"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Thursday, October 30, 2008

Usaha Dakwah Tok Guru

dipetik dari n32.blogspot.com

Pembinaan Masjid Cina telah pun diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan. Masjid Jubli Peraka atau Masjid Cina terletak di Rantau Panjang Kelantan hasil dari cetusan idea MB Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat. Tuan Guru mahu menggambarkan bahawa Islam ini bukan milik orang Melayu semata-mata, ia universal dan malah dirantau Timur ini orang Cina lah antara yang terdahulu memeluk Islam.

Masjid Cina ini apabila siap dan beroperasi sepenuhnya akan dipimpin dan ditadbir oleh imam dan para pegawai keturunan Cina. Kalau kita lihat senibinanya pun rata-rata berkonsepkan seni bina Cina.



Tuesday, October 28, 2008

Majlis Perasmian Malam Kebudayaan Pesta Deepavali

Oleh : Datin Seri Hajah Fatimah binti Taat

Suami telah menghadiri Malam Kebudayaan Pesta Deepavali bertempat di Dataran Mini 'Little India', Jalan Sultan Yusuf, Ipoh. suami di tempat program disambut oleh ribuan penganut agama Hindu dan mereka amat-amat menghormati suami selaku Menteri Besar. Suami menerima kalungan bunga seperti kebiasaan adat yang diamalkan oleh agama Hindu.





Dalam majlis semalam suami turut diberi penghormatan berucap dan seterusnya merasmikan majlis. Suami di bawa ke gerai-gerai sepanjang Jalan Sultan Yusuf yang dipenuhi penganut agama Hindu yang hadir untuk menyaksikan Pesta Deepavali dan membeli belah sebagai persediaan menyambut hari kebesaran mereka.


Deepavali disambut setiap tahun oleh penganut agama Hindu di seluruh dunia iaitu pada setiap Hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil. Deepavali merupakan gabungan 2 perkataan Dipa yang beerti cahaya dan Gavali yang beerti barisan. Kita juga menyebutkan sebagai Pesta Cahaya.

Islam menghormati agama lain selagi mereka tidak memusuhi Islam. Alhamdulillah, saya bersyukur suami dapat diterima oleh mereka beragama Hindu dan menghormati usaha suami dan kerajaan Pakatan Rakyat memberi keadilan kepada seluruh rakyat diberi tanpa mengira bangsa dan agama.







Gambar-gambar sekitar Majlis Perasmian Malam Kebudayaan
Pesta Deepavali 2008 anjuran Kerajaan Negeri Perak
bertempat di Dataran Mini 'Litte India' Jalan Sultan Yusuf, Ipoh

Monday, October 27, 2008

SELAMAT HARI LAHIR


Pihak Moderator "Memimpin Perpaduan" - Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat ingin merakam "SELAMAT HARI LAHIR" kepada YB Dr Mujahid Yusof Rawa selaku Pengerusi Lajnah pada 25hb Oktober 2008.Semoga Allah SWT memberi kekuatan untuk meneruskan usaha dakwah yang ditinggalkan oleh Ar-Rasul SAW.

Tuesday, October 21, 2008

Subjek Sejarah bukan cara atasi masalah perkauman

Intan Abdullah
Sat | Oct 18, 08 | 10:53:47 pm MYT


KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Pelaksanaan pengajaran sejarah di peringkat sekolah rendah dianggap sebagai salah satu jalan yang diambil oleh kerajaan Umno-BN untuk mengatasi masalah rakyat yang telah buta sejarah.

Profesor di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Nik Anuar Mahmud berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily.

"Saya bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk melaksanakan pengajaran subjek sejarah di peringkat UPSR, tetapi ia bukanlah satu-satunya cara untuk mengatasi masalah ketegangan hubungan kaum kerana banyak lagi cara yang boleh digunakan,"jelasnya.

Tambahnya lagi, para pelajar sekarang ini hanya mempelajari subjek berkenaan hanya untuk lulus bagi mendapatkan sijil tamat pengajian semata-mata tanpa menghayati iktibar serta pengajaran di sebalik peristiwa lalu.

"Seperti juga halnya dengan sikap umat Islam yang tidak mengambil iktibar daripada kitab al-Quran yang dibaca sehari-hari," katanya.

Rakyat katanya, perlu mengetahui sejarah yang merupakan asas kepada permulaan kedatangan orang Melayu ke negara ini.

"Ianya perlu kerapkali diingatkan bahawa negara ini milik orang Melayu dan bagaimana negara ini dibuka," ujarnya.

Ditanya mengenai pelaksanaan, pihaknya berkata kerajaan mungkin akan memanggil pakar-pakar sejarah bagi membincangkan sistem yang sesuai bagi mengaplikasikannya.

Namun beliau masih tidak berpuas hati dengan tahap pengetahuan ilmu sejarah dalam masyarakat pada hari ini.

Nik Anuar mendakwa antara faktor yang menyebabkan situasi ini adalah kerana kebanyakan institusi pengajian tinggi kini hanya menumpukan kepada aspek kemahiran dan ekonomi semata-mata.

"Kini hanya beberapa IPT sahaja yang menawarkan mata pelajaran sejarah, sama nasibnya juga dengan subjek pengajian Islam.

"Kita lihat IPT baru yang ditubuhkan tidak lagi menyediakan kursus-kursus ini, sekaligus merugikan masa depan rakyat pada masa akan datang," demikian ujarnya.

Pengajaran mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah rendah yang akan dinilai dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah telah dipersetujui oleh kerajaan.

Ia turut menerima reaksi yang positif daripada pelbagai pihak. - mks.

Pengalamanku dengan bekas Penganut Agama Hindu

Assalamualaikum wrt

Semalam saya terkejut. Seorang warga asing hendak membeli buah epal. Ada dua jenis buah epal, satu harganya mahal dan satu lagi yang murah. Saya terkejut dengan reaksi dan tindakbalas penjual buah tersebut.

"Buah ni dari mana ni" dengan nada yang agak garang. Saya terkejut kerana selama yang saya kenal penjual buah ini, dia seorang yang agak baik. "Dari situ bukan.... ni yang mahal ni kan"

Warga asing tersebut tunduk sambil berkata, "Saya ambil dari sini...." sambil menunjukkan tempat yang murah.

"Ni jangan layan dia...layan pelanggan ni dulu" tegas suaminya pula ...juga dengan nada yang agak kasar.

Saya termenung. Kalaulah saya di negara orang lain dilayan sebegitu rupa bagaimana agaknya. Bagi saya tindakan kasar dan kurang beradap sebegini tidak wajar ditunjukkan pada sesiapapun. Mungkin ada warga asing yang pernah menipu beliau - namun tidak wajar pula orang lain dipersalahkan.

Pada waktu petang pula, saya didatangi oleh seorang warga Indonesia... . seorang bekas "imam" kuil hindu di Bali. Kini beliau seorang muslim dan begitu baik orangnya. Beliau menceritakan bagaimana satu hari beliau ingin mengutip derma untuk masjid dari sekumpulan warga Indonesia yang sedang minum arak (kisah berlaku di Indonesia).

Walaupun telah ditegah oleh rakannya, beliau melangkah masuk. Beliau yakin, sejahat-jahat orang, ada baiknya.

"Mohon maaf bapak bapak. Saya di sini untuk mengutip derma bagi membina masjid. Mohon sumbangan ikhlas dari bapak-bapak. ...."

Beliau amat terperanjat apabila mereka menyeluk saku masing-masing menghulurkan derma bagi pembinaan masjidnya.

"Jangan mudah memandang rendah pada orang lain - hatta pada peminum arak sekalipun. Mereka juga perlukan hidayah dari Allah" tegasnya.

Kita bencikan perbuatannya - bukan pada orangnya. Kita simpati pada orangnya lantaran itu akan berusaha untuk membetulkannya. Itu sikap kita sepatutnya.

Saya banyak belajar dari warga Indonesia ini tadi. Kini 40% keluarganya sudah memeluk Islam. Bapanya masih penganut agama Hindu.

Pernah satu ketika bapanya sakit amat tenat. Dikumpulkan semua anak-anaknya. Hanya rakan saya itu tadi yang tidak dapat hadir kerana beliau berada di Malaysia. Beliau menalipon ayahnya dan berkata, "Walaupun saya tidak dapat hadir, saya akan kirimkan ubat pada malam hari nanti" Bapanya kebingungan. "ubat?"

Pada malamnya, rakan saya itu tadi bersembahyang tahajjud dan memohon pada Allah dengan sepenuh hati, "Ya Allah. Aku pohon darimu, agar Kau tangguhkan kematian bapaku. Kau sembuhkan penyakitnya. Aku ingin mengajak dia memeluk Islam, Ya Allah......" matanya hampir menitiskan air mata menceritakan kisah tersebut. Saya sendiri menahan air mata dari keluar. Mujurlah ketika itu sedang makan diluar yang agak kurang terang.

Keesokan harinya, bapanya telefon dengan nada yang ceria. Bapanya sembuh, dengan pertolongan Allah swt.

Kini beliau berhajat untuk mengajak saya ke Indonesia untuk berceramah di sana - dimasjid yang sedang dibina.... masjid berdekatan dengan kuil hindu yang dibinanya sendiri semasa dia belum memeluk Islam. Saya kata, Insya Allah. Memang dalam perancangan hendak membuat paspot tidak lama lagi bagi berkunjung ke Indonesia. Doakan saya.

Kemurnian hatinya, kebergantungannya yang kuat kepada Allah telah banyak membantunya mengharungi kehidupan ini. Moga Allah sentiasa bersama kita, ameen.

Wassalam

Dr Hishamuddin ALham

Friday, October 17, 2008

Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja Melayu

Oct 16, 08 6:25pm

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

"Kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

"Raja-Raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

"Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

"Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

"Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

"Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

"Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara."

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.


http://www.malaysiakini.com/news/91407

Friday, October 10, 2008

Respons terhadap cadangan Ku Li

PAS tetap komited mengagaskan penyelesaian perpaduan.Sila baca artikel yang dipetik dari
blog Setiausaha Akhbar YB Dato Presiden PAS.
Menghayati cadangan Ku Li, gagasan Hadi
(Ini merupakan artikel terbaru saya dalam ruangan "Menongkah Arus" di Harakahdaily)
Dalam mendepani kemelut politik negara yang kalut dan tidak menentu kebelakangan ini, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kenyataan berani dan terbuka oleh bekas Menteri Kewangan yang juga bekas Naib Presiden Umno iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, ahli Parlimen Gua MusangKu Li satu-satunya ahli parlimen veteran di Dewan Rakyat telah mencadangkan gagasan politik baru buat negara.
Ku Li mencadangkan agar segera ditubuhkan sebuah "unity government" ataupun kerajaan perpaduan.Semua parti-parti politik di Malaysia menurut beliau seharunya bangkit dengan serba keinsafan dan rendah diri, melampaui sempadan politik kepartian, bagi duduk berbincang dengan jujur dan hati terbuka bagi menyelamatkan negara dan rakyat kita dari pelbagai krisis khasnya krisis politik dan ekonomi yang melanda negara.
Pastilah Ku Li merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu yang seharusnya menjadi indikator bagi menyedarkan semua pihak betapa perlunya kita bermuhasabah dan mengambil kira realiti politik semasa untuk sama-sama membentuk satu perubahan mengikut citarasa dan "climate" politik masakini yang sama-sama kita rasai.Malaysia pasca PRU ke-12 menuntut satu lanskap politik baru.
Dan lanskap ini hanya akan berjaya diterjemahkan kiranya semua pihak bangkit dengan berani meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik mahupun cita-cita peribadi.Hanya negarawan yang ulung, berjiwa besar dan bermaruah sahaja mampu menobatkan tuntutan baru ini sehingga mampu melahirkan Malaysia baru yang kuat, selamat dan sejahtera buat semua warganegaranya.
Sesungguhnya apa yang dilontarkan oleh Ku Li ini bukannya sesuatu yang baru. Pada tanggal 31 Mac yang lalu, beberapa minggu setelah selesai PRU ke-12, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam majlis Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana anjuran PAS Selangor bertempat di Stadium Malawati Shah Alam telahpun mempelopori idea ini.
Di hadapan puluhan ribu rakyat yang berada di stadium tertutup itu, Tuan Guru Presiden PAS telah mencadangkan agar Umno bergabung bersama-sama dengan PAS, KeADILan dan DAP bukan lagi atas nama Barisan Nasional tetapi suatu Pakatan baru untuk sama-sama bersatu dan bekerja secara ikhlas demi menyelamatkan negara Malaysia yang dicintai.
Kata Tuan Guru, beliau yakin rakan-rakan dari KeADILan dan DAP akan dapat menerima gagasan baru ini (ketika itu antara pimpinan KeADILan dan DAP yang hadir adalah Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ronnie Liu) dengan syarat Umno dan sekutunya perlulah membuang sifat ego mereka dalam berpolitik selama ini disamping sama-sama menghapuskan undang-undang zalim yang dibenci oleh rakyat termasuklah ISA, OSA, AUKU dan lain-lain.
Penyatuan dan perpaduan politik seperti ini sudah pasti bersifat "win-win" tanpa mana-mana pihak berasa terpinggir atau iri hati sehingga boleh pula mencacat atau mebantutkan proses pembangunan masyarakat dan negara.Biarlah semua pihak berasa dihargai, biarlah kita ketepikan apa sahaja sengketa demi agama, nagsa dan negara yang tercinta. Yakinlah bahawa PRU ke-12 merupakan iktibar terbesar buat kita semua untuk sama-sama memikirkan hala tuju baru masa depan negara dalam dunia yang serba mencabar ini
Mungkin masanya sudah tiba untuk kita sama-sama meneroka secara serius gagasan baru ini. Yang penting kita dapat menyatupadukan kembali semua lapisan rakyat Malaysia, mengikis sifat dan perangai buruk yang dibenci semua dan atas kesepakatan bersama itu, kita bina satu negara Malaysia yang baru yang rakyatnya saling hormat-menghormati berlandaskan
Perlembagaan Negara dan kontrak sosial yang telah sama-sama disepakati.Ia bukan suatu tugas yang mudah tetapi sebagaimana dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS dan Ku Li itu, ianya sesuatu yang perlu difikirkan secara serius oleh semua pihak kiranya kita mahu melihat negara ini stabil dalam semua aspek dan berjaya melalui segala cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara dan dunia.

Tuesday, October 7, 2008

Promosi Buku Ilmiah

1.TAJUK BUKU: MENGAPA KAMI MEMELUK ISLAM?

Mengapa Anda Perlu Membaca Buku Ini?

Tulisan ini berdasarkan satu penyelidikan dalam konteks psikologi. Sampelnya di kalangan 365 orang mualaf yang baru memeluk Islam mereka ini asalnya daripada pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

Ianya diolah penulis secara psikologi dengan pendekatan dan bukti secara meyakini.Penulisnya mempunyai ijazah Ph.D dalam psikologi pendidikan dan mempunyai pengalaman pengajar/pensyarah lebih daripada 30 tahun

Kandungan:
Bab Pertama mengenai faktor-faktor penting mereka memeluk Islam mengikut keberatan wajarannya. Banyak daripada kewajaran faktornya itu di luar jangkaan anda. Ianya diolah secara psikologi oleh pengarang.

Bab Kedua ialah Implikasi dan Cadangan Yang Berkaitannya.

Keistimewaan yang tidak terdapat dalam mana-mana buku jenis ini ialah penulis telah memasukkan satu pembolehubah (variable) Harga-Diri (Self-Esteem) yang mana ini adalah dalam kepakaran penulis.

Penulisan ini disemak dan diberi kata-kata aluannya oleh dua orang tokoh yang terkenal diperingkat kengsaan dan antarabangsa iaitu:

i. Prof. Dato’Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid , Pengarah, Pusat Serantau Perancangan Pendidikan-UNESCO, Sharjah, UAE (Mantan Pengarah Institut Aminuddin Baki).

ii. Prof. Zakaria Stapa, Dekan Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku ini ada 262 halaman.
Harganya Cuma RM 25 sebuah.
Belanja pos RM 5.00 (Semenanjung), Sabah & Sarawak RM10.00
2.TAJUK BUKU:ISLAM, PELBAGAI AGAMA DAN KEPERCAYAAN

Kandungan buku ini terbahagi kepada 3 bab.
Bab Pertama: Awalannya-Agama Asalnya Satu, tetapi kenapa Syaria’at dan Pendekatan kemudiannya Jauh Berbeza?- khususnya agama Samawi (Islam, Judaisme, Zoroaster dan Kristian.
Bab Kedua : Agama-agama lain: Hindu, Buddha,Jaina, Shinto, Sikh dan Bahai. Bab Ketiga: Falsafah dan Kepercayaan - Konfucianisme dan Tao.

Bab Ketiga : Ada juga di antara agama-agama ini yang mempunyai banyak persamaan -nya dengan Islam, kecualilah dalam aspek Tauhid (Keesaan Tuhan). Malah Ada di antara agama-agama itu yang meramalkan Nabi Muhammad SAW akan lahir di suatu hari kelak. Di antara yang membuat ramalan ini ialah agama Hindu dan Buddha.

Buku ini ditulis amnya dengan pendekatan Islam, terutama sekali dalam menjawab persoalan mereka yang bukan Islam tehadap Islam.
Penulisan ini disemak dan diberi kata-kata aluannya oleh seorang tokoh Islam yang tidak asing lagi diperingkat nasional dan juga antarabangsa iaitu
Sheikh (Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama
Akademik ISTAC, IIUM (Islamic International University Malaysia).

Buku ini ada 422 halaman.
Harganya Cuma RM 30 sebuah.
3.TAJUK BUKU : ALLAH ISLAM & ALLAH KRISTIAN (ASAL) ADALAH SAMA.

Mengapa Anda Perlu Membaca Buku Ini?

1. Ianya ditulis oleh seorang pakar psikologi yang berkelulusan Ph.D dalam bidang ini dan mendalami sikap manusia. Pengalaman mendidik para pelajar, guru dan ibubapa melebihi 30 tahun.

2. Penulis menghabiskan masa kira-kira 18 tahun untuk menyiapkan buku ini iaitu sejak perdebatan Ahmad Deedat dengan George Shorue , di Birmingham , 1988. Penulis berada dalam majlis perdepbatan itu. Sejak itulah bermulanya ilham dan berinisistif sediki demi sedikit untuk menulis buku ini hinggalah diterbitkan pada tahun 2007.

3. Kandungan buku ini tebahagi kepada 5 bab.
Bab Pertama mengenai Allah murkai manusia mengubah hukumNya, Jesus (Nabi Isa a.s.) dan Roh Kudus.
Bab Kedua, Bukti-bukti Jusus bukan Tuhan, bukan Anak Tuhan dan Jesus hanya Utusan Allah.
Bab 3, St. Paul dan Barnabas.
Bab 4,Taurat-Bible –Al-Qur’an Adalah Satu Sumber,.
Bab 5. Satu Perhitungan:Islam Dan Kristian.

4.Buku ini ditulis amnya dengan pendekatan Islam, terutama sekali dalam menjawab persoalan mereka yang bukan Islam tehadap Islam.

Penulisan ini disemak dan diberi kata-kata aluannya oleh 2 orang tokoh:
1) Seorang tokoh pemikiran Islam –Prof. Madya Mohd. Kamil Hj. Ab. Majid, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademik Pengajian Islam, Universiti Islam dan

2) Seoang tokoh Kristian yang telah memeluk Islam – Hj. Ayub Abd Rahman bin Abdullah ,Ex Monk, oeder of St Augustine, Casa Domitilla, Via delle sette Chiese, Rome, Italy.

Buku ini ada 187 halaman. Harganya Cuma RM 15 sebuah.
Belanja pos RM 5.00 (Semenanjung), Sabah & Sarawak RM10.00
Berminat sila hubungi Dr. Nawi Jusoh (Penulis)

ISLAM Dasar Pengabungan PAS

Dipetik dari Harakahdaily
Anual Bakhri Haron Fri Oct 03, 08 11:24:08 am MYT

Kata-kata yang disuarakan oleh Presiden MIC yang berbunyi, "Cadangan menggabungkan semua parti yang bersifat perkauman ini sesuatu yang sukar dilaksanakan. " (Berita Harian 30 September 2008).

Benar sangatlah kata-kata ini. Sampai bila pun cita-cita penggabungan, permuafakatan dan penyatuan akan menjadi kata-kata jinak buat pameran semata-mata. Bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan ke-Melayuannya, MCA dengan ke-Cinaannya dan MIC dengan ke-Indiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur BN tidak membawa erti apa-apa.

2. Begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.

Masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi?

PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum.
Teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa.

Semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah diatas ukuran taqwa.

Dengan menggunakan "parameters" ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat.

Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN.

Jika mahu dilihat masih relevan, inilah saat yang memerlukan Melayu dalam Umno datang dan memasuki PAS.

Dalam "mood" penggabungan yang sedang ghairah diterima oleh pemimpin komponen di dalam BN, tentu sekali langkah untuk memartabatkan ketuanan Islam adalah suatu yang amat menepati masa.

3. Pemimpin Umno perlu ingat bahawa bila Umno kekal dengan ketuanan Melayunya, pemimpin MCA pun boleh bercakap tentang ketuanan Cinanya.

Begitulah juga dengan MIC dan Gerakan dengan khayalan ketuanan masing-masing.
Dalam keadaan begini, perkataan penggabungan dan permuafakatan ke arah Integrasi Nasional hanyalah gimik dan fatamorgana.

Ia retorik dan sapuan gincu yang tidak mempunyai nilai apa-apa.

Sepatutnya inilah saat Umno meninggalkan ketuanan Melayu. Tidak sudah dengan terus berpegang kepada faham kebangsaan lapuk kerana ia hanya menganjurkan perkauman.
Di akhirat nanti, tiada harga berupa pahala untuk dinikmati oleh mana-mana pejuang bangsa. Di sinilah Islam meletakkan hujah bahawa ia agama penyatuan.

Ia agama yang tidak mementingkan bangsa dan semangat kebangsaan. Bahkan ia suatu agama yang menerima prinsip kewarganegaraan berasaskan semangat keantarabangsaan.

Ia agama sejagat yang menyatukan anugerah bangsa yang berbeza-beza dan bukan memecah belahkan orang diatas jalur-jalur kebangsaan.

Menjadi umat Islam ialah menjadi hamba Allah yang menjadi hamba kepada "tuan punya" kepada langit dan bumi ini terlebih dahulu.

4). Lantaran itu Islam sangat mementingkan hujah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,
"Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' : Ayat 24).

Di sini, roh kebenaran Islam cukup jelas iaitu setiap sesuatu itu wajib disandarkan kepada fakta dan hujah.

Jika Umno mempunyai hujah untuk mempertahankan kebangsaan Melayu sebagai asas penyatuan, maka mereka bolehlah mengemukakan segala fakta dan segala alasan.

Akan tetapi, setakat yang dapat disaksikan, perjuangan Umno yang hujahnya kebanyakannya dibina di hujung keris dan tombak Melayu itu tidak memberi bekas dan membawa faedah kepada sejarah dan masa depan bangsa dan negara. Tiada signifikan apa-apa.

Apa yang jelas dapat disaksi rakyat hanyalah perpecahan, disintegrasi, korupsi, curiga, dengki, benci dan dendam. Cinta,rindu dan simpati antara kaum semakin tandus dari takung kalbu kehidupan.

5. Sudah sepanjang 50 tahun sikap curiga antara kaum semakin tajam. Jika sedikit masa dahulu masyarakat Cina pernah melahirkan Dato' Lee Kim Sai, kini Umno pula melahirkan Dato' Ahmad bin Ismail.

Ini menunjukkan jalan ke hadapan untuk Malaysia cukup buntu selagi Umno tidak berubah.
Maksud saya di sini ialah Umno perlu berubah dan kembali kepada Islam.

Bukan PAS lagi yang masuk Umno tetapi Umno yang mencari dan memasuki PAS.

Bermukabalah ke arah kembali kepada Islam - hanya inilah penyelesaian yang ada di hadapan kita. Jika tidak, Umno cuma mahu mengelirukan keadaan.

Umno hanya mementingkan survival dengan memainkan sentimen perkauman yang sensitif ini demi menyelamat dan menyambung kelangsungan hayat pemimpin mereka. Begitulah terkini dan trend Umno selama-lamanya.

Sesungguhnya, hampir semua orang tahu yang dia kini sedang bernafas dalam nyawa-nyawa ikan. Ada orang kata, lagi dua minggu dan ada pula yang lebih yakin bahawa sesuatu akan berlaku pada 13 haribulan.

Sayapun tidak sangat mahu ambil tahu tentang tarikh-tarikh ini. Apapun,sambil melihat budak-budak bermain bunga api, elok juga kita sama-sama saksikan. Ah, sepanjang-panjang tali; masakan tidak berhujung? - mr_

Kit Siang 'Beraya' Di Rumah Tuan Guru

Kit Siang 'Beraya' Di Rumah Tuan Guru, Guan Eng Harap Islam Jadi Teras Rapatkan Silaturrahim

Ditulis oleh SM Noor & WanKay Friday, 03 October 2008

Marang - Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Aidil Fitri, di rumahnya di Kampung Rhusila dekat sini semalam.

Kit Siang hadir dengan diiringi oleh rombongan anggota DAP Terengganu tiba di perkarangan rumah Tok Guru pada jam 9.27 malam.

Kedua-dua pimpinan parti Pakatan Rakyat itu telah berbincang dan beramah mesra sambil menikmati hidangan juadah dan kuih raya.Antara pokok perbincangan mereka adalah berkisar sekitar isu-isu politik negara dan hal ehwal semasa termasuk perkembangan Pakatan Rakyat dan pelan peralihan kuasa.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu Ng Chai Hing.Buletinonline difahamkan Kit Siang akan disertai oleh beberapa pimpinan DAP lain dalam rangka percutian sempena Aidil Fitri.Dalam perkembangan lain, Setiausaha DAP Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.
"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun social, "ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama, "sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Guan Eng dalam perutusan Eidulfitrinya yang dipetik Harakahdaily.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. Katanya al-Quran menyebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan dan yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip kea dilan tulen untuk semua.
Menurutnya bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia. Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.
Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.
"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya. Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza.

http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&task=view&id=1937&Itemid=1