|
Masa depan telah tiba! Dr Dzulkefly Ahmad (Harakahdaily) |
|
Sewaktu 2009 menghampiri penghujungnya dan dekad ini melabuhkan tirainya, anda mungkin bertanya tentang wajah hari-hari muka yang bakal tiba kelak. Sungguh, anda tidak berseorangan dalam hal ini. Berlatarbelakangkan pelbagai gejala kerosakan yang melanda institusi-institusi kritikal negara ini dan kelembapan ekonomi sepanjang dekad lepas, selain bencana alam tsunami dan mewabaknya penyakit berjangkit seperti SARS dan H1N1, tidaklah hairan jika ramai yang resah dan gusar. Namun begitu, tidak semuanya kelam dan muram. Pada setiap kesukaran, ada penylesaiannya. Ya, telah muncul cahaya perak di langit negara kita yang hitam. Barangkali ia adalah bayangan masa depan kita. Ia telah tiba jua akhirnya. Ya, anda betul. Masa depan telah berada di sini. Ia mungkin tiba lebih awal. Bahkan ia terpanggil dan semacam dipanggil untuk sampai lebih awal? Ia begitu didambakan dan mungkin kerana itu jugalah ia menjengahkan mukanya lebih awal dari dijangka. Ia semacam mengisytiharkan bermulanya kesedaran baru yang kian lama ditunggu dan dialu-alukan oleh banyak orang, tetapi dibenci oleh musuh-musuh perubahan dan pembaikan. Tiada kata-kata yang berjaya merakamkan peristiwa itu dengan lebih tepat daripata kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, yang ketika mengambil tempat di sebelah bekas musuh ketat politiknya, Pengerusi DAP, Karpal Singh, secara spontan menyebut, “saya berasa seperti berada di dunia baru”. Ya, anda betul sekali lagi. Saya bercakap tentang Kerangka Dasar Bersama (Common Policy Framework, CPF), yang dilancarkan di konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada 19 Disember lepas di Shah Alam. Unjuran Besar Politik Malaysia Saya kembali menziarahi (revisit) peristiwa ‘bersejarah’ agak awal dari biasa. Seperti banyak orang, saya mahu menjadikannya ‘sejarah semasa’ yang kekal abadi. Saya teringat kata-kata dalam iklan jurnal ‘Current History’ yang menyebut, “jika anda tidak terkini, maka anda adalah sejarah”. Walaupun tarikh 19 Disember itu ternyata bersejarah di banyak sisi, namun ramai yang tidak mahu ia sekadar menjadi suatu peristiwa ‘sejarah’. Paling tidak, 19 Disember harus kekal semasa. Lebih baik, jika ia turut menandakan ketibaan awal arus besar politik negara yang segar (political trajectory), Malaysia untuk 50 tahun akan datang; untuk lima dekad berikutnya. Ya,... jauh mendahului pilihan raya umum akan datang. Memetik seorang kolumnis The Malaysian Insider, persaingan untuk menguasai Putrajaya dalam PRU 13 tampaknya telah bermula dengan pengisytiarahan CPF oleh Pakatan Rakyat dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Results Areas - NKRA) oleh Najib Tun Razak. Tanpa menolak sepenuhnya penegasan kolumnis di atas, penulis percaya bahawa CPF Pakatan Rakyat adalah jauh lebih luas daripada sekadar pertarungan politik kalah-menang (zero-sum) yang sempit dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen. Penulis percaya CPF Pakatan Rakyat adalah kerangka dasar Politik Baru bagi sebuah Malaysia Baru. Selepas 50 tahun merdeka, Malaysia kini tampak telah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam proses pembinaan-semula negara-bangsa ini (nation rebuilding). Dekad-dekad Kelembapan Ekonomi dan Kereputan Institusi. Keperluan mendesak terhadap perubahan adalah jelas dan merata. Tiga dekad terakhir kehidupan bernegara menyaksikan bagaimana Malaysia hampir lenyap dalam persaingan global, akibat pembaziran kemewahan yang tak berbatas; penjarahan kekayaan negara, ketika laporan Ketua Audit Negara tahun demi tahun memperingatkan dan mendedahkan amalan rasuah dan salah guna wang awam yang merata; sementara kebebasan asasi rakyat kita terus dicerobohi. Kenyataan tokoh-tokoh besar negara tentang reput dan rosot ini, yang telah menjadi budaya tegar yang menjangkiti keseluruhan kehidupan nasional, sudah memadai untuk menyedarkan kita. Seorang pakar undang-undang perlembagaan pernah menyamakan kita dengan negara Zimbabwe. Secara berterus-terang, Professor tersebut menyamakan pihak yang memegang kuasa di Malaysia kini sebagai sekumpulan ‘samseng’ (thugs). Pelbagai contoh telah dikemukakannya bagi menyokong dakwaan tentang iklim ‘tanpa undang-undang’ atau ‘lawlessness’, yang wujud kini. Selain itu, beliau turut terkilan persendaan terhadap keadilan, apabila ‘badan kehakiman seolah-olah sentiasa menunggu-nunggu petunjuk dan arahan daripada kerajaan’ dalam membuat keputusan-keputusannya. Pengubahan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi oleh Mahkamah Rayuan dalam banyak kes adalah persendaan terhadap keadilan yang jelas; kes waktu untuk menyoal saksi oleh SPRM dan kemelut perlembagaan di Perak adalah antara contoh tersohor yang mengaibkan institusi kehakiman negara di sisi pandang dunia moden ini. Sementara itu, pembentukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat adalah tindakan primitif, berlawanan sama sekali dengan hak-hak negeri dan merupakan pelanggaran serta pencabulan berterusan terhadap amalan federalisme seperti yang terkandung dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penggunaan Ordinan Darurat bagi menentukan sempadan laut dalam isu royalti minyak Kelantan adalah satu lagi contoh sikap angkuh dan curang, yang tidak langsung menghormati undang-undang oleh kerajaan BN serta kesucian perjanjian (sanctity of contract). Menteri Kewangan Kedua akhirnya terpaksa bersetuju dengan pandangan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, bahawa ekonomi kita tidak berkembang. Tanda-tanda pertumbuhan ekonomi yang rendah jelas terpampang di sekeliling kita. Upah tidak bertambah, sementara kos hidup terus-menerus meningkat. Menurut Bank Dunia, sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK kita adalah sebanyak 46.2% pada 1987. Sepuluh tahun kemudian, sumbangan tersebut hanya bertambah sebanyak 0.2%. Antara 1994 hingga 2007, upah benar (real wages) berkembang hanya sebanyak 2.6% dalam sektor domestik, dan 2.8% dalam sektor eksport. Ini bermakna ia telah mendatar sepanjang tempoh 13 tahun itu. CPF Pakatan Rakyat CPF Pakatan Rakyat merupakan kerangka bagi pembinaan-semula negara-bangsa kita yang lebih segar dan kukuh yang dikemukakan jauh sebelum tibanya PRU ke 13. Ia adalah penyataan polisi bagi memimpin rakyat dan negara untuk keluar daripada krisis yang semakin memburuk. Polisi-polisi ini diraih daripada kepatuhan kepada perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat yang akan mempertahan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman serta menjamin bahawa hak dan kehormatan asasi rakyat akan terus dipertahan dan dijunjung. CPF secara jelas telah meneguh dan memperkukuh paksi-paksi penting Perlembagaan Persekutuan, yakni kedudukan Islam dan hak-hak kebebasan beragama bagi penganut lain, kedudukan 153 bagi keduduan orang Melayu dan bumiputera dan hak-hak asasi semua rakyat dan 152 kedudukan Bahasa Melayu sebagai lingua-franca, sementara penggalakan penguasaan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua penting bagi memajukan komunikasi di peringkat global. CPF juga sekaligus menggariskan empat dasar asasi untuk dimajukan kepada rakyat, iaitu; menjanjikan demokrasi yang telus dan tulen; ekonomi berprestasi tinggi yang mesra-rakyat; keadilan sosial dan pembangunan insan; hubungan kerajaan pusat-negeri dan dasar luar yang lebih berkesan dan bermakna. Hakikat bahawa polisi-polisi ini dirumuskan hasil persepakatan daripada ‘perdebatan dan sumbang-saran’ dalam sebuah pakatan tiga parti, yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat, adalah amat luar biasa dan mengkagumkan sekali. PAS bersama-sama DAP dan PKR telah mempertegas komitmen mereka kepada polisi-polisi bersama ini dan, pada saat yang sama, terus iltizam kepada pegangan ideologi mereka yang berbeza-beza dalam kerangka pentas parti masing-masing. Permuafakatan Politik ini membayngkan satu kematangan dan pendewasaan yang memberi isyarat besar tentang kesedian Pakatan untuk terus mendakap serentak memahami tuntutan Politik Baru. Inilah kedatangan dunia baru yang ditunggu-tunggu rakyat. “Mereka tidak semestinya bersama kerana mereka cantik, tetapi jelasnya mereka menjadi cantik kerana bersama”. Pakatan Rakyat serius dalam azam bagi ‘menunaikan janji-janji’ itu selepas polisi bersama tersebut digariskan. Tempoh 20 bulan lepas telah menyaksikan usaha yang tidak mengenal letih, walapun turut diakui bahawa ia bukanlah mudah dan tidak pula sunyi daripada kekurangan-kekurangan. Dalam menggapai harapan dan aspirasi rakyat, maka Pakatan Rakyat menegaskan komitmennya untuk melaksana agenda politik baru itu dengan menggerakkan kuasa dan suara rakyat daripada semua kaum, agama dan budaya sebagai sebuah kuasa perubahan. Perjuangan Islam PAS dalam kerangka CPF Berlawanan dengan dakwaan bahawa PAS kini mengalami kelunturan dan pengenduran agenda Islamnya, kedudukan agenda Islamnya ssesungguhnya adalah lebih tegas dan kukuh lagi. Yang berbeza adalah olahan agenda Islam yang ditampilkan oleh PAS dalam muafakat politik Pakatan. PAS mempertegaskan pelancaran pertentangan terhadap segala kebobrokan perkauman sempit Ketuanan Melayu tajaan Umno, salah guna kuasa yang berleluasa, penularan amalan rasuah, pembolotan kekayaan negara oleh segelentir suku-sakat pemimpin politik dan penafian hak rakyat teramai mengecapi khazanah kekayaan negara yang semuanya adalah bertentangan serta berlawanan dengan prinsip-prinsip Islam dan tuntutan Keadilan oleh Syari’at Islam. Perjuangan PAS mengenai kerajaan Islam dan demokrasi adalah unik dalam pengalaman politik Islam di pentas dunia. Berdasarkan politik majmuk Malaysia dan demografi pengundi yang bercampur-campur, pengalaman dalam usaha membentuk-persefahaman ini adalah unik dan luar biasa bagi parti Islam itu. PAS kini menekankan peri pentingnya mewujudkan keadilan – yang merupakan matlamat utama dan serba mencakupi syariah Islam. Penyataan perjuangan politik Islam PAS dalam PR amat dikagumi dan disokong oleh semua, lalu menjadikan slogan ‘PAS Untuk Semua’, dan lambat laun ‘Islam Untuk Semua’ dicemburui oleh musuh tegarnya, iaitu parti perkauman, Umno. PAS telah melangkah jauh dalam tempoh yang singkat selepas Mac 2008 untuk memahami bahawa ia tidak boleh sekali-kali membenarkan berulangnya PRU ke 11 yang menyaksikan parti itu menderitai ketewasan paling besar hanya selepas ia berjaya memimpin barisan pembangkang di parlimen satu penggal sebelumnya. PAS kini telah berjaya merangkapkan objektif strategik pilihan rayanya dalam kerangka PR yang lebih besar. Parti itu juga telah berjaya mendedahkan kepalsuan rasa takut penganut agama-agama lain (Kristian, Hindu dan Buddha) terhadap Islam dan juga meruntuhkan tembok sempadan bangsa, agama serta budaya dengan memajukan politik saling menghormati dan saling memahami (Politik Li-ta’arafu). PAS telah menampilkan kebijaksanaan dalam pendiriannya terhadap polemik besar tentang penggunaan nama Allah yang sengaja dibesar-besarkan oleh media umno/BN. PAS tidak akan terheret dalam kancah pemikiran sempit Umno. Sementara meletakkan pendirian yang jelas berdasarkan nas Al-Quran, PAS mengingatkan semua supaya jangan terperangkap dalam mainan politik jahat Umno memperlagakan isu pertentangan agama-kaum dan budaya. PAS mahukan semua supaya tidak melampau dan agresif serta provokatif sehingga menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum-agama-budaya. Ini yang disanjungi Islam – Islam - Rahmatan Lil ’Alaamin.(Islam Rahmat Untuk Semua). Rakan-rakan PAS dalam PR pula kini telah terbiasa dengan ayat-ayat lazim dalam al-Quran, malah hadis Nabi Muhammad SAW juga. Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, secara terbuka mendambakan kepimpinan dan kerajaan baik zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dalam menjunjung amar-makruf dan nahi mungkar dalam pentadbiran negeri pimpinan beliau. PAS seharusnya telah faham bahawa pendekatan berhemah dalam memajukan undang-undang jenayah Islam hanya boleh dilakukan melalui kerangka demokrasi dan peti undi, iaitu melalui penerangan hujah yang meyakinkan lantas menggamit mandat rakyat. PAS perlu menghindari kesilapan lalu apabila ia dilihat seperti mahu memaksakan Islam kerana ini akan melemahkan dan merungkaikan semangat CPF Pakatan Rakyat, selain menyuburkan salah faham serta prajudis saki-baki terhadap parti Islam itu sendiri. Sebagai sebuah parti Islam yang demokratik, PAS mesti meyakinkan orang lain bahawa ia berkewajipan mencapai objektif-objektifnya dalam kerangka proses demokrasi dan berparlimen di negara ini. Selain itu, ia juga perlu dicapai secara bertahap, bermula dengan menyediakan padang sama-rata bagi membolehkan strategi memenangi hati dan minda rakyat di peti-peti undi. Inilah kebijkasanaan Politik Islam yang kini dipelupori oleh PAS yang sangat digeruni seteru tradisi politiknya, Umno, parti Melayu terbesar di dunia itu. Mereka mahu PAS kembali ke garis yang dipersepsi rakyat umum sebagai ekstreme dan sempit. Malang sekali Umno. Pakatan Rakyat mempelawa seluruh rakyat Malaysia supaya beramai-ramai membina persefahaman baru di atas prinsip-prinsip keadilan untuk semua dan semangat perlembagaan yang tulen. Inilah agenda masa depan kita. Ia mesti dilaksanakan sekiranya kita mahu memulihkan kehormatan, kebebasan dan maruah negara ini. Inilah juga jalan penebusan bagi dekad-dekad hitam lalu negara ini. Pakatan Rakyat telah bersedia untuk perubahan itu. Anda bagaimana? ----------------------------------------------------------------------------------------- Penulis adalah AJK PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor. |
"You are welcome to the world of unity"
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)
"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)
Wednesday, January 6, 2010
Wajah Baru Politik Malaysia
Posted by
pasnational_unity
at
12:51 AM
0
comments
Nama Allah : UMNO didakwa cuba membeli massa
KUALA LUMPUR, 4 Jan: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dilihat seolah-olah cuba melengah-lengahkan usaha mengfailkan rayuan berhubung larangan orang bukan Islam dari menggunakan kalimah ‘Allah’.
Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Umno dalam isu kudeta Perak dilihat begitu pantas mengemukakan rayuan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar Perak yang sah.
“Persoalan pertama kenapa KDN yang diketuai oleh Naib Presiden Umno (Hishamuddin) lambat mengemukakan rayuan...pada hal dalam kes politik perak hari ini yang memutuskan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah, Umno (dan) BN terus buat rayuan,” ujar Mahfuz ketika dihubungi pagi tadi.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap tindakan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno itu sebagai suatu mengapi-apikan sensitiviti umat Islam, khususnya masyarakat Melayu agar mereka bersatu dan kembali melihat parti perkauman itu sebagai pembela bangsa dan agama.
Ujar Mahfuz lagi, Umno dilihat seolah-olah ghairah menggunakan media cetak dan media elektronik demi menyempurnakan agenda politik Umno tersebut.
“Kita lihat media cetak arus perdana yang berada di bawah kawalan KDN yang menterinya Hishammudin berserta media eletronik yang berada di bawah kawalan Kementerian Penerangan terus mengambil kesempatan bagi menghangatkan isu ini dalam menyempurnakan agenda umno,” jelasnya.
“Pada hal, kalau Umno mahu kalimah Allah hanya untuk kegunaan umat islam saja, dia boleh aturkan dari awal lagi (supaya) kes ini dibicarakan (oleh) Hakim yang ada jiwa Islam.”
Tambahnya lagi, tektik licik Umno tersebut tersebut sebenarnya demi memperbaiki kepercayaan rakyat terhadap partinya.
“Bukankah Ketua Hakim Negara adalah ahli Umno yang boleh pastikan hakim yang berjiwa Islam untuk mengendalikan kes ini...saya percaya apabila isu ini sudah cukup panas, Umno secara tidak langsung akan dilihat (sebagai) juara.
“Rayuan akan dibuat (oleh) Umno (lalu) mahkamah yang bersidang dijangka membatalkan keputusan mahkamah tinggi... Umno pun akan dabik dada (mengatakan bahawa) dialah yang mampu pertahankan Islam,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Mahfuz berkata, isu tersebut berjaya menenggelamkan beberapa isu berbangkit seperti kehilangan enjin jet, kenaikkan harga gula dan makanan rutin, ketirisan Bajet bernilai RM28 bilion, kerajaan hadiah rumah bernilai RM12 juta kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sebagainya.
Semalam, dilaporkan KDN akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah supaya Gereja Katholik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan mereka, The Herald.
Tindakan KDN itu selepas beberapa pertubuhan Islam dilaporkan media arus perdana, melancarkan demontrasi serta menyerahkan suatu memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tindakan KDN itu selepas beberapa pertubuhan Islam melancarkan demontrasi serta menyerahkan suatu memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Di kalangan kepemimpinan PAS pula, ada yang bersetuju dengan tindakan kerajaan dan sebaliknya.
Posted by
pasnational_unity
at
12:34 AM
0
comments
Perjuangan asaskan bangsa ketinggalan zaman-MB Kelantan
| Mohamed Zainal Abidin Hussin (Harakahdaily) |
| KOTA BHARU, 4 Jan: Umat Islam yang menjadikan bangsa sebagai asas perjuangan diseru menilai semula pegangan mereka kerana dianggap ketinggalan zaman dan sesuatu yang sama sekali tidak wujud dalam ajaran Islam. |
Posted by
pasnational_unity
at
12:23 AM
0
comments
Kalimah Allah - Guna Secara Tepat Tanpa Seleweng
| Guna Kalimah Allah secara tepat tanpa seleweng |
| Harakahdaily |
| KUALA LUMPUR, 2 Jan: Biarpun akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dalam penerbitan mereka, namun penggunaan kalimah tersebut perlu diguna secara tepat dengan maksud yang tidak menyeleweng dari kefahaman sebenar 'Allah' kepada umat Islam. |
Posted by
pasnational_unity
at
12:17 AM
0
comments
Orang Islam Bangsa Lain Boleh Jadi Menteri Besar
| Tiada masalah orang Islam bangsa lain, jadi MB |
| Muhammad Yusri Amin (Harakahdaily) |
| KOTA BHARU, 2 Jan: Exco Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa orang bukan Melayu beragama Islam boleh menjadi menteri besar. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berpendapat, perkara itu wajar asalkan individu tersebut mempunyai ilmu yang tinggi mengenai Islam. "Calon Menteri Besar atau pemimpin bagi kerajaan yang berteraskan Islam, calon itu mestilah mempunyai ilmu yang tinggi mengenai Islam. "Ini kerana sebagai menteri besar dan pemimpin, perlu memutuskan satu-satu perkara berdasarkan kepada syariat dan hukum," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis jamuan kesyukuran dan doa selamat sempena pembukaan Bazar Tengku Anis di sini kelmarin. Beliau berkata, dalam sejarah Islam itu sendiri, aspek 'bangsa' itu adalah sebagai satu yang tidak pernah diambil kira oleh Rasulullah s.a.w . "Bahkan dari segi ilmu, Hadis Nabi saw sendiri menyebut (bahawa) disaran supaya menuntut ilmu walau pun sampai ke negeri Cina. Itu dari segi ilmu. "Dalam Islam, setakat yang saya faham, tidak pernah ada syarat untuk menjadi pemimpin itu mesti (dari) bangsa-bangsa tertentu," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bunut Payong. Menteri Besar baru-baru ini menyatakan kesediaan Kerajaan Kelantan untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu. Beliau berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah negeri Kelantan pada 1990. Mengikut dasar Islam, kata Nik Aziz, calon Menteri Besar dari kalangan bukan Melayu itu layak dijadikan pemimpin asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya. Beliau turut menempelak pemimpin Umno yang taksub terhadap bangsa sendiri apabila menolak saranan tersebut dan menyifatkan Umno pada masa akan datang tiada tempat dalam politik negara, malahan imej Umno pada kacamata masyaakat Cina lebih buruk. Turut menyokong pandangan Menteri Besar Kelantan itu, Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Mustafa Ali . Malah Mustafa mencadangkan ianya bukan sahaja untuk Menteri Besar Kelantan saja, bahkan membabitkan pemimpin utama negara. Mengulas perkembangan perniagaan dijalankan para peniaga di negeri ini membabitkan peniaga di Pasar Buloh Kubu, Bazar KB Mall dan terbaru Bazar Tengku Anis di sini, Takiyuddin berkata semua pihak perlu bekerjasama untuk mewujudkan satu suasana yang kondusif serta selesa. Peranannya tersebut bukan saja perlu dimainkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan pihak Kerajaan Negeri, bahkan membabitkan semua jabatan dan agensi berkaitan. "Pada masa sama, pihak peniaga perlu mengambil inisiatif melariskan perniagaannya, Kerajaan hanya memberi pandangan dan galakan di samping menyediakan kemudahan dan cara (facility), keselamatan, kebersihan dan keceriaan, bahkan MPKB-BRI sendiri amat bertoleransi dengan para peniaga,' katanya. |
Posted by
pasnational_unity
at
12:14 AM
0
comments
Sunday, October 18, 2009
Kelab Penyokong PAS bantu mantapkan parti
KUALA TERENGGANU – Langkah menjadikan Kelab Penyokong Pas sebagai salah satu sayap parti mampu membantu melonjakkan pencapaian dan kejayaan lebih tinggi pada masa akan datang.
Posted by
pasnational_unity
at
11:37 PM
2
comments
Kenyataan YB Dr Halimah berhubung isu PAS Pinggirkan Melayu bila tertubuhnya KPP
PAS PINGGIRKAN MELAYU SEBAB TIDAK DIWUJUDKAN KELAB PENYOKONG MELAYU
1. Sdr Hasbullah menyatakan Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat merupakan platform "bukan Islam" sahaja yang tidak mengintegrasikan kaum Melayu ke dalamnya, maka adakah bertepatan dengan peranan Lajnah tersebut.Saya selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan dan sikap ambil berat saudara Hasbullah.. Sikap beginilah antara kaedah yang dapat menyubur serta merangsang perkembangan-pertumbuhan PAS sehingga mampu merentasi semua kelompok massa di Malaysia bagi maksud mencapai matlamat suci PAS.
2. Ada beberapa isu yang ditimbulkan. Pertama, isu kenapa ada bebarapa jenis Kelab Penyokong PAS (KPP): KPP Cina, KPP India, KPP Iban, KPP Siam dsb TETAPI tidak wujud Kelab Penyokong PAS Melayu.
3. Semua rakyat Malaysia yang beragama Islam samada Melayu, Tionghua, India, Iban, Siam dll yang berminat untuk bersama dalam organisasi PAS BOLEH TERUS menjadi AHLI PAS dan terlibat dalam semua aktiviti PAS (sila rujuk Perlembagaan PAS).
4. Ini Berbeza dengan kedudukan Non Muslim. Non Muslim yang sudah bersama dengan PAS belum boleh menjadi ahli PAS yang sepenuhnya kerana belum ada peruntukan dalam Perlembagaan PAS. Justeru pimpinan PAS mahu meraikan penyokong-penyokong PAS yang terdiri daripada bukan Melayu belum Islam yang sudi mencurahkan sumbangan bakti kepada PAS dengan lebih berkesan dan meluas. Mereka terpikat dengan perjuangan PAS setelah mengkaji prinsip perjuangan PAS. Mereka faham ideologi perjuangan PAS. Mereka dapat membezakan PAS dengan UMNO yang mana sekian lama UMNO mereka kenali sebagai tulang belakang kerajaan Barisan Nasional. Mereka sudah kenal siapa itu UMNO, halatuju UMNO serta dasar perjuangannya. Mereka sudah dapat menyelami hati perut orang UMNO/BN. Mereka sudah masak dengan tipu helah UMNO/BN. Mereka sudah muak dengan kepincangan pemerintahan UMNO/BN dan menanti-nanti corak pemerintahan alternatif. Benarkah di sana terdapat “politik bersih”? Boleh wujudkah pemerintahan tanpa rasuah? Mungkinkah menjadi kenyataan di mana kaum Melayu yang memerintah akan berlaku adil kepada semua kaum. Mereka sedia maklum Perlembagaan Malaysia. Mereka tahu konsep Raja Melayu. Namun mereka mahu biarlah pihak yang memerintah itu bersikap adil dan membela semua kaum, bangsa dan agama. Mereka sudah letih dianggap seperti melukut di tepi gantang oleh UMNO / BN. Keperluan asas kaum ini tidak diperjuangkan dan dibela oleh ketua masing-masing yang berada dalam MIC, MCA dll.
5. Justeru, mereka melihat sinar harapan pada sebuah parti politik yang dilihat konsisten dan berpegang kepada prinsip dan ikhlas berjuang untuk semua kaum dan rakyat di Malaysia. Mereka tertarik dengan slogan PAS FOR ALL, PAS untuk semua yang telah dilancarkan oleh Timb. Presiden PAS pada September 11 2007, satu gagasan perpaduan dan integrasi kaum yang dibawa oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat di bawah Dr Mujahid Yususf Rawa. Saya sendiri selaku Pengarah Program Pelancaran PAS FOR ALL telah dipertanggunjawabkan untuk mengadakan pertandingan logo PAS for ALL yang mana penyertaannya terbuka kepada yang berminat dari dalam dan luar negara.
6. PAS untuk semua membawa maksud PAS untuk orang kaya, PAS UNTUK ORANG MISKIN, PAS untuk orang bandar, PAS untuk orang desa/bagan/estat, PAS untuk orang Melayu, Cina, India, IBAN, Kadazan dll.
7. Mereka dapat merasakan kejujuran dan kehangatan kasih sayang serta kemesraan 'orang' PAS. Mereka mula menaruh kepercayaan dan seribu harapan kepada PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) sebagai tunggak dan tempat berteduh mereka. Ada di antara kaum bukan Melayu belum Islam ini yang lebih ke hadapan dan agresif, mahu menyusun strategi bagi meyakinkan seramai mungkin kaum kerabat, sahabat handai serta kenalan mereka untuk bersama-sama menyokong parti yang faham aspirasi serta dapat memperjuangkan nasib / masa depan mereka. Mereka mahu bersama organisasi PAS. Maka, dengan kesedaran ini, PAS menyediakan satu wadah untuk semua yang telah terpanggil untuk bersama-sama PAS melalui KELAB PENYOKONG PAS. Inilah tujuan asal kelahiran Kelab Penyokong PAS.
8. Bagi kaum Melayu yang sudah sedar kepincangan yang dibuat oleh UMNO/BN mereka boleh terus masuk menjadi PAS. Bukan sebab PAS tidak mahu mewujudkan KPP Melayu tetapi ia tidak menjadi satu keperluan.
9. Isu Kedua: Lajnah Perpaduan Nasional seolah-olah tidak mampu mengintegrasikan kaum-kaum yang wujud di Negara ini kerana setiap kaum hanya merancang serta melaksanakan program yang berkisar di kalangan kaum masing-masing.
10. Kita semua perlu faham sejarah Malaysia. Suka atau tidak, terima atau tidak kita harus akur dengan realiti bahawa semenjak zaman penjajah hingga ke hari ini dan akan diteruskan oleh UMNO/ Barisan Nasional (dulu, kini, selamanya) kaum-kaum di Malaysia dikendalikan dengan cara: pecah dan perintah atau divide and rule. Orang Melayu di kampung-kampung, orang India di estate dan ladang, orang Cina di bandar dan lombong bijih timah. Mereka terpisah daripada peringkat awal lagi dan sistem pendidikan telah menyempurnakan pengasingan/ pemisahan ini sehingga timbul gejala saling tidak memahami bahasa, budaya, agama dan pantang larang antara kaum-kaum yang wujud di Malaysia. Timbul syak wasangka, curiga mencurigai serta SALAH tanggapan DI ANTARA satu sama lain. Anak-anak yang berbilang kaum dan bahasa ibunda dihantar ke sekolah yang berlainan sistem pendidikan dan ini menjadi salah satu faktor utama wujudnya polarisasi kaum serta kurangnya perpaduan dan integrasi nasional.. UMNO membawa konsep ketuanan Melayu yang sukar di telan oleh kaum-kaum lain. UMNO cuba, memujuk kaum-kaum lain dengan beberapa taktik seperti menjaga kepentingan peribadi beberapa individu penting yang berpengaruh dalam satu-satu kaum yang mereka mahu kuasai. Taktik itu dapat bertahan berdekad-dekad sehinggalah makin ramai kaum Cina dan India yang menyedari bahawa pemimpin mereka tidak membela hak serta kepentigan majoriti kaum mereka sendiri.
11. Tarikh keramat 8.3.2008 merupakan titik permulaan lahirnya kematangan non-Malay, non-Muslim: satu ledakan kesedaran bahawa mereka perlu 'mengajar' parti yang telah 'menipu' mereka ( these political parties must be taught a lesson). Sesungguhnya calon PAS menjadi pilihan undi mereka. Bukan Melayu yang tidak beragama Islam sudah tidak boleh lagi di takut-takutkan oleh UMNO/BN dengan 'fear and scare tactics' bahawa mereka akan dipaksa masuk Islam, dihukum dengan sistem hukuman dalam Islam seperti di 'potong' tangan dan sebagainya. Semua maklum "spin doctors" UMNO/BN menggambarkan sekiranya PAS memerintah, PAS akan melaksanakan hukum Islam dan yang paling tertonjol ialah hukum hudud. Ianya diperlihatkan begitu kejam dan ketinggalan zaman. Apabila golongan non-Muslim mengkaji apa itu hukum Islam yang digembar-gemburkan, khususnya apa itu hudud dan kenapa hukum hudud dilaksanakan, apa baik buruknya mereka menemui jawaban kepada soalan-soalan asas ini. Mereka yang pada asalnya takut kepada hukum hudud itu adalah orang yang sekarang mahu membantu PAS menerangkan isu hukum hudud kerana mereka faham falsafahnya serta yakin dengan kemampuannya menangani masalah sosial dan jenayah.
12. Fenomena ajaib sudah berlaku. Orang bukan Islam sudah boleh menerima Islam sebagai satu sistem pemerintahan seperti mereka boleh menerima kewujudan masjid dan bacaan doa sebelum memulakan majlis. Rintihan serta suara hati mereka ialah 'kami wujud, kami juga manusia, Kami juga ada keperluan, kami juga lahir di bumi Malaysia ini'.
13. Persoalan yang ditimbulkan oleh Sdra Hasbullah di mana beliau ingin melihat ahli KPP dan ahli PAS sama-sama kerja, pasang turun bendera, buat itu dan ini bersama maka barulah diakui perpaduan sebenarnya.
14. Untuk menjawab soalan tersebut kita harus memahami secara mendalam konsep qudwah, dakwah fardhiyyah, dakwah dan siyasah, Kita harus mengerti sunnah perubahan bahawa ianya satu proses yang mengambil masa, satu evolusi dan bukan revolusi serta perlu melalui langkah-langkah kritikal. Pimpinan PAS yang mahu memimpin kelompok yang lebih besar dan menyeluruh harus mampu menyelami nilai dan paksi hidup pelbagai kelompok, bukan hanya berligar di sekeliling orang-orang yang sudah memahami perjuangan Islam (PAS). Pimpinan PAS di semua peringkat mesti mendekati semua kelompok dan terjun ke kancah masyarakat, menyaksi sendiri denyutan nadi kelompok yang mahu dipimpin, spektrum mad'u dalam jaringan pengaruhnya. Pimpinan PAS harus faham apa yang menggamit hati seorang insan sehingga timbul keinginan untuk bersama PAS, dan apa yang akan membawa mafsadah besar lantaran menutup terus pintu dakwah siyasah. Ini sudah tentu adalah malapetaka yang timbul kerana pendekatan gopoh-gapah dan kurang sabar, kurang cermat dan kurang berhemah sesetengah pihak sehingga timbul kekeliruan yang menyesatkan golongan sasaran non Malay, non Muslim.
15. Pada pendapat saya yang perlu tampil ke hadapan dalam ertikata memulakan “engagement” serta hubungan yang erat dan berkesan dengan orang non-Malay, Non Muslim ialah orang PAS itu sendiri lebih-lebih lagi pimpinan PAS, bukan sebaliknya. Kita tidak harus samasekali mengharapkan ahli Kelab Penyokong PAS bersama-sama angkat barang, anjur program, pasang bendera dsb. Pertamanya, adakah pimpinan PAS kawasan, Dewan-dewan pernah menjenguk rumah-rumah mereka, mengambil tahu hal ehwal serta menjaga kebajikan mereka? Pendek kata adakah pimpinan PAS yang mendokong Islam yang disebut sebagai rahmat bagi seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin), di semua peringkat telah memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab menawarkan serta menghidangkan Islam sebagai rahmat, penyelesai masalah kepada orang Melayu, orang Cina, orang India nun di luar sana? Bagaimana orang-orang awam di luar gelanggang / medan akan tahu, memahami dan menerima perjuangan PAS sekiranya kita hanya syok sendiri berlegar dalam zon keselesaan dan mengulangi apa yang kita sudah lakukan bertahun-tahun tanpa menerobos serta menembusi pasaran baru, “the blue ocean strategy” yang lebih luas di luar sana.?
16. Manusia hanya akan dapat disatukan dengan kebaikan, keadilan dan kesejahteraan yang dibawa Islam. Rakyat akan merasa nikmat sebenar apabila manusia menghayati prinsip hidup universal yang dibawa oleh Islam tanpa mengira kaum atau bangsa. Pendek kata perpaduan yang sebenarnya hanya akantberhasil dengan 'critical mass' sesebuah masyarakat termasuk non Muslim menerima Islam sebagai panduan hidup bermasyarakat.
17. AKHIR sekali, saya berpesan kepada diri saya dan semua yang berada dipersada perjuangan “kalimatullah hiya ‘ulya” apakah strategi jangka pendek dan jangka panjang yang berkesan dan akan menghasilkan impak yang maksima serta output dalam bentuk “rijal” yang berkualiti dalam kuantiti yang semaksimum mungkin??!!
Posted by
pasnational_unity
at
10:03 PM
0
comments
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu namun diharap penggunaannya pada tujuan yang baik dan bukan untuk dipermainkan sewenangnya.