"You are welcome to the world of unity"

YB Dr Mujahid Yusof Ar-Rawa
(Konvensyen Nasional Kelab Penyokong PAS Ke-1, Klang, Selangor)

"ALlah menegaskan lagi " Hai manusia,sesungguhnya Kami (ALlah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa danbersuku-suku supaya kamusalingkenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu.." (30:22)

Friday, October 17, 2008

Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja Melayu

Oct 16, 08 6:25pm

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

"Kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

"Raja-Raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

"Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

"Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

"Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

"Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

"Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara."

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.


http://www.malaysiakini.com/news/91407

Friday, October 10, 2008

Respons terhadap cadangan Ku Li

PAS tetap komited mengagaskan penyelesaian perpaduan.Sila baca artikel yang dipetik dari
blog Setiausaha Akhbar YB Dato Presiden PAS.
Menghayati cadangan Ku Li, gagasan Hadi
(Ini merupakan artikel terbaru saya dalam ruangan "Menongkah Arus" di Harakahdaily)
Dalam mendepani kemelut politik negara yang kalut dan tidak menentu kebelakangan ini, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kenyataan berani dan terbuka oleh bekas Menteri Kewangan yang juga bekas Naib Presiden Umno iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, ahli Parlimen Gua MusangKu Li satu-satunya ahli parlimen veteran di Dewan Rakyat telah mencadangkan gagasan politik baru buat negara.
Ku Li mencadangkan agar segera ditubuhkan sebuah "unity government" ataupun kerajaan perpaduan.Semua parti-parti politik di Malaysia menurut beliau seharunya bangkit dengan serba keinsafan dan rendah diri, melampaui sempadan politik kepartian, bagi duduk berbincang dengan jujur dan hati terbuka bagi menyelamatkan negara dan rakyat kita dari pelbagai krisis khasnya krisis politik dan ekonomi yang melanda negara.
Pastilah Ku Li merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu yang seharusnya menjadi indikator bagi menyedarkan semua pihak betapa perlunya kita bermuhasabah dan mengambil kira realiti politik semasa untuk sama-sama membentuk satu perubahan mengikut citarasa dan "climate" politik masakini yang sama-sama kita rasai.Malaysia pasca PRU ke-12 menuntut satu lanskap politik baru.
Dan lanskap ini hanya akan berjaya diterjemahkan kiranya semua pihak bangkit dengan berani meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik mahupun cita-cita peribadi.Hanya negarawan yang ulung, berjiwa besar dan bermaruah sahaja mampu menobatkan tuntutan baru ini sehingga mampu melahirkan Malaysia baru yang kuat, selamat dan sejahtera buat semua warganegaranya.
Sesungguhnya apa yang dilontarkan oleh Ku Li ini bukannya sesuatu yang baru. Pada tanggal 31 Mac yang lalu, beberapa minggu setelah selesai PRU ke-12, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam majlis Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana anjuran PAS Selangor bertempat di Stadium Malawati Shah Alam telahpun mempelopori idea ini.
Di hadapan puluhan ribu rakyat yang berada di stadium tertutup itu, Tuan Guru Presiden PAS telah mencadangkan agar Umno bergabung bersama-sama dengan PAS, KeADILan dan DAP bukan lagi atas nama Barisan Nasional tetapi suatu Pakatan baru untuk sama-sama bersatu dan bekerja secara ikhlas demi menyelamatkan negara Malaysia yang dicintai.
Kata Tuan Guru, beliau yakin rakan-rakan dari KeADILan dan DAP akan dapat menerima gagasan baru ini (ketika itu antara pimpinan KeADILan dan DAP yang hadir adalah Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ronnie Liu) dengan syarat Umno dan sekutunya perlulah membuang sifat ego mereka dalam berpolitik selama ini disamping sama-sama menghapuskan undang-undang zalim yang dibenci oleh rakyat termasuklah ISA, OSA, AUKU dan lain-lain.
Penyatuan dan perpaduan politik seperti ini sudah pasti bersifat "win-win" tanpa mana-mana pihak berasa terpinggir atau iri hati sehingga boleh pula mencacat atau mebantutkan proses pembangunan masyarakat dan negara.Biarlah semua pihak berasa dihargai, biarlah kita ketepikan apa sahaja sengketa demi agama, nagsa dan negara yang tercinta. Yakinlah bahawa PRU ke-12 merupakan iktibar terbesar buat kita semua untuk sama-sama memikirkan hala tuju baru masa depan negara dalam dunia yang serba mencabar ini
Mungkin masanya sudah tiba untuk kita sama-sama meneroka secara serius gagasan baru ini. Yang penting kita dapat menyatupadukan kembali semua lapisan rakyat Malaysia, mengikis sifat dan perangai buruk yang dibenci semua dan atas kesepakatan bersama itu, kita bina satu negara Malaysia yang baru yang rakyatnya saling hormat-menghormati berlandaskan
Perlembagaan Negara dan kontrak sosial yang telah sama-sama disepakati.Ia bukan suatu tugas yang mudah tetapi sebagaimana dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS dan Ku Li itu, ianya sesuatu yang perlu difikirkan secara serius oleh semua pihak kiranya kita mahu melihat negara ini stabil dalam semua aspek dan berjaya melalui segala cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara dan dunia.

Tuesday, October 7, 2008

Promosi Buku Ilmiah

1.TAJUK BUKU: MENGAPA KAMI MEMELUK ISLAM?

Mengapa Anda Perlu Membaca Buku Ini?

Tulisan ini berdasarkan satu penyelidikan dalam konteks psikologi. Sampelnya di kalangan 365 orang mualaf yang baru memeluk Islam mereka ini asalnya daripada pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

Ianya diolah penulis secara psikologi dengan pendekatan dan bukti secara meyakini.Penulisnya mempunyai ijazah Ph.D dalam psikologi pendidikan dan mempunyai pengalaman pengajar/pensyarah lebih daripada 30 tahun

Kandungan:
Bab Pertama mengenai faktor-faktor penting mereka memeluk Islam mengikut keberatan wajarannya. Banyak daripada kewajaran faktornya itu di luar jangkaan anda. Ianya diolah secara psikologi oleh pengarang.

Bab Kedua ialah Implikasi dan Cadangan Yang Berkaitannya.

Keistimewaan yang tidak terdapat dalam mana-mana buku jenis ini ialah penulis telah memasukkan satu pembolehubah (variable) Harga-Diri (Self-Esteem) yang mana ini adalah dalam kepakaran penulis.

Penulisan ini disemak dan diberi kata-kata aluannya oleh dua orang tokoh yang terkenal diperingkat kengsaan dan antarabangsa iaitu:

i. Prof. Dato’Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid , Pengarah, Pusat Serantau Perancangan Pendidikan-UNESCO, Sharjah, UAE (Mantan Pengarah Institut Aminuddin Baki).

ii. Prof. Zakaria Stapa, Dekan Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku ini ada 262 halaman.
Harganya Cuma RM 25 sebuah.
Belanja pos RM 5.00 (Semenanjung), Sabah & Sarawak RM10.00
2.TAJUK BUKU:ISLAM, PELBAGAI AGAMA DAN KEPERCAYAAN

Kandungan buku ini terbahagi kepada 3 bab.
Bab Pertama: Awalannya-Agama Asalnya Satu, tetapi kenapa Syaria’at dan Pendekatan kemudiannya Jauh Berbeza?- khususnya agama Samawi (Islam, Judaisme, Zoroaster dan Kristian.
Bab Kedua : Agama-agama lain: Hindu, Buddha,Jaina, Shinto, Sikh dan Bahai. Bab Ketiga: Falsafah dan Kepercayaan - Konfucianisme dan Tao.

Bab Ketiga : Ada juga di antara agama-agama ini yang mempunyai banyak persamaan -nya dengan Islam, kecualilah dalam aspek Tauhid (Keesaan Tuhan). Malah Ada di antara agama-agama itu yang meramalkan Nabi Muhammad SAW akan lahir di suatu hari kelak. Di antara yang membuat ramalan ini ialah agama Hindu dan Buddha.

Buku ini ditulis amnya dengan pendekatan Islam, terutama sekali dalam menjawab persoalan mereka yang bukan Islam tehadap Islam.
Penulisan ini disemak dan diberi kata-kata aluannya oleh seorang tokoh Islam yang tidak asing lagi diperingkat nasional dan juga antarabangsa iaitu
Sheikh (Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama
Akademik ISTAC, IIUM (Islamic International University Malaysia).

Buku ini ada 422 halaman.
Harganya Cuma RM 30 sebuah.
3.TAJUK BUKU : ALLAH ISLAM & ALLAH KRISTIAN (ASAL) ADALAH SAMA.

Mengapa Anda Perlu Membaca Buku Ini?

1. Ianya ditulis oleh seorang pakar psikologi yang berkelulusan Ph.D dalam bidang ini dan mendalami sikap manusia. Pengalaman mendidik para pelajar, guru dan ibubapa melebihi 30 tahun.

2. Penulis menghabiskan masa kira-kira 18 tahun untuk menyiapkan buku ini iaitu sejak perdebatan Ahmad Deedat dengan George Shorue , di Birmingham , 1988. Penulis berada dalam majlis perdepbatan itu. Sejak itulah bermulanya ilham dan berinisistif sediki demi sedikit untuk menulis buku ini hinggalah diterbitkan pada tahun 2007.

3. Kandungan buku ini tebahagi kepada 5 bab.
Bab Pertama mengenai Allah murkai manusia mengubah hukumNya, Jesus (Nabi Isa a.s.) dan Roh Kudus.
Bab Kedua, Bukti-bukti Jusus bukan Tuhan, bukan Anak Tuhan dan Jesus hanya Utusan Allah.
Bab 3, St. Paul dan Barnabas.
Bab 4,Taurat-Bible –Al-Qur’an Adalah Satu Sumber,.
Bab 5. Satu Perhitungan:Islam Dan Kristian.

4.Buku ini ditulis amnya dengan pendekatan Islam, terutama sekali dalam menjawab persoalan mereka yang bukan Islam tehadap Islam.

Penulisan ini disemak dan diberi kata-kata aluannya oleh 2 orang tokoh:
1) Seorang tokoh pemikiran Islam –Prof. Madya Mohd. Kamil Hj. Ab. Majid, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademik Pengajian Islam, Universiti Islam dan

2) Seoang tokoh Kristian yang telah memeluk Islam – Hj. Ayub Abd Rahman bin Abdullah ,Ex Monk, oeder of St Augustine, Casa Domitilla, Via delle sette Chiese, Rome, Italy.

Buku ini ada 187 halaman. Harganya Cuma RM 15 sebuah.
Belanja pos RM 5.00 (Semenanjung), Sabah & Sarawak RM10.00
Berminat sila hubungi Dr. Nawi Jusoh (Penulis)

ISLAM Dasar Pengabungan PAS

Dipetik dari Harakahdaily
Anual Bakhri Haron Fri Oct 03, 08 11:24:08 am MYT

Kata-kata yang disuarakan oleh Presiden MIC yang berbunyi, "Cadangan menggabungkan semua parti yang bersifat perkauman ini sesuatu yang sukar dilaksanakan. " (Berita Harian 30 September 2008).

Benar sangatlah kata-kata ini. Sampai bila pun cita-cita penggabungan, permuafakatan dan penyatuan akan menjadi kata-kata jinak buat pameran semata-mata. Bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan ke-Melayuannya, MCA dengan ke-Cinaannya dan MIC dengan ke-Indiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur BN tidak membawa erti apa-apa.

2. Begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.

Masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi?

PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum.
Teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa.

Semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah diatas ukuran taqwa.

Dengan menggunakan "parameters" ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat.

Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN.

Jika mahu dilihat masih relevan, inilah saat yang memerlukan Melayu dalam Umno datang dan memasuki PAS.

Dalam "mood" penggabungan yang sedang ghairah diterima oleh pemimpin komponen di dalam BN, tentu sekali langkah untuk memartabatkan ketuanan Islam adalah suatu yang amat menepati masa.

3. Pemimpin Umno perlu ingat bahawa bila Umno kekal dengan ketuanan Melayunya, pemimpin MCA pun boleh bercakap tentang ketuanan Cinanya.

Begitulah juga dengan MIC dan Gerakan dengan khayalan ketuanan masing-masing.
Dalam keadaan begini, perkataan penggabungan dan permuafakatan ke arah Integrasi Nasional hanyalah gimik dan fatamorgana.

Ia retorik dan sapuan gincu yang tidak mempunyai nilai apa-apa.

Sepatutnya inilah saat Umno meninggalkan ketuanan Melayu. Tidak sudah dengan terus berpegang kepada faham kebangsaan lapuk kerana ia hanya menganjurkan perkauman.
Di akhirat nanti, tiada harga berupa pahala untuk dinikmati oleh mana-mana pejuang bangsa. Di sinilah Islam meletakkan hujah bahawa ia agama penyatuan.

Ia agama yang tidak mementingkan bangsa dan semangat kebangsaan. Bahkan ia suatu agama yang menerima prinsip kewarganegaraan berasaskan semangat keantarabangsaan.

Ia agama sejagat yang menyatukan anugerah bangsa yang berbeza-beza dan bukan memecah belahkan orang diatas jalur-jalur kebangsaan.

Menjadi umat Islam ialah menjadi hamba Allah yang menjadi hamba kepada "tuan punya" kepada langit dan bumi ini terlebih dahulu.

4). Lantaran itu Islam sangat mementingkan hujah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,
"Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' : Ayat 24).

Di sini, roh kebenaran Islam cukup jelas iaitu setiap sesuatu itu wajib disandarkan kepada fakta dan hujah.

Jika Umno mempunyai hujah untuk mempertahankan kebangsaan Melayu sebagai asas penyatuan, maka mereka bolehlah mengemukakan segala fakta dan segala alasan.

Akan tetapi, setakat yang dapat disaksikan, perjuangan Umno yang hujahnya kebanyakannya dibina di hujung keris dan tombak Melayu itu tidak memberi bekas dan membawa faedah kepada sejarah dan masa depan bangsa dan negara. Tiada signifikan apa-apa.

Apa yang jelas dapat disaksi rakyat hanyalah perpecahan, disintegrasi, korupsi, curiga, dengki, benci dan dendam. Cinta,rindu dan simpati antara kaum semakin tandus dari takung kalbu kehidupan.

5. Sudah sepanjang 50 tahun sikap curiga antara kaum semakin tajam. Jika sedikit masa dahulu masyarakat Cina pernah melahirkan Dato' Lee Kim Sai, kini Umno pula melahirkan Dato' Ahmad bin Ismail.

Ini menunjukkan jalan ke hadapan untuk Malaysia cukup buntu selagi Umno tidak berubah.
Maksud saya di sini ialah Umno perlu berubah dan kembali kepada Islam.

Bukan PAS lagi yang masuk Umno tetapi Umno yang mencari dan memasuki PAS.

Bermukabalah ke arah kembali kepada Islam - hanya inilah penyelesaian yang ada di hadapan kita. Jika tidak, Umno cuma mahu mengelirukan keadaan.

Umno hanya mementingkan survival dengan memainkan sentimen perkauman yang sensitif ini demi menyelamat dan menyambung kelangsungan hayat pemimpin mereka. Begitulah terkini dan trend Umno selama-lamanya.

Sesungguhnya, hampir semua orang tahu yang dia kini sedang bernafas dalam nyawa-nyawa ikan. Ada orang kata, lagi dua minggu dan ada pula yang lebih yakin bahawa sesuatu akan berlaku pada 13 haribulan.

Sayapun tidak sangat mahu ambil tahu tentang tarikh-tarikh ini. Apapun,sambil melihat budak-budak bermain bunga api, elok juga kita sama-sama saksikan. Ah, sepanjang-panjang tali; masakan tidak berhujung? - mr_

Kit Siang 'Beraya' Di Rumah Tuan Guru

Kit Siang 'Beraya' Di Rumah Tuan Guru, Guan Eng Harap Islam Jadi Teras Rapatkan Silaturrahim

Ditulis oleh SM Noor & WanKay Friday, 03 October 2008

Marang - Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Aidil Fitri, di rumahnya di Kampung Rhusila dekat sini semalam.

Kit Siang hadir dengan diiringi oleh rombongan anggota DAP Terengganu tiba di perkarangan rumah Tok Guru pada jam 9.27 malam.

Kedua-dua pimpinan parti Pakatan Rakyat itu telah berbincang dan beramah mesra sambil menikmati hidangan juadah dan kuih raya.Antara pokok perbincangan mereka adalah berkisar sekitar isu-isu politik negara dan hal ehwal semasa termasuk perkembangan Pakatan Rakyat dan pelan peralihan kuasa.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu Ng Chai Hing.Buletinonline difahamkan Kit Siang akan disertai oleh beberapa pimpinan DAP lain dalam rangka percutian sempena Aidil Fitri.Dalam perkembangan lain, Setiausaha DAP Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.
"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun social, "ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama, "sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Guan Eng dalam perutusan Eidulfitrinya yang dipetik Harakahdaily.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. Katanya al-Quran menyebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan dan yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip kea dilan tulen untuk semua.
Menurutnya bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia. Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.
Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.
"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya. Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza.

http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&task=view&id=1937&Itemid=1

Friday, September 12, 2008

Kelab Penyokong PAS

Negeri dan kawasan diminta kemaskini data Kelab Penyokong PAS
Nyza Ayob Wed Sep 10, 08 3:57:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa menyeru semua pesuruhjaya negeri termasuk pengerusi lajnah tersebut di negeri dan kawasan yang mempunyai Kelab Penyokong PAS agar mengemaskini data kelab tersebut bagi mempercepatkan proses transformasi kelab tersebut menjadi sayap PAS.

Katanya, kemaskini data kira-kira 10,000 ahli di seluruh Malaysia termasuk keahlian dan struktur kepimpinan itu perlu dilakukan segera dan diserahkan kepada Lajnah Perpaduan Nasional peringkat pusat sebelum Oktober ini.

"Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional di seluruh negeri perlu selaraskan dengan pengerusi di kawasan agar dengan maklumat tersebut akan mempercepatkan proses transformasi kelab menjadi sayap PAS selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Kita akan menyaksikan perkembangan terbaru dalam PAS iaitu wujudnya satu sayap yang akan menjadi penggerak utama parti dalam menjangkau masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam," katanya sewaktu menghubungi Harakahdaily.

Jelasnya jika kemaskini data mengenai kelab tersebut tidak dilakukan, ia akan membantutkan usaha kelab tersebut menjadi salah satu sayap yang menjadi sejarah penting dalam PAS dan gerakan Islam amnya.

Katanya, sehingga kini dalam mana-mana gerakan Islam, hanya PAS sahaja yang akan mempunyai sayap khusus untuk golongan bukan Islam.

Tambahnya keputusan untuk menubuhkan Kelab Penyokong PAS sebagai sayap dalam PAS diputuskan dalam Muktamar yang lalu.

"Secara dasarnya Presiden PAS telah bersetuju dan dalam Muktamar beliau ada menyebut kelab tersebut seharusnya bukan sekadar kelab tetapi juga menjadi sayap penting dalam parti.
"Jadi, untuk membentuk sayap, saya perlukan data yang lengkap dan tepat, walaupun saya telah mengetahui maklumat tersebut secara rambang," katanya.

Seterusnya Mujahid menegaskan, apabila Kelab Penyokong PAS menjadi sayap PAS, ia perlu satu penyelarasan berbentuk teknikal.

Katanya, apabila sayap tersebut dibentuk, ahli-ahli tersebut akan hadir ke mesyuarat dan fokus kepada bukan Islam. - mns_

Friday, August 15, 2008

Hikmah Tema "PAS Untuk Semüa"

Hikmah tema "PAS Untuk Semua" diangkat sebagai landasan halatuju perjuangan PAS pada kali ini menunjukkan bahawa PAS telah bersedia memasuki fasa mengisi kemenangan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) dengan membawa Islam sebagai asas kepada segala prinsip.Islamlah nescaya kamu selamat dunia dan akhirat.
Justeru kepada semua pencinta keadilan sejagat tak kira apa bangsa dan agama, dapatkan senaskah buku kecil Ucapan Dasar YB Dato Seri Presiden PAS sempena Muktamar PAS yang ke 54 untuk dijadikan bahan tatapan dan rujukan buat anak cucu kita.
Kepada semua perwakilan, pihak moderator "Memimpin Perpaduan" ingin mengucapkan SELAMAT BERMUKTAMAR.Jadikan medan pertemuan ini untuk menghasilkan agenda bertindak yang lebih berkesan dan realistik untuk dilaksanakan dalam lanskap politik tanahair yang semakin matang walaupun menghadapi sedikit cabaran dan halangan.
Seeru ála barokatillah.
Moderator
"Memimpin Perpaduan"
'PAS Untuk Semua' jadi hala tuju perjuangan
Lanjusoh Fri Aug 15, 08 10:29:59 am MYT

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - 'PAS untuk semua' menjadi halatuju perjuangan PAS tahun ini apabila ia dijadikan inti ucapan dasar Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar tahun ini.

Muktamar kali ini sebenarnya diselimuti dengan suasana pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bermula dengan penamaan calon esok.

Malah ia membayangkan kepada rentasi politik baru negara kepada sistem dwi parti yang merupakan lanskap baru politik negara ini.

Presiden memulakan ucapan dengan sayu dalam suasana PAS semakin gagah mengharungi politik negara selepas melalui pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu dengan penuh bergaya bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Lebih mengarukan lagi dengan kehadiran ramai tokoh gerakan Islam dari seluruh dunia termasuk Dr Amman Said dari Jordan, Dr Amir Hidayah mewakili Parti KeADILan Sejahtera Indonesia, Sri Lanka, Maldives dan Pakistan.

Kesemuanya meliputi seramai 25 tetamu dari luar negara yang memeriahkan lagi muktamar PAS yang dilangsungkan di Stadium Indera Mulia, hari ini.

Presiden berkata, muktamar PAS kali ke-54 diadakan di Perak sebagai satu penghormatan kepada tempat PAS memulakan langkah pertamanya dalam lipatan sejarah perjuangan PAS.
"Di negeri inilah tertubuhnya Hizbul Muslimin pada 1948 di Maahad Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol.

"Di sini jugalah pada 1955 PAS mula mengenal erti demokrasi pilihan raya setelah wakil rakyat pertama iaitu Tuan Guru Ahmad Tuan Hussein yang bertanding memenangi Kerusi Majlis Undangan Persekutuan Krian.

"Di Perak jugalah Dewan Ulamak PAS ditubuhkan secara rasmi di Batu 20, Bagan Datoh pada 1957," katanya pada ucapan dasar.

Beliau berkata, sejak bermula 57 tahun lalu PAS masih utuh dan teguh, walaupun berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran dan tribulasi yang sentiasa mendatang.

Katanya, PAS tidak pernah mengalah untuk terus berjuang menerusi lunas demokrasi yang ada dalam negara walaupun dikepung dari pelbagai sudut menerusi akta-akta yang zalim.

"Marilah kita memperteguh dan memacu jamaah kita berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran yang akan sentiasa ada di hadapan kita.

"Kita juga sama-sama mengikhlaskan niat dan amal perbuatan kita semata- mata kerana Allah untuk melaksanakan tugas dan amanah yang amat berat di muka bumi ini," katanya.

Beliau juga berkata, tema PAS Untuk Semua berteraskan kepada keyakinan yang tinggi bahawa perjuangan kita merupakan suatu amanah untuk memakmurkan alam ini.

Katanya, perjuangan PAS adalah bersifat universal untuk seluruh umat manusia membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS.

Antara usaha-usaha PAS kata beliau memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

Selain itu memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian kaum.

"Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan dan perhambaan," katanya. - mj