"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Friday, December 7, 2007

Satu Realiti Peringkat Bawahan

Tak payahlah nak melaung-laungkan semangat nak bantu Melayu, nak bantu Islam, kalau kita tak pernah ambil tahu orang Melayu yang sekampung, setaman, sejiran yang tak ada duit nak beli beras, tak ada duit nakbayar yuran sekolah, tak ada duit nak beli baju.
Kalau betul nak bantu Melayu, pergi pintu ke pintu,rumah ke rumah, periksa keluarga mana yang makan sehari sekali, rumah mana yang elektrik di potong,remaja mana yang tak mampu belajar di IPT.Juga tak payahlah nak heboh orang Hindu banyak bina kuil, kalau orang Islam sendiri malas nak solat jemaah di surau atau masjid.
Orang Islam sendiri malas nakbersihkan tandas masjid. Orang Islam sendiri tidakhendak menghidupkan masjid dan surau dengan majlisilmu.Janganlah berkobar-kobar semangat bangsa dan agama,kalau diri sendiri tak sedar.Sebelum nak marah bangsa lain, agama lain, cermin dulu diri sendiri.

PAS & UMNO Terlalu Jauh;mengulas Teori Pak Rustam


oleh HermanSamsudeen


Membaca minda Rustam A. Sani dalam tulisannya bertajuk “Suara Umat Melayu: Rundingan belakang tabir Pas-Umno? ” sangat mengujakan. Menarik untuk dibaca namun masih terlalu banyak yang tidak dikupas oleh beliau. Agak janggal rasanya kalau kita membiarkan tulisan itu hanyut tanpa hala tuju dan fakta yang benar-benar sahih.

Menghormati ’seniority’ beliau dalam dunia penulisan, saya beranggapan bahawa itu adalah suatu azam dan cita-cita beliau yang begitu murni sesuai dengan situasi massa yang menuntut gabungan 2 parti Melayu terbesar dapat duduk semeja bagi membicarakan masa depan bangsa ini. Gerakkan Hindraf menjadi modal polemik dan dilihat seolah-olah menggugat ketuanan Melayu. Mereka dilihat seperti cuba mencabar hak dan maruah bangsa ini. Namun ianya masih lagi menjadi polemik yang tiada penghujungnya. Teori “Rundingan belakang tabir Pas-Umno?” diperkenalkan dengan doa semoga ianya menjadi realiti.

Dalam penuh pengharapan, umat Melayu begitu menanti saat penyatuan bersejarah itu. Namun, ianya masih tak kunjung tiba kerana disitu masih ada lagi kekontangan harapan yang masih tidak terisi lantaran realiti keegoan dan juga sikap tamak yang masih menjauhkan PAS dari UMNO. Umum menyedari kekuatan UMNO yang didasari dengan pemikiran Melayu ‘Glokal’ dan ‘Mengangkasa Bangsa’. Namun ia sebenarnya masih terlalu rapuh untuk diertikan dalam konteks matlamat dan kehendak semua pewaris bangsa Melayu.

Hadirnya PAS dalam mengisi vakum yang dibiarkan oleh UMNO telah mengembalikan dambaan harapan untuk melihat bangsa Melayu menjadi lebih gagah dengan potensi Iman dan Islam yang menjadi akal budaya dan cambahan fikiran ahli dan penyokongnya.

Perbezaan Ideologi begitu nyata

Ideologi Islam yang dibawa oleh PAS amat bertentangan dengan UMNO yang hanya Melayu pada baju Melayu dan songkoknya. Cara dan perjuangan UMNO masih tersasar jauh dari gemblengan keringat pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya telah mengadai nyawa bagi menghalau penjajah.

Tok Janggut, Hj. Abd Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Tok Gajah, dan ramai lagi pejuang Melayu, bangkit menentang penjajah bukan kerana bangsa semata. Tapi kerana ilmu dan iman didada. Mereka malu bertuankan British yang cuba ‘merompak’ maruah dan keimanan mereka, maka mereka bangkit walaupun terpaksa bermandi darah!.

PAS juga memperjuangkan bangsa Melayu, cuma gaya dan cara paparannya agak berbeza. PAS lebih suka memberikan dampak keimanan dan pendidikan akhlak dalam perjuangannya. Pendekatan yang lebih ruhaniah memberikan pilihan untuk ahlinya memahami cara hidup Islam yang sebenar dan juga erti tanggungjawab terhadap amanah yang diberi. Barisan kepimpinan PAS juga diasuh untuk tidak bersikap terlalu taksub kepada soal bangsa, tetapi harus menyayangi dan menghormati bangsa sendiri disamping memberikan layanan yang adil kepada bukan Islam.

Konteks ideologi ini sedikit pun tidak mengenepikan semangat ‘Hak dan Keistimewaan’ Melayu yang wajar dijaga. Dalam erti kata yang lebih umum, PAS melindungi Umat Melayu bukan sekadar pada nama bangsa dan hak tetapi pada akidah dan akhlak mereka. Dalam bab ini harus juga diingat bahawa PAS juga mengambil tanggungjawab dalam meneladani kaum bukan Melayu agar mereka berasa selamat dengan cara tadbir Islam yang lebih telus, konsisten dan mempunyai matlamat insaniah yang jauh terkehadapan.

Disaat UMNO baru bertatih soal modal Insan, PAS telah berada begitu jauh dalam soal ini. Kualiti kepimpinan yang berilmu dan multi-skill telah lama wujud dalam PAS.

Dosa-dosa UMNO yang sentiasa diingati ahli PAS

UMNO hanya mampu menjual nama bangsa Melayu bagi mendapatkan simpati rakyat. Hakikatnya, bukan sekadar ideologi sempit mereka sahaja yang menjauhkan PAS, tapi dasar UMNOPUTRA mereka juga amatlah mendukacitakan rakyat.

Segala projek-projek rasmi Kerajaan diberikan kepada kontraktor bumiputra yang secara realitinya mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO. Tanah-tanah Kerajaan pula diagih-agihkan dikalangan pemimpin mereka dari peringkat pusat hinggalah ke peringkat ketua-ketua cawangan. Tidak cukup dengan itu, syarikat-syarikat kroni mereka yang bankrap telah dibeli atau diberikan nafas baru menggunakan wang negara melalui program ‘penggabungan kapital’ atau pun ‘bailout’.

Pimpinan-pimpinan UMNO sendiri mengakui bahawa mereka masih belum mampu melepaskan umat Melayu dari belenggu kemiskinan. Bangsa Melayu menduduki tangga teratas dalam senarai kemiskinan tegar negara. Dan bagi menutup kelemahan itu, mereka menghantar seorang anak muda Melayu ke angkasa bagi mendapatkan pengiktirafan dunia bahawa mereka berjaya memecahkan tradisi dengan menghantar orang Melayu pertama ke angkasa walaupun hanya pergi ‘melancong’ disana.

Pakej ini juga dilihat sebagai pembaziran pimpinan UMNO yang tidak dapat memberikan manfaat kepada 8% umat Melayu yang hidup dalam kemiskinan.

Rasanya cukuplah dulu pendedahan tentang dosa-dosa kering UMNO ini. Ianya akan disambung dalam tulisan-tulisan saya yang lain.

Menjawab Teori Pak Rustam

Ruangan ini saya khususkan bagi menjawab teori ‘nakal’ Pak Rustam yang saya kira masih belum begitu tajam untuk menusuk pemikiran sebahagian besar pengikut UMNO mahu pun PAS. Pimpinan dan ahli parti KeAdilan mungkin sedikit gusar tentang kesetiaan PAS dalam Barisan Alternatif selepas membaca teori itu. MIC, MCA, Gerakan dan komponen perkauman BN lain pula mungkin lebih gelisah dengan berita ‘angin’ ini.

Justeru itu, saya bertanya dengan beberapa sahabat pimpinan lain. Abdullah karim, pimpinan Pemuda PAS Pusat menegaskan bahawa tiada sebarang pertemuan rasmi dibuat oleh pimpinan atasan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Rustam.

Perhimpunan ‘kesepaduan Melayu’ yang mengangkat ‘isu palestine’ sebagai tema utama di zaman Dato Fadhil Noor dan Mahathir adalah suatu perhimpunan dan sesi cambah fikiran secara terbuka bagi menyatakan kebersamaan dalam isu Palestine. Program itu tidak lebih dari penyatuan pendirian terhadap isu Palestine. Ianya tidaklah mewajarkan soal-soal hubungan ‘belakang tabir PAS dan UMNO’ yang merangkumi hal-ehwal politik Melayu dan survival kedua-dua parti.

Debat YB Salahuddin Ayub dan Dato Nazri Aziz selepas itu dalam isu Sekolah Agama Rakyat membuktikan bahawa PAS masih belum bisa duduk berkompromi dengan UMNO yang menjadi perosakkan kepada masa depan generasi muda yang dahagakan ilmu.

Dan selepas itu, tidak ada lagi sebarang dialog rasmi antara pimpinan PAS dan UMNO. Dialog spontan dilobi parlimen atau ketika rakaman debat dikaca TV sahaja yang kedengaran. Soal ‘perundingan belakang tabir’ masih belum didengari.

Isu Hindraf ini pun masih tidak mampu merapatkan PAS kepada UMNO kerana keceluparan Pemimpin UMNO sendiri dalam soal-soal hukum dan pembelaan hak asasi.

Jadi, adalah mustahil pada waktu ini, PAS ingin berkompromi dengan UMNO. Tuan Guru Nik Abd Aziz pernah menyatakan bahawa PAS akan terbubar dengan sendirinya bila mana UMNO menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai nadi perjuangan mereka. Maka pada waktu ini, harapan itu masih kelam lagi jauh.

Maka tidaklah selayaknya Pak Rustam terus menerus mengasak provokasi yang tidak benar kepada khalayak rakyat. Wajar kiranya Pak Rustam membahaskan soal kepentingan Umat Melayu itu bersatu melalui akidah dan bukannya bangsa kerana Islam itu agama penyelesaian bukannya agama yang hanya diberikan nama tanpa adanya adab dan akhlak untuk diajari.

Usahlah dirisaukan lagi tentang nasib dan masa depan Melayu dinegara ini. Yang penting adalah kewajaran UMNO untuk terus memimpin Umat Melayu dan negara ini. Ianya perlu dinilai sekali lagi agar kita dapat memahami sejauh mana keikhlasan UMNO terhadap umat Melayu.

Diharapkan jawapan ini dapat memberikan suatu ketetapan bahawa kita masih lagi terikat dalam aspek hormat-menghormati dan sentiasa berusaha membekalkan fakta dan bukannya gosip liar semata.

Pada waktu dan ketika ini, PAS masih selesa berlayar dengan bahtera Barisan Alternatif yang dikongsi dengan Parti Keadilan Rakyat. Dan biarlah UMNO dengan juak-juak mereka disana, terpulanglah pada mereka untuk mengemudi hala tuju mereka.

http://dppwp.wordpress.com/2007/12/06/teori-pak-rustam-tentang-pas-dan-umno-masih-terlalu-jauh/

Isu Perpaduan - InsyaAllah ada jalan penyelesaiannya

YB Salahuddin Ayub : Penyelesaian konkrit diperlukan selesai Isu Perpaduan

http://mppas.wordpress.com/2007/12/07/salahuddin-penyelesaian-konkrit-diperlukan-selesai-isu-perpaduan/

Sunday, December 2, 2007

Perpaduan : Bagaimana?

PERPADUAN: Bagaimana ?

“Perpaduan Ummah Membawa Kejayaan” slogan sambutan maal hijrah yang telah disambut secara besar-besaran di Stadium Putra, Kompleks Sukan Negara. “Perpaduan sangat penting, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mencapai taraf negara maju”, ucapan pembesar negara semasa mengulas peristiwa besar hijrah yang berlaku 1420 tahun yang lampau.”Keamanan dan keharmonian yang dialami sekarang belum tentu dapat dinikmati sekiranya tidak ada perpaduan di kalangam rakyat.”, satu kenyataan yang perlu diteliti dari sudut idea dan aplikasinya dalam masyarakat. Dalam usaha untuk menyingkap isu ini kita perlu melihat bentuk perpaduan ummah yang bagaimana yang akan membawa kepada kejayaan atau kemajuan dan apakah iktibar dari hijrah rasul dan kesannya kepada perpaduan ummah.

Asas Persatuan Ummah

Realiti yang berlaku ke atas umat Islam ketika ini adalah sangat mendukacitakan. Kita telah berpecah kepada lebih 50 buah negara Islam dilihat dari keanggotaan OIC dengan konsep negara bangsa. Ini adalah natijah dari kejatuhan daulah Islam yang terakhir berpusat di Turki pada tahun 1924 oleh Mustafa Kamal laknatullah alaih.

Racun nasionalisme dan patriotisme yang telah meresap ke dalam jiwa umat Islam adalah penghalang yang paling utama yang perlu dipecahkan dan disucikan dari sanubari umat. Umat telah dipisahkan mengikut bangsa dan terpecah pula oleh sempadan-sempadan ciptaan barat. Ikatan yang tinggal hanya, persahabatan dan kerjasama ekonomi. Ikatan yang lemah ini telah menggantikan ikatan aqidah Islam.

Membina Persatuan Ummah

Kesadaran umat telah mulai bergelora untuk bersatu, tetapi matlamat yang baik ini tidak akan dapat dicapai jika kaedah yang ditempuh adalah salah atau keliru. Di satu sisi kita menyerukan persatuan, di sisi lain kita masih mengekalkan sempadan dan membanggakan sempadan, sehingga saudara seIslam yang datang dari negara jiran untuk perlindungan atau mencari nafkah, kita halau mereka balik. Adakah ini perpaduan.

Jadi apakah yang dapat membawa kepada matlamat ini? Allah SWT telah memberikan jawapan dalam firmannya:

“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.. Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS Al-Anfal: 60-63)

Jadi yang akan mempersatukan umat Islam adalah Allah. Adakah Allah memaksa kita? Tidak, tetapi dengan memeluk aqidah Islam.

Persatuan Aqidah

Sesungguhnya prinsip utama persatuan dan persaudaraan Islam adalah aqidah Islam. Segala benteng-benteng sempadan geografi, tembok-tembok nasionalisme dan patriotisme, jurang kaya dan miskin, perbezaan warna kulit dan bahasa akan runtuh apabila telah memiliki aqidah Islam yang sama, maka mereka bersaudara dan diperintahkan untuk bersaudara dalam firman Allah:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al-Hujuraat:10)


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”(QS Al-Imran 103)

Rasulullah SAW. bersabda:

“Hai manusia, sesungguhnya Rabb kalian satu dan bapak kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang Ajam(bukan arab) dan tidak ada keutamaan Orang Ajam atau orang Arab, tidak ada keutamaan orang hitam atas orang merah, dan tidak ada keutamaan kulit merah atas kulit hitam, kecuali taqwanya.” (HR. Ahmad)

Dalil-dalil di atas menegaskan kepada kita bahawa satu-satunya ikatan yang menghubungkan antara sesama muslim adalah ikatan Aqidah Islam. Persatuan berdasarkan aqidah ini tidak boleh kalah oleh persatuan lainnya yang tidak diakui oleh hukum syara’ seperti ikatan kesukuan, nasionalisme, patriotisme, kemanusiaan atau ikatan asabiyah yang lainnya. Ikatan nasionalisme (asabiyyah) merupakan ikatan yang sempit, yang lahir dari gharizatul baqa’ (naluri mempertahankan diri/survival instinct) yang selanjutnya melahirkan keinginan untuk memimpin(hubbus siadah). Ikatan ini tidak layak untuk menjadi pengikat di antara sesama manusia dan juga tidak layak untuk menyatukan mereka dalam satu pemikiran. Sebab nasionalisme memang kosong dari pemikiran (tidak membuahkan pemikiran) dan bahkan tidak ada hubungan dengan pemikiran dan peraturan.

Dengan demikian nasionalisme tidaklah layak untuk membangkitkan umat Islam, sebab kebangkitan adalah meningkatnya taraf berfikir umat. Apabila ikatan ini tidak mempunyai atau tidak menerbitkan sebarang peraturan maka pejuang-pejuang nasionalisme adalah pengemis-pengemis peraturan-peraturan yang mereka pinjam dari ideologi kapitalis dan sosialis, kerana persatuan mereka adalah persatuan emosi yang kosong dari penyelesaian kepada masalah kehidupan. Ikatan ini hanya dipenuhi dengan pertarungan merebut kekuasaan dan mengekalkan kekuasaan sahaja seperti yang berlaku di semua negeri kaum muslimin dewasa ini iaitu menyeru kepada Arab, Turki, Parsi, Negro, Melayu, Pakistan dan lain-lain.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa saja yang menyeru kepada ‘asabiyah(fanatisme golongan, seperti nasionalisme) maka dia tidak termasuk golongan kita (kaum muslimin)” (HR. Abu Daud)

“Dan sesiapa yang berperang di bawah panji kejahiliahan , ia marah kerana ‘asabiyah, atau menyeru kepada ‘asabiyah, atau ikut menolong (membantu) demi ‘asabiyah, kemudian ia terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyah” (HR Muslim)

“Sesiapa yang berbangga-bangga dengan kebanggaan jahiliyah, maka hendaklah kalian menyuruh mereka menggigit kemaluan bapaknya dan jangan kalian mengatakan hal(menyuruh) itu secara samar-samar(mengubah matan hadith)”
(HR Ahmad, Nasa’I, Ibnu Hibban dan Ath Thabrani)

Hadith yang pertama perkataan “…tidak termasuk golongan kita (kaum muslimin)” di atas bukan bererti kafir tetapi qarinah menunjukkan larangan yang membawa hukum haram jika dilanggar. Hadith kedua dan ketiga adalah pencelaan kepada perjuangan atas dasar ‘asabiyah yang juga membawa hukum haram.

Islam memandang bahawa semua manusia sama tanpa mengira bangsa, warna kulit dan keturunan kecuali taqwa, firman Allah:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat: 13)

Perpaduan Ummah

Islam sebagai sebuah agama sekaligus ideologi sangat mementingkan perpaduan, ini dapat dilihat melalui perintah-perintah atau hukum-hukum dalam Islam. Contohnya konsep kenegaraan dalam Islam.

Kaum muslimin di seluruh dunia diwajibkan hanya memiliki satu daulah khilafah. Mereka juga dibenarkan hanya membai’at seorang khalifah sahaja. Bahkan Allah telah mengharamkan kaum muslimin mempunyai lebih dari satu negara. Dalil yang menerangkan perintah ini adalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Abdullah bin Amru bin Ash yang berkata, bahawa dia mendengarkan Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa saja yang telah membai’at seorang imam, lalu memberikan uluran buah hatinya(untuk mentaati perintahnya, maka hendaklah ia mentaati imam tersebut selagi masih mampu, dan jika ada orang lain yang hendak mengambil alih kekuasaan darinya, maka penggallah leher orang itu”.

Juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Arfajah yang berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa saja yang datang kepada kamu sekelian sedangkan urusan kalian berada di tangan seorang (Khalifah) kemudian dia hendak memecahbelahkan kesatuan jamaah kalian, maka bunuhlah dia’.”.

Hadith yang pertama menjelaskan, bahwa ketika memberikan kepimpinan, atau Khalifah kepada seseorang maka menta’atinya adalah wajib. Jika ada orang lain yang datang merebut jawatan tersebut, memeranginya adalah wajib selagimana dia masih meneruskan cita-citanya.

Hadith kedua menjelaskan, bahawa ketika jama’ah kaum muslimin telah bersatu di bawah pemerintahan seorang Khalifah, jika ada orang lain yang datang ingin memecahkan kesatuan jamaah kaum muslimin, maka membunuh orang itu adalah wajib.

Kedua hadith di atas menjelaskan makna kinayah (kiasan) terhadap larangan memecah atau membahagi-bahagi negara, serta memerintahkan agar tidak membenarkan sesiapa jua untuk memecahkan kesatuan jama’ah, daulah dan kepimpinan kaum muslimin. Kesimpulan dari pembahasan di atas memberikan kita pengertian yang tegas bahawa wujudnya lebih dari 50 buah negara Islam pada waktu ini adalah haram dan sesiapa yang menerima keadaan ini adalah berdosa.

Hijrah dan perpaduan

Kebelakangan ini gerakan penyelewengan terhadap pengertian hijrahnya Rasulullah SAW telah sangat berleluasa. Pengertian hijrah dihadkan sebagai perubahan dari keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik sahaja, atau hijrah bermakna memperbaiki akhlak atau dari melakukan dosa kepada tidak melakukan dosa atau seperti slogan maal hijrah iaitu iktibar hijrah untuk perpaduan atas asas dan matlamat yang kabur. Makna di atas adalah makna bahasa.

Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. juga bukan perlarian dari rancangan bunuh. Tetapi atas bimbingan wahyu dari Allah SWT. Bahkan perancangan hijrah ini telah dilakukan terlebih awal dari yang didakwakan, maknanya bukan gerakan tergesa-gesa takut dibunuh.

Kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah sebenarnya adalah sebagai ketua negara yang telah diangkat semasa Bai’atul Aqabah yang kedua. Beliau datang untuk memulakan sebuah masyarakat baru di Madinah dalam konteks masyarakat sebagai kelompok individu yang hidup dalam satu wilayah yang berlaku interaksi yang intensif antara anggota masyarakat yang mempunyai pemikiran yang sama (wahdatul afkar), perasaan yang sama (wahdatul masyaair) dan diatur oleh satu set peraturan yang mengatur urusan kehidupan (wahdatul andzimah).

Tindak-tanduk Rasulullah SAW sebagai ketua negara dapat dilihat dari peristiwa Bai’atul Aqabah II iaitu perlantikan sebagai ketua negara. Pembentukan Piagam Madinah adalah perlembagaan sebuah negara yang baru ditubuhkan. Dilihat dari timbunan hadith-hadith yang menceritakan tentang aktiviti Rasulullah SAW di Madinah yang berbeza dengan di Mekah adalah dari sifat aktiviti sebagai ketua negara yang menjalankan fungsi ri’ayatu suunil ummah dakhilian wa kharijian (menjaga hal ehwal ummah dalam dan luar negara).

Antara urusan dalam negara yang ditangani oleh beliau adalah mengurus urusan pemerintahan negara, mengurus aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, pengadilan dan ketenteraan. Hubungan luar negara berupa dakwah kepada negara sekitar dapat dilihat dari surat-surat Rasulullah SAW kepada lebih 30 buah negara di sekitar Madinah hingga ke Afrika, Eropah dan Asia tengah.

Perkembangan dakwah yang berlaku selepas hijrah adalah sangat pesat dimana dalam masa 10 tahun seluruh Jazirah Arab telah berada di bawah naungan Islam. Manakala dalam masa 100 tahun Islam telah menjalar meliputi 2/3 dunia. Kesan atau makna hijrah ini adalah sangat besar ertinya kepada kaum muslimin sehinggakan Saidina Umar tidak memulakan pengiraan tahun Islam dari lahirnya Rasulullah seperti yang dilakukan oleh penganut agama Masehi tetapi penghijrahan Rasul yang menandakan bermulanya episod kehidupan yang baru bagi kaum muslimin di mana seluruh kehidupan mereka diatur oleh Islam.

Jadi peringatan kepada peristiwa hijrah kepada selain yang dihuraikan di atas merupakan penyelewengan yang besar perhatian umat dari yang sepatutnya. Ini akan melalaikan umat dari Sunnah yang berbentuk af’al Rasul yang hukumnya wajib dikala kehidupan kaum muslimin tidak diatur oleh Islam sejak 75 tahun yang lampau.

Kesimpulan

Perpaduan ummmah mestilah diasaskan kepada Aqidah Islam. Perpaduan adalah natijah dan bukan asas. Ikatan selain dari asas ini seperti nasionalisme, patriotisme dan lainnya adalah diharamkan. Syariat Islam secara fitrinya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat dari konsep kesatuan Daulah dan Kepimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit. Makna hijrah yang sebenarnya yang perlu diambil tindakan oleh kaum muslimin adalah lonjakan kepada keadaan dimana Islam diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.

Thursday, November 29, 2007

Himpunan Amarah Rakyat Terhadap BN

Hindraf, BERSIH dan Amarah Rakyat terhadap BN

25 November 2007, sekali lagi nama Malaysia disebut di peringkat antarabangsa dengan terma yang berbunyi Hindraf setelah BERSIH dimasyhurkan dua minggu yang sebelumnya. Masyarakat dunia melihat bagaimana demokrasi yang sekian lama diamalkan di negara ini secara jelas dan terang. Mereka menilai setiap aksi dan tuntutan rakyat yang berbilang di negara ini tidak kira sewaktu BERSIH mahupun Hindraf berhimpun. Dan, apa yang lebih penting mereka juga menghadam metod ataupun kaedah yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam 'mendengar' dan melayan rintihan rakyat ini.


Sebelum ini Khairy menggelarkan peserta BERSIH sebagai beruk-beruk di jalanraya dan hari ini pula Nazri Aziz menyebut bahawa peserta himpunan Hindraf adalah penyangak yang mengganggu ketenteraman negara. Semua konotasi negatif dilemparkan ke wajah rakyat negara sendiri demi menutup aib dan kelemahan dalam kepemimpinan mereka.


Jalanraya diguna setelah rakyat Lenguh dizalimi

Tempoh hari, lebih 100,000 rakyat berhimpun bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem dan pelaksanaan pilihanraya di Malaysia. Segala korupsi, rasuah, nepotisme, kronisme dan songlap berleluasa akibat kerajaan yang dipilih setiap 5 tahun ini adalah bukan pilihan sebenar rakyat. Mereka terwujud daripada sistem pemilihan yang pincang dan rakyat yang menjadi pengundinya di'buta-tuli'kan daripada maklumat sebenar.


Rakyat dizalimi dan berhimpun setelah mereka hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Hindraf juga, dengan menggunakan kaedah yang sama iaitu turun ke jalanraya sebenarnya adalah manifestasi kepada amarah kaum India terhadap kerajaan yang ada pada hari ini. Dalam saman yang difailkan di Britain pada 30 Ogos yang lalu, mereka mempersalahkan kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaya untuk menjadi buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun. Mereka menuntut 4 trillion Pound Sterling (RM14 trillion) - atau RM1 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.


Saman itu juga bertujuan mendapatkan pengisytiharan bahawa Laporan Suruhanjaya Reid 1957 gagal mengambilkira hak masyarakat India apabila memberi kemerdekaan, mengakibatkan mereka didiskriminasi dan dipinggirkan hingga hari ini. Kerajaan British didakwa gagal melindungi hak kaum itu dalam Perlembagaan ketika memberi kemerdekaan kepada Malaysia.


Benar, Reid tidak menumpukan kepada perancangan jangka masa panjang untuk membangunkan kaum India secara langsung suatu ketika dahulu iaitu sebelum merdeka. Namun, Kerajaan BN yang telah memerintah selama 50 tahun itulah yang sebenarnya bersalah. Kemudi negara terletak di tangan mereka dan seharusnyalah keadilan terlaksana ke atas semua pihak tanpa mengira ras dan agama rakyat negara ini.

Kaum India merasa tertindas dan terpinggir serta ada di antara peserta himpunan itu yang memberi komen sambil menangis teresak-esak, menyebut kepada wartawan bahawa mereka merasa terhamba di negara ini.

Siapa yang meminggirkan mereka? Siapa yang menindas mereka? Siapa yang tidak melaksanakan keadilan terhadap mereka? Anda semua ada jawapannya.
Rakyat terasa dizalimi, maka akhirnya jalanraya yang mereka pilih.

Apa gunanya MIC?
Sami Vellu sebelum daripada perhimpunan itu berlangsung ada menyebut bahawa mereka tidak menyokong tindakan Hindraf. Dia juga ada meminta agar kaum India menggunakan saluran yang ada iaitu dia sendiri yang selalu berjumpa Pak Lah dan sudah semestinya boleh berbincang tentang kebajikan dan kehendak kaum India secara langsung.

“I must state here that if there is anything that affects the Indian community, the MIC will be there to fight it out even when we are partners of the Barisan Nasional. To me, I have never remained idle and I don’t waste time,” kata Sami Vellu kepada Bernama tempoh hari.

Cerita dia begini sahaja Uncle Sam, jika MIC benar-benar telah berfungsi sebagai medium untuk memajukan ataupun sekurang-kurangnya menjaga kebajikan kaum India selama 50 tahun ini, maka sudah pasti himpunan 25 November itu tidak perlu diadakan pun. Namun, dengan kemandulan yang ada pada parti terbesar kaum India itu sejak sekian lama, maka orang India mulai hilang punca dan mencari teraju dan kaedah baru dalam menuntut hak mereka.

Di mana sempadannya dalam isu ini?

Rakyat berhimpun pada 10 November dan 25 NOvember kerana mereka sudah berputus arang dan berkerat rotan dengan kerajaan. Mereka sudah tidak yakin dengan saluran yang ada untuk menyatakan rintihan dan tuntutan mereka sehinggakan perlu untuk turun menyatakan protes di jalanan. Rakyat kemudiannya dipukul, ditangkap, ditembak dengan gas pemedih mata, dimandikan dengan air pedih gatal water cannon, digelar sebagai beruk serta penyangak dan sebagainya.


Perjuangan ada risikonya, namun ia tetap perlu diteruskan.

Kendatipun begitu, kita harus meletakkan sempadan ataupun had atas setiap tindakan yang mahu dibuat. Dalam isu tuntutan Hindraf umpamanya, soal perkauman dan isu sensitif tidak wajar untuk dimainkan. Jangan kita cuba untuk mengubati tempat yang bersalahan dengan yang sakit. Contohnya, mengubati kaki sedangkan yang sakit adalah hidung kita.
Pada pandangan peribadi saya, Hindraf patutnya bertindak secara lebih sederhana dalam semua aspek tidak kira sewaktu berhimpun serta berdepan dengan polis dan juga ketika menulis tuntutan di dalam memorandum mereka. Bahkan, tindakan menyaman bekas penjajah dengan tuntutan 14 trilion saya rasakan tidak rasional dan terlalu nampak ianya bersifat provokatif.

Seandainyalah, (baca:kalaulah) mereka menang dalam saman ini, tidakkah dunia ini akan huru hara dengan saman-saman yang bakal dikemukakan oleh banyak bangsa di dunia ini yang pernah terjajah dan tereksploitasi suatu ketika dahulu. Britain mungkin akan bankrup kerana mereka mempunyai puluhan negara komanwel yang akan menyaman mereka dengan nilaian wang yang besar-besar belaka. Tidakkah kita orang Melayu tidak mahu menyaman Thailand (Siam), Portugal (Portugis), Belanda, Jepun dan juga Britain kerana pernah menjajah dan berbuat jahat kepada kita?

Angin perubahan sudah melanda, naikkan layar rakyat!
Seorang pimpinan berkata, "HINDRAF sepatutnya menumpukan perhatian mereka kepada kerajaan BN yang bertanggungjawab di atas salahguna kuasa yang telah menindas kaum India yang miskin, dan juga pada masa yang sama gagal menyelesaikan masalah semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, warna kulit ataupun agama".

Ya, itu adalah fokus rakyat saat ini. Masalah kezaliman dan ketidakadilan bukan sahaja melanda kaum India, tetapi juga orang Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Orang Asal dan sebagainya. Lantas, menjadi hak dan tanggungjawab kita untuk mengubah semuanya ini.

Anda sedia untuk berubah? Sekarang adalah masa untuk berubah. Gelombang Kuning!



Nazman Ibrahim
Pengerusi
Lujnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.

http://www.hanfeitsu.blogspot.com/

Wednesday, November 21, 2007

Tanggung Jawab Di Kota...Tahniah Pemuda Johor


Pagi 20 November 2007, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi bersama-sama dengan kaum India di Johor ini. Kali ini, kami bersama-sama dengan rakyat khusus untuk memperjuangkan hak semua kaum dalam bidang pendidikan.

Seramai 300 orang rakan-rakan kaum India turun berdemonstrasi di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor untuk meminta kerajaan lebih prihatin kepada kebajikan sekolah-sekolah Tamil yang ada di negeri ini.Maklumat yang saya perolehi daripada Saudara Poopathy, penggerak kepada Semparuthi Thorlagal (Persahabatan Bunga Raya), bilangan sekolah Tamil yang 'hidup segan mati tidak mahu' di Johor ini ialah sekitar 70 buah sahaja.

Kesemuanya berada dalam keadaan yang amat dhaif. Kerajaan BN yang juga di dalamnya terdapat MIC sebagai parti komponen utama yang mewakili kaum India, kelihatan secara terang-terang melayan sekolah Tamil ini seakan-akan anak tiri di dalam pendidikan negara.

Saya hampir menitiskan air mata apabila seorang guru yang mengajar di salah sebuah sekolah Tamil di Kangkar Pulai menceritakan permasalahan mereka. Kata beliau, mereka tidak kecukupan kelas dan bangunan sehingga terpaksa 'menumpang' salah sebuah sekolah kebangsaan yang berdekatan.

Dan, tambah menyedihkan ialah diskriminasi yang dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah itu kepada pelajar dan guru mereka. Para pelajar sekolah mereka, yang 'menumpang' kelas di sekolah itu tidak dibenarkan untuk masuk ke sekolah menggunakan pintu pagar yang sama dengan pelajar sekolah kebangsaan tersebut. Malahan, guru-guru juga diminta untuk menggunakan pintu pagar belakang untuk memasuki sekolah itu! Daripada segi kemudahan dan infrastruktur sekolah pula, mereka tidak dibenarkan untuk berkongsi makmal komputer dan yang lain-lainnya sehingga menyebabkan ramai anak-anak murid yang agak ketinggalan dalam teknologi terkini.Sedih, memang sedih. Mengapa masih ada sikap pesimis antara kita di Malaysia ini walaupun sudah 50 tahun merdeka?

Sewaktu saya diminta berucap dalam himpunan ini bagi mewakili kaum Melayu, saya menyebut bahawa kerajaan sememangnya bersikap tidak adil dalam bidang pendidikan. Bukan sahaja sekolah Tamil dan Cina yang menjadi mangsa, malahan sekolah agama rakyat juga telah lama di'anak tiri'kan oleh kerajaan.Saya juga menyebut bahawa Islam mengajar kita untuk saling hormat-menghormati dan menghargai semua manusia.

Tuhan telah menjadikan kita semua dalam bentuk pelbagai bangsa dan memiliki bahasa yang cukup unik serta berlainan. Maka, menjadi tanggungjawab sesama kita untuk saling menghormati dan menghargai setiap insan. Kita juga perlu memelihara pendidikan dalam bahasa ibunda kita.

Islam adil kepada semua kaum tidak kira apa ras dan bangsa serta agama mereka. Saya menyebut Dato' Ng Yen Yen yang sekarang ini menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan mewakili BN sebagai contoh terbaik akan keadilan pemerintahan Islam. Ng Yen Yen pernah menerima biasiswa daripada Kerajaan PAS Kelantan sewaktu era pemerintahan Dato' Asri dahulu. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua mengikut pandangan pemerintahan Islam. Ucapan saya disambut dengan tepukan gemuruh mereka.

Akhirnya, saya meminta agar mereka semua meneruskan perjuangan sehingga hak dan tuntutan mereka didengari oleh pihak berwajib. Hidup hidup, hidup rakyat!

Pemuda PAS Johor Bahru, Saudara Zaaba dan adiknya Razak juga turut hadir memberikan sokongan.

Bersama Saudara Nyam, Koordinator SUARAM Johor Bahru yang turut hadir memberikan kerjasama dan semangat. Kami juga menghadiahkan 'maruku perpaduan' kepada Suaram sempena Deepavali ini. Beberapa paket besar maruku juga dihadiahkan kepada Semparuthi Thorlagal.




Nazman Ibrahim

Pengerusi
Lujnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
nazman_mpm@yahoo.com.sg
013 7207883

Monday, November 19, 2007

PAS tidak memilih bulu sebagaimana UMNO


Ng Yen Yen pernah terima biasiswa kerajaan PAS Kelantan

MD Hakimi Sun Nov 18, 07 5:50:36 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 18 Nov (Hrkh) - Sebelum ini banyak pihak mendakwa PAS tidak berkompromi dengan orang bukan Islam, namun segala tuduhan itu jauh meleset.

Ini kerana sejak dahulu lagi bukan Islam mendapat keistimewaan daripada PAS. Ini dibuktikan apabila Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Ng Yen Yen seorang anak kelahiran Kelantan pernah mendapat biasiswa kerajaan PAS ketika zaman Dato’ Asri Muda.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi biasiswa kepada semua pelajar yang layak termasuk anak-anak orang Cina.

Antara mereka yang pernah menerima biasiswa kerajaan PAS Kelantan ketika itu termasuk Dato Ng Yen Yen yang kini Timbalan Menteri Kewangan. Dan apabila PAS kembali memerintah Kelantan pada tahun 1990 dasar kebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama diteruskan kembali, katanya ketika merasmikan majlis ramah mesra antara kaum di Kampung Sering, Pengkalan Datu, baru-baru ini.

Ng Yen Yen, 58 kini anggota Parlimen Raub dilahirkan di Kelantan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Zainab, Kota Bharu dan Sekolah Menengah Zainab sebelum melanjut pengajian ke Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Pernah memegang jawatan Pengerusi Kebangsaan Wanita MCA, Naib Pengerusi MCA, Pengerusi Wanita Negeri Pahang, Setiausaha Agung Kebangsaan Wanita MCA dan Timbalan Setiausaha Agung MCA Kebagsaan. Mohd Amar berkata, Kelantan meletakkan Islam sebagai paksi pemerintahan yang memberi peluang sama rata kepada rakyat termasuk bukan orang Islam.

Menurutnya kerajaan Kelantan di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat meneruskan sikap terbuka serta berlaku adil kepada semua rakyat termasuk golongan minoriti.

Walaupun berlainan bangsa dan agama tetapi kita semua adalah manusia yang diciptakan Allah. Kerana itu Islam menuntut semua manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan mesti hidup berbaik-baik dan menghormati satu sama lain,katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri.

Menurut Mohd Amar di atas sifat kemanusiaan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama perlu saling menghormati dalam perkara-perkara yang membawa kebaikan, kebajikan dan kebenaran. Kita sesama Islam adalah bersaudara dalam erti kata saudara dalam akidah yang sama.

Dan dengan orang bukan Islam juga bersaudara dalam pengertian sesama manusia, jelas beliau. Program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan itu mendapat sambutan hangat apabila lebih 500 penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Cina dan Melayu hadir.

Menurut Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Chia Chuan Lay kawasan terbabit sebelum ini merupakan kubu kuat MCA. Kejayaan kerajaan negeri mengadakan program bersama masyarakat Tionghua di kawasan ini merupakan tamparan hebat kepada Barisan Nasional khususnya MCA.

Sebelum ini PAS tidak pernah berjaya mengadakan program di sini. MCA semakin bimbang kerana kini sudah ada orang Cina yang sanggup membenarkan rumah mereka dijadikan tempat penganjuran program kerajaan negeri,ujarnya.

Pada majlis itu Mohd Amar menyerahkan cek manfaat Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM2,000 kepada seorang waris warga emas kaum Cina yang meninggal dunia.

Selain itu 15 warga emas kaum Cina menerima kad Takaful Kifaalah dan 70 keluarga lagi menerima barangan keperluan harian. Manakala golongan belia menerima peralatan sukan yang disumbang anggota Exco, Dato Anuar Tan Abdullah