei (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, PAS telah berjaya memecahkan tembok politik yang memisahkannya dengan bukan Islam melalui penubuhan Kelab Penyokong PAS di seluruh negara.

Katanya, hari ini Kelab Penyokong PAS telah wujud di mana-mana dari pelbagai kaum sama ada dari kaum Cina, India, Iban dan tidak lama lagi Kadazan di Sabah, kini golongan bukan Islam hadir ke program-program anjuran PAS bukanlah sesuatu yang menghairankan malah ia telah menjadi perkara biasa.

"Kelab Penyokong PAS kini wujud di seluruh negara, terdiri daripada pelbagai kaum sama ada kaum Cina, India, Iban dan tidak lama lagi Kadazan di Sabah, kehadiran mereka di dalam program PAS sudah menjadi kebiasaan,"katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat PAS Kawasan Temerloh kali ke-21, di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini.

Mujahid berkata, PAS telah memainkan peranan besar dalam membentuk lanskap politik negara, PAS pernah berkerjasama dengan Umno sehingga membentuk Barisan Nasional (BN), Semangat 46, Parti Rakyat, DAP, KeAdilan dan kini Pakatan Rakyat.

"PAS adalah parti yang paling banyak mengadakan pakatan dengan parti ?parti politik di Malaysia melalui perbagai gagasan politik, PAS pernah bekerjasama dengan Umno, Parti rakyat, Semangat 46, DAP dan lain-lain.

"PAS pernah memerintah kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan, PAS juga pernah menjadi pembangkang di kedua-dua negeri itu, PAS pernah menang dan kalah dalam pilihan raya sehingga pada suatu ketika PAS mempunyai seorang sahaja wakil di parlimen,"katanya.

PAS juga katanya, menentang apa juga bentuk kezaliman termasuk ISA yang memenjarakan seseorang yang belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Memenjara seseorang yang belum dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah adalah bertentangan dengan prinsip asas keadilan sejagat.

"Kita bukan sahaja mendesak supaya tahanan ISA dari Hindraf dibebaskan tetapi kesemua 70 orang tahanan lain yang ditahan di bawah Akta tersebut dibebaskan atau didakwa di mahkamah supaya dibuktikan kesalahanya, barulah dihukum, Menurut perjuangan Islam yang dibawa PAS memberi keadilan kepada semua rakyat,"tegasnya. - mks.

4.Lebih 200 sertai PAS Jelutong
Wan Nasru Ahmad Thu May 08, 08 2:31:29 pm MYT

JELUTONG, 8 Mei (Hrkh) - Perubahan pucuk pimpinan di beberapa buah negeri selepas pilihan raya ke-12 baru-baru ini tidak berakhir di situ sahaja malah saban hari semakin ramai bekas penyokong atau ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, dalam majlis ramah mesra yang dianjurkan PAS Kawasan Jelutong, lebih 50 orang menyertai PAS cawangan Kebun Lama dan 160 orang di cawangan Sg. Pinang.

Majlis penyerahan borang keahlian turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Kedah, Ir Amirrudin Hamzah yang juga merupakan anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Semasa berucap sempena program setengah hari berdekatan Masjid Jelutong, beliau memberitahu perubahan pentadbiran di pantai barat terutama di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor adalah sesuatu di luar dugaan, namun ia tidak bermakna kerajaan Kedah tidak bersedia mentadbir Kedah malah bersedia menghadapi apa jua rintangan dan menyediakan pelbagai polisi baru dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kerajaan Kedah telah bersetuju menurunkan cukai tanah yang tinggi sebelum ini supaya tidak membebankan rakyat. Sekolah-sekolah agama, Cina dan Tamil yang bukan berorientasikan keuntungan dikenakan bayaran RM10 setahun. Bantuan juga diutamakan kepada warga emas, anak-anak yatim dan ibu tunggal dan yang lebih penting meminimumkan beban kepada rakyat," katanya.

Ujarnya lagi, Kerajaan Kedah juga menwujudkan peluang pelaburan yang bebas daripada unsur rasuah dengan polisi yang mudah dan menyakinkan serta kos serendah mungkin dengan mengikut cara yang mudah.

Ini kerana katanya, apabila berlaku perubahan pentadbiran, para pelabur terutama di Kulim Hi-Tech diugut kononnya kerajaan yang baru memerintah adalah kerajaan ala taliban.

Majlis Ramah Mesra ini juga turut memberi peluang kepada hadirin untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan percuma.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Jelutong, Ustaz Takiudin Hamzah, YDP Glugor, Ir Aziz Ismail dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Halim Saleh serta Adun Sungai Pinang. - mns

5.Kelab Penyokong PAS Kaum Cina, India Perak akan lawat Kelantan
Johari Jaafar Wed May 07, 08 4:00:41 pm MYT

IPOH, 7 Mei (Hrkh) - Hasil daripada lawatan 42 orang dari masyarakat Cina di Ipoh ke Kelantan pada bulan September tahun lalu, kali ini Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak akan menghantar rombongan Kelab Penyokong Cina dan India pula ke negeri tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak, Khalilul Rahman Abdul Samad ketika ditemui di Pejabat PAS Negeri hari ini.

Menurut beliau, program seumpama itu memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Cina dan India kerana mereka dapat melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PAS di Kelantan terhadap masyarakat Cina dan India di situ.

Berdasarkan kepada maklum balas yang kita terima daripada 42 orang Cina dari Ipoh yang memberikan reaksi yang amat positif, kali ini kita menghantar rombongan empat buah bas dari Kelab Penyokong Kaum Cina dan dua buah bas dari Kelab Penyokong Kaum India ke Kelantan pada bulan Jun ini, katanya.

Rombongan tersebut dijangka mendengar taklimat pembangunan Negeri Kelantan di Pejabat Menteri Besar serta beberapa taklimat bagi mendapatkan perkembangan terkini Kerajaan Negeri Kelantan.

Kemungkinan juga rombongan Kelab Penyokong PAS Kaum Cina akan mengunjungi rumah Menteri Besar Kelantan di Pulau Melaka dan tokong buddha di Tumpat.

"Kita berharap mereka yang akan mengikuti rombongan tersebut telah mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di Kelantan akan menceritakannya kepada masyarakat Cina dan India di tempat lain tentang kebaikan pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan," ujar beliau.

Sementara itu, memandangkan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri, Haji Zainuddin Mohd Yusof terpaksa melakukan tugas-tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri, maka segala urusan berkaitan dengan lajnah tersebut kini akan diteruskan oleh Khalilul dan beliau boleh dihubungi di talian 019-5713771. - mks.
6.Kelab Penyokong PAS India Kedah serah 160 borang keahlian
Mazelan Harron Sun Apr 27, 08 2:46:06 pm MYT

Kulim, 27 April (Hrkh) - Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak menerima 160 borang ahli Kelab Penyokong PAS Kaum India sempena ceramah perdana yang diadakan di Taman Kenari, Kulim baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kulim, Vickram a/l Jayaraman mewakili rakan-rakan ahli Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), dan Makkal Shakti menyerahkan borang berkenaan.

"Kami ingin bersama-sama kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat," ujar beliau ketika ditemu bual oleh wakil Harakah.

Turut hadir memberi ceramah pada malam itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Perak, Ustaz Drs Khalili Idham Lim Abdullah dan Pengerusi Hindraf Kulim, Sathia Seelan .

Majlis yang berjaya mengumpulkan para penyokong PAS, KeADILan, Hindraf dan Makkal Shakti itu merupakan satu sejarah selepas terciptanya kemenangan besar Pakatan Rakyat yang berjaya memerintah Kedah selepas memenangi Pilihan raya Umum Ke-12 yang lalu.

Ketua PAS Cawangan Taman Kenari, Sulaiman Ibrahim berkata, gerak kerja pilihan raya sudah selesai, tapi gerak kerja untuk merealisasikan manifesto yang dijanjikan perlu diteruskan.
7.Pelancaran Kelab Penyokong PAS Melaka 24 April
Zaili Muhammad Mon Apr 21, 08 12:39:26 pm MYT

MELAKA, 21 April (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM) akan melancarkan Kelab Penyokong PAS Melaka pada 24 April ini, jam 8.00 malam, bertempat di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Melaka, Semabok, di sini.

Menurut Setiausaha BPPNM, Harun Mohamed, majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusof Rawa dan akan turut sama dihadiri pimpinan PAS Melaka.

"Semua ahli dan penyokong PAS diminta hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan kepada kepimpinan Kelab Penyokong PAS yang akan dibentuk pada malam tersebut.

"Selepas ini pula kita harap Kelab Penyokong PAS ditubuhkan di setiap Kawasan kerana maklum balas yang kita terima mengenai sambutannya begitu menggalakkan dan ia juga begitu penting dalam konteks negeri Melaka bagi menghubungkan PAS dengan orang bukan Islam," kata beliau.

Sokongan orang bukan Islam kepada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu begitu memberangsangkan dan hampir semua kerusi yang ditandingi menyaksikan pertambahan undi kepada calon PAS.

Walaupun masih belum memenangi sebarang kerusi tetapi senario semasa ini menarik ramai orang bukan Islam untuk bersama-sama dengan PAS dan mereka sudah tidak kekok lagi untuk menghadiri majlis atau program anjuran PAS Melaka. - mns
8.Permasalahan penganut Hindu, MB Kedah jamin beri perhatian
Izwan Abdul Halim Tue Apr 08, 08 5:34:36 pm MYT

ALOR STAR, 8 April (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada permasalahan yang dikemukakan oleh penganut Hindu.

Dalam sidang media selepas pertemuan dengan Malaysia Hindu Sangam (MHS) di Wisma Darul Aman di sini, beliau menjelaskan MHS meminta untuk diselesaikan masalah kuil yang dirobohkan akibat pembangunan.

"Kuil diroboh jadi orang nak sembahyang payahlah. Ganti pula tidak diberi. Aduan mereka bukan minta yang baru tetapi hak dia yang lama diruntuhkan, yang dibina masa sebelum penjajah lagi, 100 tahun dah," ujar beliau.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan meneliti perkara tersebut dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju.

Dalam pertemuan tersebut juga pihak MHS mengadu kepada beliau mengenai penyertaan kaum India yang kurang dalam sektor awam.

"Itu bidang kuasa kerajaan pusat," katanya ringkas.

Selain itu menurut Azizan, MHS turut mendakwa mayat bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan feri antara Langkawi dengan tanah besar sebaliknya menggunakan khidmat bot laju.

"Yang Islam dibenarkan tetapi yang bukan Islam tidak dibenarkan, ini satu diskriminasi, kerajaan negeri akan meneliti hal tersebut dan berbincang dengan pihak pengendali feri untuk mengatasi masalah tersebut," ulasnya. - mks.

No comments: