Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat baru-baru ini melancarkan kempen "PAS Untuk Semua" di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur. Walaupun beritanya kurang meluas kerana pemberita bertumpu kepada insiden di Batu Burok tetapi kesan kempen ini cukup besar kepada orang-orang bukan melayu. Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat melalui Kelab Penyokong PAS di seluruh negara perlu menyebar luaskan kempen ini dengan penerangan yang jelas kepada orang bukan Melayu tentang konsep "PAS Untuk Semua". |
Setelah hampir dua tahun penubuhan kelab ini, kejayaannya menarik sokongan orang bukan melayu masih ditahap sederhana. Keadaan ini berlaku kerana masih banyak PAS Kawasan yang belum menubuhkan kelab penyokong di kawasan masing-masing. Malah mungkin ada PAS Negeri yang belum menubuhkan kelab penyokong. Sekiranya ada PAS negeri dan kawasan yang menubuhkan kelab penyokong, hanya beberapa tempat yang aktif tetapi yang lain masih lemah.
PAS Pusat juga jelas meletakkan keutamaan kepada kelab penyokong apabila Presiden dan Ketua Pemuda PAS Pusat mempunyai Setiausaha Sulit di kalangan pimpinan kelab penyokong. Baru-baru ini, PAS Terengganu juga melancarkan penubuhan kelab penyokong walaupun negeri itu mempunyai peratusan pengundi bukan Melayu sekitar 15 peratus sahaja. Usaha pihak musuh menggagalkan pelancaran kelab penyokong di Terengganu menunjukkan ketakutan mereka terhadap kelab penyokong.
Kejayaan bergerak dalam komuniti orang bukan Melayu sebenarnya terletak di tangan pimpinan PAS negeri dan kawasan. Jika kita sanggup membuang perasaan asing kepada orang bukan Melayu, sanggup memimpin tangan orang bukan Melayu, makan semeja dengan mereka, melawat kematian orang bukan Melayu, bersama-sama menyelami kesusahan orang bukan Melayu dan membantu mereka mengikut kemampuan kita. Kita akan menjadi biasa dengan mereka dan kebiasaan inilah yang akan membuahkan kejayaan.
Selama ini orang bukan Melayu tidak menyokong PAS kerana pimpinan PAS tidak mendekati mereka, hanya di hari pilihanraya kita masuk meminta sokongan mereka. Jika pimpinan PAS sentiasa bersama mereka dan mengadakan program bersama, yakinlah mereka akan memberi sokongan kepada PAS. Berita kita mengadakan program dan membantu masyarakat Cina tidak keluar dalam akhbar harian bahasa melayu tetapi mendapat tempat dalam akhbar-akhbar Cina yang tempatan yang lebih terbuka.
Menjelang pilihanraya umum ke 12, pimpinan PAS Negeri dan kawasan sepatutnya meletakkan keutamaan kepada kelab penyokong untuk menarik sokongan orang bukan Melayu. Kepentingan kelab penyokong jangan dilupakan kerana mengharapkan parti lain membantu PAS dalam menarik sokongan orang bukan Melayu.
Malang sekali jika ada pimpinan PAS negeri dan kawasan meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada parti lain untuk menarik undi orang Cina. Ada kawasan yang boleh diminta pertolongan parti lain menarik undi orang Cina jika kelab penyokong tidak ada atau tidak aktif di kawasan itu. Namun pengecualian perlu diberi kepada kawasan yang aktif kelab penyokongnya.
Jangan melupakan orang bukan melayu yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata hendak membantu PAS. Jangan kecewakan mereka. Sampai bila kita akan bergantung kepada parti lain untuk mendapat undi orang Cina?.