"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Monday, October 22, 2007

Titah Dijunjung...Daulat Tuanku


"Pengiktirafan negara kepada
bangsa harus mengatasi premis
politik kepartian kerana negara
bangsa yang menghargai sejarah
bangsa akan dapat mencipta
sejarah bangsa yang lebih gemilang"


Ucapan Raja Dr Nazrin Shah
Raja Muda Perak Darul Ridzuan
di Majlis Muzakarah Ulama 2007,
Ipoh, 5 Julai 2007

Hanya Sekadar Alat Bukan Tujuan

"Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat”

(Prof Dr Burhanuddin Helmi 1954)

Sikap Keterbukaan PAS Sentiasa Menyerlah

PAS sedia jalin hubungan politik dengan parti Nalakarupan

klpos.com Mon Oct 08, 07 8:51:31 am MYT

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Hrkh) - Parti pembangkang terbesar dan paling lama di Malaysia, PAS memberitahu pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk parti baru yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan, Datuk Nalakarupan KS.

Demikian kata pimpinan parti tersebut ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa bersama media di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut di sini semalam.Menurut Bendahari Agung parti Islam itu, Dr Hatta Ramli, demokrasi tidak menyekat perbezaan pendapat dan PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam berkerjasama dengan berbagai pihak bagi faedah rakyat.

PAS giat meningkatkan sokongan bukan Melayu kepada parti tersebut dengan mengadakan berbagai kempen termasuk memperkenalkan Kelab Penyokong PAS yang terbuka kepada kaum Cina dan India di negara ini.


"Tidak jadi masalah untuk berkerjasama selagi tujuan dan dasar perjuangannya selari atau tidak bercanggah dengan tujuan dan dasar perjuangan kita," kata beliau.

KLpos.com sebelum ini menyiarkan penubuhan Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) yang diterajui Nallakarupan. Parti yang mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) itu bagaimanapun hanya terbuka untuk kaum India sahaja .

PAS giat meningkatkan sokongan bukan Melayu kepada parti tersebut dengan mengadakan berbagai kempen termasuk memperkenalkan Kelab Penyokong PAS yang terbuka kepada kaum Cina dan India di negara ini.

Selain itu, PAS juga menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dianggotai berbagai kaum dan dipimpin secara de facto oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam majlis itu juga, selain Dr Hatta turut hadir adalah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustapha Ali, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkifli Ahmad dan kolumnis Harakah Subky Abdul Latif.

Majlis yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong itu bukan sahaja dihadiri oleh media arus perdana dan alternatif tetapi juga penulis serta penganalisis politik seperti Syed Hussain Al Attas, James Wong serta blogger Jeff Oii.

PAS cari kaedah sebar berita blog ke kampungSementara itu, Naib Presiden PAS, Husam Musa memberitahu bahawa pihaknya sedang mencari kaedah sesuai untuk menyebarkan berita-berita yang disiarkan oleh media alternatif termasuk blog-blog ke kawasan yang tidak mempunyai akses internet.

Menurut beliau, blog sudah berjaya menembusi kepungan media arus perdana yang dikuasai oleh pemerintah tetapi ia hanya terbalas kepada penduduk di bandar-bandar dan orang muda sahaja.

Tugas pembangkang adalah untuk hantar apa yang ada di internet kepada pengundi luar bandar dan jika berjaya maka runtuhlah penguasaan media arus perdana, kata Husam

Katanya, jika terdapat pendekatan supaya apa yang didedahkan di blog dan media alternatif dapat sampai ke kawasan luar bandar maka maka pihaknya menjangka perubahan lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

"Tugas pembangkang adalah untuk hantar apa yang ada di internet kepada pengundi luar bandar dan jika berjaya maka runtuhlah penguasaan media arus perdana," jelas beliau.

Tambahnya lagi, PAS berharap pilihanraya ke 12 akan diadakan lebih lama lagi dari tarikh yang digembar-gemburkan iaitu bulan November ini sehingga ke Mac tahun depan.

"Lebih lama pilihanraya diadakan lebih baik kerana PAS dalam mengisi kelompongan-kelompongan ini," kata beliau.

Pemerhatian KLpos.com mendapati selain Harakah cetak dan harakahdaily.net yang menjadi media rasmi PAS, terdapat puluhan blog dan laman web yang menyokong parti tersebut secara langsung atau tidak langsung.

Sementara, jentera penerangan PAS yang diketuai oleh Mahfuz Omar pula giat menerbitkan risalah empat muka yang mengandungi berbagai isu untuk disebarkan ke akar umbi.
Risalah tersebut dibuat secara tidak berkala dengan nama yang berbeza dan diterbitkan hampir setiap minggu. - mr

Wednesday, October 17, 2007

Robohnya Kota Melaka


Di atas robohan kota Melaka,

Kita bangunkan jiwa merdeka,

Bersatulah Melayu seluruh baka,

Membela hak keadilan pusaka.


Dr. Burhanuddin Al-Helmy

(Kota Melaka, 1946)

Tuesday, October 16, 2007

Merealisasikan Agenda Mendaulatkan Islam Dalam Masyarakat Majmuk

Oleh Hj. Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif

1. Pendahuluan: Sekiranya perkataan ‘agenda’ bermakna satu senarai program yang ingin dilaksanakan dan perkataan ‘daulat’ dimaksudkan dengan mengamal atau mempunyai asas perundangan atau kuasa yang tertinggi (exercising or possessing supreme jurisdiction or power), maka agenda mendaulatkan Islam di Malaysia masih bersifat problematik. Peruntukan-peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, tidak memungkinkan Islam didaulatkan kerana Islam telah dan akan disubsume dibawah kerangka Perlembagaan yang secara hakikinya bersifat sekular. Ini dirumitkan lagi dengan pentafsiran masyarakat majmuk yang secara intrinsiknya berkecenderungan untuk berkonflik sekaligus melahirkan ketidakstabilan politik. Dalam konteks inilah Islam dikompromikan dan sekaligus Islam memiliki status diperintah bukan yang memerintah.

2. Kolonialisme dan Islam: Sebenarnya kuasa kolonialisme, terutamanya Inggeris telah meminggirkan peranan Islam dengan pengenalan Piagam Keadilan (Charter of Justice)dan seterusnya Sistem Residen. Sejarah telah membuktikan bahawa sebelum kedatangan Inggeris Islam telah didaulatkan terutamanya di negeri-negeri seperti Melaka, Terengganu, Kelantan dan Johor. Dipengaruhi oleh pemikiran Kristian yang menekankan pemisahan antara agama dan negara(politik) dan agama adalah sebahgian dari budaya, maka hal-hal yang berkaitan dengan agama (Islam) dan budaya Melayu diserahkan kepada Raja-raja Melayu. Secara institusinya ini dijelmakan dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Struktur pentadbiran moden Islam yang dicipta oleh Inggeris inilah dipanjangkan kepada Perlembagaan Malaya/Malaysia yang merdeka. Sebenarnya Islam masih tidak merdeka.

3. Kolonialisme dan Masyarakat Majmuk: Pihak kolonial sebenarnya telah ‘mencipta’ atau mengkonstruk masyarakat majmuk dan melihatnya sebagai sesuatu yang sedia ada (as given). Mengikut Furnivall (1956), masyarakat majmuk adalah masyarakat yang secara hakikinya berkecenderungan untuk berkonflik dan melahirkan ketidakstabilan politik. Ini kerana masyarakat yang terdiri dari pelbagai ras mempunyai pelbagai budaya dan agama; maka untuk menstabilkan masyarakat ini satu kuasa dari luar adalah perlu bagi mengurus ketidakstabilan ini dan kuasa luar tersebut dikenali sebagai kolonialisme. Dalam konteks ini kuasa kolonial adalah sebenarnya penyelamat kepada masyarakat majmuk. Urutan dari logik intelek ini ialah terbentuknya dasar ‘pecah dan perintah’ dan dari sudut dasar ekonomi wujudnya apa yang boleh dilabel sebagai pengkhususan ekonomi berdasarkan etnisiti (economic specialization on the basis of ethnicity). Apa yang terhasil dari masyarakat majmuk yang dikonstruksikan oleh pihak penjajah dan dasar-dasar yang mengiringinya ialah betapa rapuhnya integrasi kaum. Ia juga meminimakan sumbangan Islam yang menekankan aspek universalisme yang bercanggahan dengan aspek particularisme (kaum).

4. Kemerdekaan dan Politik Malaysia Moden: Kemerdekaan hanya merupakan penerusan kepada dasar-dasar yang telah digubal oleh pihak kolonial; tidak ada perubahan struktural yang radikal (old wine in new bottles). Penubuhan parti-parti politik masih berasaskan kaum; terbinanya politik pemuafakatan (consociational politics) dalam bentuk Perikatan dan akhirnya Barisan Nasional adalah pada hakikatnya untuk memenuhi tuntutan masyarakat majmuk yang secara hakikinya tidak stabil sebagaimana yang dikonsepsikan oleh bekas penjajah. Disebabkan kekangan yang dibina ini maka UMNO (komponen Islam yang paling dominan dalam pakatan BN) gagal untuk melihat bahawa kepelbagain ras adalah sebenarnya mencerminkan kebesaran Allah dan sekaligus masyarakat majmuk merupakan tanah yang paling berbaja bagi menanam benih Islam, bukan sebagai penghalang kepada pelaksanaannya. Sekiranya UMNO coba untuk mempromosikan Islam, ia nampak tempang kerana usaha itu digerakkan dalam kerangka kaum.

5. Cadangan Penambahbaikan Agenda Mendaulatkan Islam:
a) Jangka Panjang: Mentafsirkan Peruntukan 3(1) Perlembagaan agar membawa maksud bahawa Islam adalah agama rasmi bukan cuma agama persekutuan. Ini juga memerlukan pemansuhan Perkara 4(1) Perlembagaan;
b) Jangka Sederhana: Penubuhan satu Jawatankuasa Islam dan Masyarakat Majmuk di peringkat Kabinet. Ini memberi peluang kepada Perdana Menteri memberi penjelasan kepada Menteri bukan Islam tentang kebaikan program-program Islam yang dilaksanakan dan program-program ini tidak bercanggah dengan kewujudan masyarakat majmuk itu sendiri; Program-program yang berkaitan dengan Islam sama ada ianya atas nama Islamisasi atau Islam Hadhari perlu dikemukakan secara resmi beserta peruntukan perbelanjaan yang berkaitan dalam Rancangan-rancangan Malaysia selama lima tahun. Ada sasaran-sasaran tertentu yang ingin dicapai. Ini lebih sistematis dan terbuka dan ini mengurangkan syak wasangka masyarakat bukan Islam terhadap program-program Islam yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan; mengurangkan prejudis dan salah faham antara ‘Islam resmi’ (kerajaan) dan ‘ Islam tidak resmi’ (bukan kerajaan).

Perlu ada sifat berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima kebaikan Islam dari mana-mana pihak sekali pun; Individu-individu yang mewakili NGO-NGO Islam seperti ABIM dan JIM perlu dilantik sebagai Penasihat, Ahli Lembaga Pengarah dan sebagainya di yayasan, institusi atau agensi kerajaan yang memiliki label Islam; memperkasa dan memodenkan SAR tanpa menghilangkan semangat dan matlamat asal penubuhannya; memperkasa sistem ekonomi Islam sebagai sistem ekonomi alternatif bukan sahaja di peringkat domestik malah ke peringkat antarabangsa. Secara khusus meningkatkan penggunaan Dinar Mas di peringkat antarabangsa supaya akhirnya ia menjadi medium pertukaran alternatif kepada US Dollar; Islam progresif sebagaimana yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempastikan tidak berlaku percanggahan antara ‘haq’ dan ‘bathil’, pastikan yang ‘haq’(atau maaruf) itu senantiasa meningkat(progresif) dan dalam masa yang sama yang ‘bathil’ (atau mungkar ) menurun(regresif);
c) Jangka Pendek: Haramkan semua bentuk perjudian, terutamanya di premis dibawah seliaan kerajaan (PBT); Gubal Undang-undang Murtad berdasarkan kepada kehendak syariah yang sebenar. Ini dapat mematikan kontroversi yang tiada penghujung berhubung dengan Perkara 121 (1A).

6. Kesimpulan: Masyarakat majmuk adalah anugerah Allah; mendapat manfaat dari pelaksanaan syariat Islam tidak bermakna terpaksa memeluk agama Islam.

Pupuk Persaudaraan Berpaksi Kalimah Tauhid Yang Satu


Saya bagi pihak Parti Islam Se Malaysia (PAS) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil fitri kepada semua umat Islam khasnya rakyat Malaysia samada yang berada di tanahair ataupun di luar negara.

Sesungguhnya hari ini adalah hari kurniaan Allah SWT kepada mereka yang telah berjaya menjalani ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan dengan penuh ketaatan kepada-Nya, mengerjakan segala yang disuruh dan menjauhkan segala yang dilarang.

Mudah-mudahan Allah swt menerima segala amalan kita sepanjang bulan yang penuh barakah itu dan mengurniakan kita kejayaan bagi melalui bulan-bulan yang berikutnya.

Inilah masanya untuk kita memperbaharui azam dan mempertingkatkan komitmen kita untuk berjuang dengan sungguh-sungguh bagi meninggikan agama Nya setelah kita berjaya terbit dan lulus dari bulan tarbiyah sepanjang Ramadhan yang lalu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Supaya agama ini zahir, menang mengatasi segala ajaran yang lain walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin". (As Saff : 9)

Kejayaan akan menjadi milik kita dengan pertolongan Allah SWT sekiranya kita berjaya menzahirkan ketaqwaan dan keimanan yang kukuh bagi menghadapi mereka yang memusuhi kita.

Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan mestilah menjadi pegangan dan panduan kita untuk dibawa ketengah masyarakat bagi menyelamatkan mereka dari kesesatan dan kemusnahan dengan memimpin mereka ke arah kebenaran dan kesejahteraan yang sebenar. Allah swt berfirman yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (al Baqarah : 185)

Marilah pada hari yang mulia ini kita seluruh umat Islam, berbekalkan semangat Ramadan, bersatu di bawah panji-panji Islam dengan mengenepikan apa sahaja perselisihan dan perbezaan di antara kita, bersama melangkah dinaungi keredhaan-Nya.

Sesungguhnya urusan agama dan dunia insyallah akan dapat kita laksanakan dengan sempurna kiranya kita berjaya menyatukan persaudaraan kita di atas kalimah tauhid yang satu, berpandu menyelamatkan agama, bangsa dan Negara.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahhil Hamd

Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bin Awang
Presiden PAS

Hiasi Aidil Fitri dengan Perkampungan Takwa & Renda Zikrullah


Sekarang bukan "bulan puasa" bahkan "bulan Ramadan" kerana ia ditetapkan untuk pelbagai aktiviti dengan Allah SWT dan hamba-hamba Allah di muka bumi.

Untuk kita dengan Allah ialah berdoa, berzikir, bermunajat pada waktu dinihari, beriktikaf dan sebagainya.

Untuk kita dengan hamba-hamba Allah pula ialah mengambil peka dengan keadaan keluarga terdekat, jiran tetangga, fakir miskin dan ibnussabil.

Islam meletakkan satu perkara sahaja di hadapan semua orang iaitu takwa dan beriman dengan pembalasan di Hari Akhirat.

Ini tiada dalam mana-mana isme dan faham politik. Jika kita mahu cari perpaduan sebenar, maka carilah perpaduan melalui takwa untuk mencapai keamanan di dunia dan kebahagian di akhirat.

Dalam perpaduan jenis ini, rakyat dan manusia pada amnya hanya berlumba untuk saling menjadi insan terbaik.

Tidak rakus, tidak tamak bahkan sentiasa suka tolong menolong, merendah diri, suka memberi dan saling menghormati tanpa mengira bangsa dan bahasa.

Setiap sesuatu diasaskan kepada kepentingan pahala di Hari Akhirat.

Masing-masing akan berlumba untuk membuat amal makruf yang terbaik sebanyak mungkin dan mencegah kemungkaran sekuat-kuatnya.

Jika tidak, perpaduan akan hanya dijadikan ikan hiasan di kaca mahal.

Ia menjadi umpan pemimpin sekular; menjadi objek mimpi tanpa persuaan sampai ke mati.

Semoga Hari Raya Aidil fitri akan bertamu di perkampungan takwa yang sedang giat kita hiasi dengan renda-renda zikrullah.

Biar ia rendah rendang di musim Ramadan pada kali ini. Reduplah jua apa kiranya segala aktiviti dan amal bakti kita menghiasi taman kehidupan melalui perpaduan yang berbumbungkan langit keredaan Ilahi.

Sudilah perkenankan, Ya Robbi, Ya Robbal alamiin.

Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan

Friday, October 12, 2007

Selamat Eidul Fitri - Anda Mampu Merubah

Assalamu'alaikum Warahmatullah,


Ikhwah Muslimin-Muslimat yang dihormati;

Diambang Syawal 1428H ini, Lajnah Perpaduan Nasional ingin melebarkan ucapan Rasulullah SAW, "TaqabbalAllahu minna wa minkum...", Moga Allah maqbul/terima apa jua amal soleh yang kita lakukan..!

Moga Tarbiyyah Ramadhan berjaya membentuk keperibadian mukmin kita, memperkuatkan Iman & meninggikan iltizam untuk kita terus menyeru & membentuk masyarakat untuk sayang & cintakan Islam sebagai satu-satunya cara hidup.

Majlis Rumah terbuka yang dianjurkan oleh kebanyakan pemimpin & individu tertentu adalah satu budaya yang baik selagi mana ia tidak terlalu membazir dari segi penyediaan makanan dsb dan tidak melanggar syariat.Jemputlah kaum lain..Cina, India dan lain-lain untuk bersama meraikannya dengan selitan syiar Islam supaya tanggapan prejudis bukan Islam terhadap Islam dapat dikikis.Islam adalah Agama Sejagat yang memberi rahmat ke seluruh pendudk alam ini.

Mensyukuri hadirnya Syawal, demi keamanan & keadilan, berilah ISLAM satu PELUANG!
Anda mampu merubah!!!

Mujahid Rawa jadi tukang masak kuah sate sambut Eidul Fitri


Azamin Amin
Thu Oct 11, 07 10:09:56 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Hrkh) - Pengalaman lucu pasti tidak dapat dilupakan oleh sesiapa biarpun sudah menjangkau usia dewasa tambahan pula di saat umat Islam sedang merayakan hari kebesaran, Aidilfitri dan begitulah yang terjadi kepada Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Ustaz Mujahid Rawa ketika menyambut Eidulfitri di Mesir sekitar tahun 1989 bersama rakan-rakan serumah seramai lapan orang.

Katanya kerana berada di perantauan, keinginan dan semangat untuk menyambutnya sama seperti umat Islam di Malaysia memberi idea kepadanya untuk membuat kuah sate untuk dicecah dengan nasi himpit dan sate ayam.

"Rumah kami berdekatan dengan Masjid, jadi selepas solat Raya selalunya tempat kami jadi tumpuan. Jadi nak memeriahkan lagi suasana, saya bertindak sebagai 'chef cook' dengan empat orang kawan cubalah buat kuah sate," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.net.

"Bahan semua cukup...tup, tup dah buat, kuah satenya jadi ntah apa-apa rasanya...tawaq habiaq (tawar) pun ada," katanya yang begitu sedih dengan kejadian itu kerana terpaksa juga menjamu tetamu yang hadir dengan kuih sate yang tidak menjadi itu.

"Saya tengok diorang bedal saja, mungkin malu nak komplen sebab diorang tetamu tapi dari raut muka mereka seolah-olah ada yang tak kena dengan kuah sate tersebut," katanya ketawa.

Beliau juga menceritakan bahawa komuniti umat Islam dan pelajar Malaysia adalah kumpulan masyarakat yang paling meriah menyambut Hari Raya biarpun ketika itu berada di perantaun orang dan menjelaskan lagi bahawa beliau berada di sana selama tujuh tahun kerana meneruskan pengajiannya dalam bidang Bahasa Arab dan Sastera.

Dalam kesempatan ini, Ustaz Mujahid turut merakamkan ucapan Salam Eidulfitri kepada semua ahli PAS dan umat Islam di Malaysia dengan harapan semoga semuanya bangkit dengan roh kemenangan untuk menentang sebarang penindasan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab kepada umat Islam selama ini.

"Di peringkat antarabangsa, kita perlu menentang perang Ahzab moden iaitu penindasan Amerika kepada umat Islam dunia seperti Afganistan, Iraq dan Palestin.

"Manakala dalam negara, kita kukuhkan perpaduan lebih erat lagi di antara kaum-kaum dan etnik yang sedia ada," katanya.

Beliau menjelaskan lagi, Eidulfitri juga merupakan hari perpaduan bagi umat Islam dan menyeru supaya rakyat Malaysia hidup bersatu padu dalam suasana yang penuh harmoni. - mr

Monday, October 8, 2007

Ihya'Ramadhan Bersama Imam Muda Dari China

Lajnah Perpaduan Nasional DPPNJ terus berperanan bagi mendekati kaum bukan melayu di Johor. Terbaru Lajnah Perpaduan Nasional DPPNJ telah mengadakan program Ihya' Ramadhan bersama Imam Muda daripada negara China.

Paling utama, DPPNJ ingin mendengar sendiri bagaimana kaedah dan pendekatan yang perlu dilaksanakan untuk mendekati kaum bukan Melayu di Johor khususnya.
Imam-iman muda tersebut telah berkongsi pandangan dan idea yang sangat diperlukan oleh kami.

Tahniah kepada lajnah LPN DPPNJ. Teruskan usaha yang murni ini.
Untuk maklumat lanjut, klik http://hanfeitsu.blogspot.com/