Sumber : The Malaysian Insider
MEI 29 — Sebaik sahaja kembali dari tanahair pada 26 Mei, segala tumpuan saya adalah kepada politik Malaysia.
Saya menyertai rombongan Speaker Parlimen ke Uzbekistan dan Kyrgystan pada 19 Mei yang lalu untuk mengukuhkan hubungan di antara Parlimen. Sebagai ahli Parlimen yang termasuk dalam kumpulan persahabatan antara parlimen bagi Negara Islam dan Timur Tengah saya bersama dengan empat ahli Parlimen yang lain telah dipilih dalam rombongan ini untuk menjayakan misi negara.
Ianya satu penghormatan untuk menggalas tanggungjawab mempromosikan Parlimen Malaysia di mata dunia. Sepanjang lawatan resmi, ketika waktu rehat sambil bersantai, kami mengambil masa keemasan untuk berbincang tentang politik Malaysia kerana agak sukar suasana bersantai ini untuk ahli Parlimen PR dan BN dapat duduk sekali dalam misi negara.
Walaupun kami bukanlah pembuat keputusan tetapi bertukar maklumat dan pandangan tentang masa depan politik Malaysia sekurang-kurangnya dapat menjadi satu “intellectual discourse” bagi menajamkan lagi kefahaman kami terhadap senario politik Malaysia dan masa depannya yang mencabar.
Tepat jam 8.30 pagi penerbangan Uzbekistan Airways mendarat di KLIA setelah perjalanan 7 jam dari Tashkent. Saya mengambil peluang untuk tidur sepanjang perjalanan namun sempat berbual dengan seorang tokoh muda Umno dari Parlimen Pulai tentang politik Malaysia serta permasalahan kepartian yang dihadapi oleh parti masing-masing.
Agak menarik kerana kami mewakili golongan muda parti masing-masing, aspirasi kami seolah sama untuk melihat politik Malaysia dan parti masing-masing maju kehadapan. Jam di Tashkent semasa waktu bertolak pukul 10 malam, saya dan YB Pulai hanya sempat bertahan sejam sahaja perbualan dan selebihnya masing-masing melayan mimpi untuk balik kepangkuan keluarga dan tanahair.
Telefon bimbit saya tak berhenti berdering selepasa sahaja diaktifkan tanda pesanan bertubi-tubi kerana sepanjang di luar negeri saya mematikan telefon bimbit. Antara pesanan baru yang diterima ialah dari SMS harakah yang diajukan dari kawan-kawan memaklumkan senarai terakhir calon-calon untuk pemilihan parti PAS dan antaranya ialah senarai terakhir lima calon untuk jawatan Naib Presiden termasuklah nama saya.
Saya tidak terkejut kerana sehari sebelum saya berangkat iaitu pada 18 Mei saya telahpun mengirimkan faks ke Pejabat Agung PAS memaklumkan pengesahan saya akan bertanding. Sememangnya keputusan untuk menerima dan mengesahkan untuk bertanding bukanlah mudah.
Beberapa kali saya teragak-agak untuk menarik diri kerana merasa terlalu kerdil berbanding dengan nama-nama besar lain yang turut dicalonkan, tetapi berbekalkan keinginan untuk berkhidmat kepada parti dan nasihat ikhlas dari saudara dan kawan-kawan saya gagahkan diri untuk menerima pencalonan jawatan ketiga tertinggi dalam PAS.
Saya telah berada dalam Jawatankuasa PAS pusat selama dua penggal, sebelum itu saya dalam Dewan Pemuda dua penggal juga. Di peringkat negeri semasa di Melaka pernah menjawat Timbalan Pesuruhjaya dan Ketua Penerangan selama beberapa penggal.
Saya juga merasai kepimpinan akar umbi apabila pernah menjadi YDP Kawasan Jasin dan Pengerusi Majlis Tindakan DUN Serkam, kini saya masih YDP tetapi di Bayan Baru Pulau Pinang dan Timbalan Pesuruhjaya Pulau Pinang setelah berpindah balik negeri asal pada tahun 2004.
Pengalaman dua kali kalah dalam PRU turut mewarnai pahit maung permainan demokrasi yang saya pilih untuk sertai dan bermain dengannya semenjak 1999. Saya berasa kerdil apatah lagi dua tokoh besar seperti YB Salehudin dan Dato’ Mahfuz Omar pernah menjadi bos saya semasa dalam Pemuda dulu.
Dato’ Tuan Ibrahim pula seorang tokoh agama yang disegani manakala Dato’ Nik Ammar memang berpengalaman dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan selama beberapa penggal. Sudah tentulah saya gentar semasa menerima pencalonan Naib Presiden, namun saya melihat bahawa PAS hari ini sudah jadi “mainstream politics”.
Semalam setelah berkempen di Penanti kawan baik saya menyebut satu perkataan yang besar tentang Pas, katanya “la ni masa untuk PAS, buatlah sesuatu supaya ia berada di hadapan!” walaupun dia mengucapkannya sambil menikmati roti nan di Restoren Subaidah Seberang Jaya, ungkapannya mempunyai implikasi yang besar dalam masa depan politik Malaysia seluruh negara.
Atas alasan melihat masa depan politik Malaysia supaya dapat membuat anjakan dari kepompong yang ada, saya beranikan diri untuk jawatan ini bagi saya membentuk lakarannya melalui landasan PAS yang mempunyai potensi besar untuk mengubah lanskap politik tanahair.
Namun matlamat besar ini bukan mudah dan bukan retorik, ia memerlukan pandangan menyeluruh kepada masa depan politik dan bagaimana PAS dapat menyesuaikan diri dalam perubahan ini, adakah PAS mahu menjadi saksi kepada perubahan? atau mangsa kepada perubahan? ataukah PAS memilih untuk menjadi peneraju kepada perubahan.
Pemikiran perubahan politik ini ada disiplinnya, ia bukan hafalan dalam buku-buku “management”, ia satu panduan bagi pengamal-pengamal membuat ramalan-ramalan tentang apakah implikasi jika tidak mengikut garispanduannya, oleh itu terpulanglah kepada kita untuk memilih apakah konsekuensinya.
Untuk memastikan keputusan yang terbaik PAS perlu bersifat artikulatif kepada dasar yang diperjuangkan di mana asas pendekatannya mestilah inklusif dan retrospektif kepada suasana kelilingnya. Semua ini memerlukan kepimpinan PAS yang menjiwai aspirasi nasional yang disandarkan oleh orang ramai kepadanya, ia bukan lagi parti eksklusif untuk golongan tertentu pada masa-masa tertentu.
Alasan saya dengan premis pemikiran sebegini bukan sahaja justifikasi untuk bertanding tetapi bebanan kepimpinan yang perlu menjadi agenda kepimpinan yang bakal akan ditentukan oleh perwakilan PAS seluruh negara.
Saya heran mengapa isu yang diperbincangkan di ambang pra muktamar ini ialah samada mahu ulamak atau tidak sebagai pemimpin atau polemic peribadi yang hanya pandai melabelkan orang ini “Erdogan” orang ini geng “muqabalah” atau orang ini “PAS tulen”. Apakah semua isu ini akan memberi kesan kepada sifat artikulatif, inklusif dan retrospektif yang terpaksa dihuraikan oleh kepimpinan baru nanti dalam agenda nasionalnya?
Lebih penting daripada itu bersediakah kepimpinan baru nanti mendidik ahlinya menjadi parti yang akan “lead the way forward?” Itulah yang bermain di benak saya sepanjang jalan dari KLIA ke Pariti Buntar dan sesekali dikejutkan oleh anak bongsu saya yang minat bertanya tentang perjalanan saya ke Asia Tengah sambil membelek gambar dalam kamera digital saya.
Hanya dengan memikirkan apakah masa depan politik Malaysia dan perkembangan global, sesebuah parti politik itu boleh maju ke hadapan. Parti politik memainkan peranan yang penting membentuk lanskap politik dan untuk dia melakukan demikian parti itu perlu menjelmakan dalam dirinya aspirasi yang akan membawa negara ini ke arah itu.
Isu perkauman, isu patriotism, isu keutuhan diri dan isu identity bangsa Malaysia, kesan isu global semua perlu diperincikan dalam kerangka struktur pemikiran parti terhadap permasalahan di atas dan kemudian kemampuan parti untuk merungkaikan kerumitan dalam bahasa yang mudah difahami oleh ahli dan orang awam!
Siapa kata menjadi pemimpin sebuah parti politik begitu mudah dan simplistik? Sebab itu, saya kurang faham mengapa dalam pemilihan parti yang besar ertinya kepada masa depan politik tanahair kita masih berbincang lagi persoalan ulamak atau professional, Erdogan atau muqabalah sedangkan masa depan negara terbentang luas di hadapan mereka.
Perwakilan hanya perlu memilih siapakah bakal kepimpinan mereka yang boleh membawa aspirasi nasional untuk membawa negara ini satu langkah kehadapan, persoalannya apakah perwakilan dapat mendalami dan menjiwai peranan mereka yang penting dalam muktamar nanti?
Saya menaruh harapan dan keyakinan, itulah sahaja bekalan yang ada pada saya. Sambil isteri saya yang setia di sebelah bertanya apakah saya yakin untuk meneruskan hasrat bertanding, saya menjawab “harap-harap keputusan ini sesuatu yang tepat pada waktunya dan tepat pada tempatnya, hanya orang yang tepat itu saya serahkan kepada perwakilan nanti”