Satu pandangan yang berani membedah asal usul Melayu. Dipetik dari Harakahdaily
H Fansuri Mon Mar 31, 08 6:54:45 pm MYT
Sejak bila Melayu digelar Melayu? Saya sendiri tenggelam punca. Menurut suatu catitan, kerajaan Melayu yang pertama bermula daripada Champa. Mungkin, Melayu yang awal adalah suku Cham dan benih itu terpancar bertaburan memenuhi ruang daerah Nusantara lalu melahirkan baka Boyan, Minang, Jawa dan sebagainya. Ini pun suatu kemungkinan.
Melayu itu ketika diisytiharkan sebagai sebuah bangsa dan peradaban, ia mestilah datang dalam bentuk suatu kuasa (kerajaan) yang besar dan kuat. Mungkin, kerajaan Cham yang memulakan tradisi menjenamakan Melayu sehingga wujud istilah Melayu sehinggalah ke hari ini. Sekali lagi, ini pun suatu kemungkinan juga.
Sekurang-kurangnya ada tiga kuasa yang mencapai tahap paling agung bergelar Empayar iaitu Majapahit (Hindu), Sriwijaya (Buddha) dan Melaka (Islam). Mereka ini satu bangsa, satu bahasa tetapi berlainan agama. Selain daripada ketiga-tiga empayar ini, wujud juga kuasa Melayu yang lain seperti kerajaan Kedah Tua Langkasuka, Gangga Negara dan lain-lain.
Namun, kerajaan-kerajaan kecil ini termasuk kerajaan Islam Sulu, kerajaan Islam Demak oleh Raden Patah warisan Wali Songo tidak membentuk kekuasaan yang boleh dianggap sebagai empayar. Kerajaan yang dibina oleh titisan Wali Songo ini selalu juga menerima tentangan Majapahit. Apa pun, atas nama agama, 'baka-baka' Melayu gagal bersatu.
Jadi, kita sukar mengenal siapakah yang patut digelar sebagai 'Bapa Perpaduan Melayu' di peringkat wilayah tertentu? Mungkin Sukarno boleh disebut sebagai peribadi yang boleh diangkat dalam hal ini kerana menerusi pidato beliau, ungkapan Nusantara dilahirkan.
Dalam satu ucapannya juga Sukarno berkata, Pahang, Kelantan, Terengganu dan lain-lainnya mahu dilibatkan penyertaan dalam gagasan Indonesia Raya itu atau yang disebutkan orang sebagai Melayu Raya itu. Hakikatnya, Melayu itu gagal bersatu kerana faktor warisan agama yang pernah bernafas di alam Melayu; Hindu, Buddha dan Islam.
Sebab itulah juga, ketika pembentukan Malaysia, Sukarno sanggup mengeluarkan seruan Ganyang Malaysia! Tentera Indonesia yang sudah ditahan penduduk Malaysia pada masa itu mengakui bahawa mereka berperang dalam keadaan separuh hati.
Anak-anak sekolah pada saat itu juga pernah terlibat dalam latihan khas diperkenal sebagai latihan menyelamatkan diri daripada serangan tentera Indonesia. Ada yang lari masuk ke dalam longkang sejurus siren keselamatan dibunyikan tiba-tiba.
Hakikatnya, Sukarno pun gagal menyatukan wilayah-wilayah tersebut. Acheh menuntut kemerdekaannya melalui GAM. Dan ada banyak lagi gerakan seperti itu sedang berjuang melepaskan diri daripada wilayah itu. Timor Timur antara yang berjaya membina negara baru melalui gerakan mereka tersendiri melalui campurtangan antarabangsa.
Perjuangan Sukarno menentang imperialisme Amerika pun gagal. Pengaruh Amerika pun berkembang menular, menakluk ruang fikiran masyarakat negara itu sendiri lalu merasuk segala sistem dan menjerut leher mereka sehingga tercungap-cungap menahan nafas.
Pramoedya Ananta Toer, novelis komunis berhaluan kiri yang terkenal novelnya di Malaysia, Keluarga Gerilya pernah menyatakan hasrat mahu 'berehat' daripada menulis novel lagi. Hal itu berlaku beberapa tahun sebelum kematiannya.
Jika tidak silap, Buletin Utama atau Warta Perdana pernah menyiarkan rakaman ucapannya itu. Dan, dia sambil menghembuskan asap rokok berkata dalam nada kecewa lebih kurang begini: "Perjuangan kita telah gagal. Dulu, kita berjuang menentang kolonial. Sekarang, mereka itu; Amerika telah pun datang kembali menjajah kita melalui sistem dan budaya."
Bapa Perpaduan Melayu di Malaysia, siapa?
Dalam tulisan saya yang lalu berjudul 'Dunia dan tamadun manusia ini berapakah usianya?'
di bahagian bawah sekali saya kembarkan satu kenyataan bahawa, tidaklah diketahui siapa yang pertama dalam kalangan panglima, hulubalang Melayu yang pertama meniup semboyan kesatuan antara Melayu untuk menentang petualang dan penjajah luar, Portugis, Siam, dan lain-lain agama dan bangsa. (Lihat catatan yang paling bawah)
Bagaimanapun, saya menulis hal itu mewakili perjuangan Semenanjung Tanah Melayu, Malaya Merdeka, Suvarnabumi, Semenanjung Emas dan lain-lain ungkapan yang setara dengannya. Oleh kerana barangkali 'kepupusan' rekod, simpanan bahan maklumat, sukar untuk ditemukan siapakah orang yang pertama menyeru ke arah perpaduan itu.
Jadi saya isytihar, saya pun tidak tahu. Bagaimanapun, Allah membangkitkan seorang putera Melayu berdarah campuran Arab dan lain-lain bangsa dalam tubuhnya yang dinamakan sebagai Dr Burhanuddin al-Hulaimy sebagai insan pertama menyeru ke arah perpaduan Melayu itu di Persekutuan Tanah Melayu dan Onn Jaafar itu orang kedua.
Jadi, PKMM adalah parti pertama melalui al-Hulaimy yang menyeru ke arah perpaduan 'baka-baka' Melayu dan Umno adalah parti kedua melalui Dato' Onn Jaafar yang menyeru hal yang sama di Persekutuan tatkala mereka mula tuntut merdeka daripada Empayar British.
Hujah dan bukti saya bersandarkan novel Tulang-tulang Berserakan karya Sasterawan Negara Usman Awang yang mana beliau menukilkan sendiri pantun itu ketika beliau menghadiri rapat umum PKMM pada tahun 1945.
Di atas robohan kota Melaka
Kita bangunkan jiwa merdeka
Bersatulah Melayu segenap baka
Membela hak keadilan pusaka.
Umno yang ditubuhkan pada 1946 hanyalah 'penciplak' idea al-Hulaimy melalui pantun kemerdekaan yang menyeru ke arah perpaduan seluruh 'baka-baka' Melayu itu. Namun, tidaklah diketahui apakah kes ini boleh disamakan atau tidak dengan kes 'penjiplakan' ke atas tulisan Muhtar Suhaili oleh NC UUM yang kembali dihebohkan baru-baru ini.
Ketika saya menulis pandangan itu, dengan menunjukkan kisah Malcolm-X yang telah menemui susur galur puak dan kaumnya di Afrika, saya sebenarnya berasa cemas dengan laungan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu yang dipimpin Osman Bakar. (Utusan Malaysia, 21 Mac)
Ketika menulis ini, saya sedang membaca Mingguan Malaysia hari ini (30 Mac) dan saya tersenyum lebar dan puas kerana pandangan yang sama juga tertuang melimpah dalam ruang jendela fikiran kolumnis yang saya minati; Mazlan Nordin. Saya tidak rasa bahawa saya keseorangan dan menyendiri ketika menulis hal tersebut.
Rupa-rupanya masih ada kalangan pengamal media yang beranggapan serupa. Ketika memberi komentar tentang BBPM itu, mukadimah tulisannya juga menumpukan kepada pantun al-Hulaimy. Tetapi, kolumnis itu tidak boleh terang-terang dan jelas membuat perbandingan antara Dato' Onn dan Dr Buhanudin al-Hulaimy siapa yang lebih awal menyeru ke arah perpaduan Melayu. Saudara sedia maklum, pojok itu tersiar di dalam akhbar 'Mingguan Umno'.
Sedikit pandangan Mazlan
Untuk membuat perbandingan sila ikuti catatan Mazlan Nordin dan ulasan seperti di bawah: -
"Di atas robohan Melaka
kita dirikan jiwa merdeka
bersatu padulah segenap baka
membela hak keadilan pusaka"
Pantun ini dilafaz oleh Dr Burhanuddin al-Helmy dalam satu persidangan di Melaka pada tahun 1945. Ia dirakam kembali oleh sejarawan British, T.N. Harper dalam bukunya berjudul The End of Empire (Cambridge University Press, 1999) yang seterusnya mencatat betapa pada awal 1956 Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh emerdekaan pada 31 Ogos 1957, di Melaka."
(Catatan: Umno menyatakan kepulangan Tunku dari London disambut di Bandar Hilir Melaka sebagai simbol kepada Melaka sebagai tempat asal mula Empayar Melaka yang jatuh kepada Portugis pada 1511. Tetapi, Umno dan Zainudin Maidin menerusi buku dan dokumentari 'Wira Tidak Didendang' tidak menyebut langsung bahawa pantun al-Hulaimy didendang di Melaka itu adalah permulaan perisytiharan jiwa merdeka.)
Mazlan menambah:"Pantun tersebut berbeza dari yang dirakam dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berjudul Bumi Dipijak Milik Orang (1991):
Di atas robohan kota Melaka
kita bangunkan jiwa merdeka
bersatulah Melayu seluruh baka
membela hak keadilan pusaka."
(Catatan:Walaupun ada perbezaan antara pantun tersebut, contohnya al-Hulaimy tidak menyatakan secara jelasnya 'bersatulah Melayu seluruh baka' malah beliau cuma berkata 'bersatu padulah segenap baka', namun dapat difahami bahawa rapat umum itu dihadiri oleh para pejuang Melayu Kiri juga. Ini sekali gus membuktikan bahawa soal perpaduan Melayu itulah juga yang diimpikan oleh al-Hulaimy.)
Dan, di sinilah Mazlan Nordin menunjukkan pertalian pantun al-Hulaimy itu dengan isu perpaduan Melayu: Ia (pantun itu) kembali dalam kenangan setelah tersiar laporan Utusan Malaysia hari Jumaat 21 Mac lalu mengenai perpaduan Melayu. Ayat pertama berbunyi: "Sebanyak 25 pertubuhan dan badan amal Melayu / Islam sepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang akan memainkan peranan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam." --- Tamat pandangan Mazlan.
(Catatan:Penulis cuma menyusun fakta dengan sedikit huraian. Tapi, hal untuk merumuskan sesuatu bersandarkan fakta itu adalah terpulang kepada pembaca. Misalnya, pantun al-Hulaimy itu diucapkan di Melaka pada 1945, dan Tunku turun ke Bandar Hilir, pada 1956. Rumusan yang boleh diucapkan secara tersirat ialah al-Hulaimy yang terlebih awal menyebut soal keinginan mahu merdeka. Namun, penulis tidak dapat menghuraikan hal ini dalam akhbar 'Mingguan Umno')
Usman ketika itu berkhidmat sebagai polis British memburu komunis pernah menyatakan kekaguman kepada perjuangan PKMM. Tanpa menyebut nama al-Hulaimy walau sedikit pun, Usman menulis bait pantun itu di banyak tempat dalam novelnya untuk menyatakan sokongannya. Mungkin nama tokoh parti tidak didedah sebagai cara menyelamatkan diri?
Bersatu dan bercerainya Melayu tentu ada sebabnya
Kalau BBPM mahu benar-benar menyatukan Melayu tanpa mengira latarbelakang politik kepartian, maka badan itu perlu tahu apakah hal yang menyebabkan mereka tidak bersatu. Dan, apakah yang menyebabkan orang Melayu boleh bersatu? Semua itu ada sebabnya.
Pantun keramat al-Hulaimy telah pun berjaya menyatakan apakah sebabnya Melayu perlu bersatu: "Bersatulah Melayu seluruh baka (kerana / untuk) membela hak keadilan pusaka."
Ertinya, Melayu perlu bersatu untuk membela nilai-nilai hak, keadilan dan merebut tanah pusaka daripada cengkaman penjajah. Apakah pula yang menyebabkan Melayu berpecah sejak dulu, kini dan?? Banyak puncanya. Antara salah satu sebabnya ialah Umno sendiri yang enggan memperjuang kedudukan Melayu sebagai tuan punya tanah ini.
Pada 1962, Timbalan Yang Dipertua PAS, merangkap Ahli Parlimen bagi kawasan Kuala Terengganu Utara YB Hj Hasan Adli telah mengusulkan supaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu meletakkan: "Tanah persekutuan milik orang Melayu, dan yang lain sebagai orang dagangan." Tapi, hal ini ditolak sendiri oleh Umno dan Perikatan di Parlimen.
(Rujuk Presiden Wadah, Dr Siddiq Fadhil)
Banyak lagi sebab dan punca yang menyebabkan PAS dan kebanyakan Melayu di negara ini tak dapat bersatu dengan Umno. Saudara-saudara mereka terperangkap dalam tahanan ISA dan terbunuh di Memali. Mahasiswa pula ketakutan kerana Auku selalu mengintai mereka di IPT.
Melayu Muslim marah sikap Umno yang enggan syariah dijadikan perundangan negara. Ramai ibu bapa dan pelajar Melayu di sekolah menolak bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik.
Inilah antara sebab dan punca kenapa Umno ditolak kebanyakan Melayu selepas merdeka daripada cengkaman penjajahan British. Inilah yang harus dikaji semula oleh BBPM, dan seruan bersatulah PAS dan Umno ini tidak semudah usaha menyusun kongres perpaduan Melayu yang bakal diadakan di Johor Bahru nanti. Sebenarnya, banyak lagi puncanya.
Ingat! Melayu bersatu ada sebab. Menurut al-Hulaimy, berdasarkan pantun keramatnya, hal 'penyatuan Melayu seluruh baka' itu penting untuk mengusir penjajah British. Tetapi, penyatuan Melayu kali ini kerana apa ya? Hanya kerana Umno kalah dalam pilihan raya?
Demikianlah ? Melayu bersatu ada sebabnya. Dan, hal berpecahnya Melayu itu pun ada puncanya. Duhai BBPM telitinya dan siasatlah dengan betul-betul dan berdasarkan kajian itu, carilah formula dan bentangkanlah syarat-syarat penyatuan kalau Umno benar-benar ikhlas mahu bersatu semula. Bukan mudah menyatukan Melayu ini. Kenalah ikhlas.
Tapi, itulah antara masalah dan dilemanya. Mampukah Umno untuk mengaku bahawa Dr Burhanudin al-Hulaimy itu penyeru ke arah perpaduan Melayu sebelum Dato' Onn Jaafar berkelana serata Malaya bagi menyeru Melayu pergi ke Kongres Kelab Sultan Sulaiman?
Dan adakah Umno cukup kuat untuk menyatakan pengakuan bahawa Hj Hasan Adli telah meminta diisytiharkan Persekutuan ini adalah milik Melayu dan Umno sendiri yang telah menolak hal itu? Jika kita ingin rawat penyakit rohani, kenalah mengaku dulu semua dosa yang pernah kita lakukan. Barulah guru mursyid dapat merawatnya, insya Allah.
Memang mudah mahu minta maaf kepada Tun Salleh Abas juga atas kesilapan yang lalu jika Zaid Ibrahim yang minta maaf. Sebabnya, bukan beliau yang memecat Tun Salleh Abas. Yang pecat bekas Exco Terengganu itu ialah bekas PM sendiri, Tun Dr Mahathir. Siapa yang bersalah, maka dialah sepatutnya yang minta maaf, bukannya Zaid. Soalnya, Mampukah Dr Mahathir meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas?
Jika tidak, jangan mimpi mahu rawat Umno. Umno tidak dapat dirawat dengan sempurna walaupun berlaku pertandingan yang sihat dalam jawatan Presiden Perhimpunan Agung Umno pada Disember depan. Mengaku dosa-dosa itulah satu-satunya proses rawatan.
Memang susah mengaku dosa-dosa lama. Pengakuan ke atas dosa inilah titik mula ke atas penyatuan Melayu. Seperti tajuk pojok Mazlan Nordin yang terbaru: "Perpaduan Melayu tidak ada penyelesaian mukjizat!"
12:02 a.m,
31 Mac 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru
No comments:
Post a Comment