Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang ulama Azhar juga penggerak awal gerakan Ikhwan al-Muslimin pernah mengungkapkan: “Berapa ramai yang bersama kita tetapi bukan daripada kita, dan berapa ramai pula yang daripada kita tetapi tidak bersama kita”[1]..
Ucapan yang panjang tidak semestinya lengkap, manakala ucapan yang pendek pula tidak semestinya mempunyai kekurangan. Ia bergantung sejauh mana kekuasaan seseorang untuk menghuraikan dan menyampaikan sesuatu yang terbuku di dalam hatinya.
Akan tetapi, di antara dua jenis ucapan tadi, ucapan yang pendek dan padat adalah terlebih baik daripada ucapan yang panjang yang lengkap.
Mengklafikasikan jenis ucapan yang baik, ungkapan Arab menyebutkan "Qalla wa Dalla" iaitu ringkas dan bersumber serta bernilai..Apa yang diluahkan oleh Syeikh al-Ghazali ini adalah antara ucapan yang pendek, namun padat isinya, tepat maksudnya, sesuai dengan realiti dan kena pada waktunya. Ia tersurat bagi yang faham, tersirat bagi yang bodoh.
Jelas bagi mereka yang jelas dan kabur bagi mereka yang kabur..Ia bukan matan mutiara hadis, tetapi luahan seorang ulama dan da’i yang peka terhadap permasalahan umat, menterjemahkan kata hati yang sengsara, pedih dan sakit dengan kepincangan umat yang sedang berdiri tanpa jati diri, prinsip dan identiti..
Saat pertama kali saya mendengar ungkapan ini, saya tidak merasakan kepentingannya. Namun saya menghafalnya, tetapi bukan kerana saya dapat merasai seperti apa yang sedang dirasai ketika ucapan ini diluahkan.
Ia tidak lebih sekadar tertarik dengan bait bahasanya (dalam bahasa arab) yang sangat memukau, tidak lebih daripada itu. Ia berlalu seperti berlalunya angin pagi yang mendinginkan, tanpa meninggalkan sebarang bekas kepada diri saya..Tetapi setelah melihat keganjilan yang berlaku akhir-akhir ini, barulah ungkapan itu kembali terpanggil memberi makna di dalam jiwa saya ….Sekarang saya memahaminya .....
Sumber : http://ibnasmuni.blogspot.com/2008_10_01_archive.html
No comments:
Post a Comment