Wartawan Kita Mon Jan 28, 08 3:37:57 pm MYT
Seramai 441 rakyat pelbagai bangsa termasuk golongan muda bakal memiliki tanah ladang seluas tiga hingga lima ekar setiap seorang.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husam Musa berkata, hadiah istimewa itu diberi sempena sambutan Hijratulrasul tahun ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini baru-baru ini katanya golongan muda diberi keutamaan memperolehi tanah ladang bagi membolehkan mereka mengusahakannya secara komersial.
“Begitu juga rakyat dari kaum Cina, India, Orang Asli dan Thai turut diberi peluang memiliki tanah. Ini membuktikan hak kaum minoriti di negeri ini tidak pernah disisihkan.
“Sebanyak 441 tanah lot tanah kerajaan yang terdapat di Gua Musang, Jeli dan Pasir Mas akan diagihkan kepada 441 penerima dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Menurutnya setiap pemohon akan dinilai oleh jawatankuasa khas pemilihan yang baru ditubuh dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub.
Husam berkata, konsep berkenaan diharap dapat diperluaskan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada rakyat untuk memiliki ladang getah atau kelapa sawit bagi tujuan komersial.
Katanya dengan adanya ladang sendiri yang ditanam getah atau kelapa sawit membolehkan mereka mendapat pendapatan agak lumayan.
“Pada masa ini terdapat sebanyak 959 lot tanah yang telah dimajukan Felcra namun masih kosong dan sebahagiannya akan diisi golongan belia terbabit.
“Dan sebahagian tanah itu juga akan dijual kepada rakyat Kelantan yang berkemampuan untuk membolehkan mereka mengusahakannya secara komersial,” ujarnya.
Menurutnya Felcra akan menyerahkan tanah yang dibangunkan agensi itu sebelum ini kepada kerajaan negeri pada 31 Mac depan.
Beliau juga berkata, bagi kawasan dibangunkan Felcra sedangkan di situ sudah diteroka 132 penduduk seperti di Sungai Perabung 1 dan 3, kerajaan negeri bersetuju memberi surat hak milik kepada mereka.
Selain itu kerajaan negeri akan menempatkan peserta di beberapa ladang antaranya Sungai Perabung 2, Gemang 1, 3 dan 5 serta Bukit Jelutong eelepas diambil balik daripada agensi terbabit.
Manakala tanah-tanah yang dideposit orang ramai namun telah dimajukan Felcra, kerajaan negeri sedang berunding dengan agensi terbabit untuk menyerapkan mereka sebagai peneroka.
“Terdapat baki sebanyak 959 lot lagi boleh kita masuk peneroka di atas tanah-tanah yang dimajukan Felcra iaitu di 24 kawasan di seluruh Kelantan antaranya Kampung Lawar, Sungai Kokong 1 dan 2, Sungai Rengai.
“Gual Dalam, Putat 7, Serongga 2 dan Manik Urai 1. Dan apabila selesai perundingan seramai 959 peneroka akan mendapat lot tanah masing-masing,” katanya.
Kerajaan negeri juga turut mengadakan rundingan dengan Risda dan Kesedar mengenai tanah-tanah yang dibangunkan agensi tersebut di Kelantan.
Menurut Husam juga kerajaan negeri akan berunding dengan Risda bagi menyelesaikan ladang getah dan kelapa sawit yang dimajukan di atas tanah yang direzabkan untuk masyarakat Orang Asli iaitu seluas 3,000 ekar.
Menurutnya kerajaan negeri berhasrat memberi milik kepada masyarakat Orang Asli sebagai langkah meningkatkan ekonomi mereka.
Mengenai tanah yang dibangunkan Kesedar di Chenulang Tambahan 1 dan Kemahang Tambahan namun bertindih dengan peneroka asal iaitu seluas 3,200 ekar katanya ia akan diserah kembali kepada peneroka asal.
Sementara itu, anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kadar bayaran letak kereta awam di bandar Kota Bharu akan dikaji semula sekiranya ia dianggap menjadi penghalang untuk menjadikan Kelantan negeri berkebajikan.
“Ada yang mengatakan kadar dikenakan paling tinggi di Malaysia iaitu RM1 bagi 60 minit. Oleh itu dengan mengambil kira runggutan orang ramai kadar itu akan dikaji semula,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri merasa bertanggungjawab untuk mengkaji balik, sedang kerajaan Pusat biar pun sudah lama runggutan rakyat didedahkan, tiada sebarang usaha untuk mengkaji balik pelbagai bayaran dikenakan sekarang termasuk tol. - mj
No comments:
Post a Comment